Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami susur galur Nabi Musa AS dengan lebih terperinci dan juga kisah kehidupannya secara ringkas?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Nabi Musa AS adalah salah seorang nabi ulul azmi yang mempunyai kelebihan dan kesabaran yang tinggi. Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ ءَاتَيْنَا مُوسَى ٱلْكِتَـٰبَ فَلَا تَكُن فِى مِرْيَةٍۢ مِّن لِّقَآئِهِۦ ۖ وَجَعَلْنَـٰهُ هُدًۭى لِّبَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ ٢٣ وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةًۭ يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا۟ ۖ وَكَانُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا يُوقِنُونَ ٢٤

Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah memberi kepada Nabi Musa Kitab Taurat (sebagaimana Kami berikan Al-Quran kepadamu wahai Muhammad), maka janganlah engkau ragu-ragu menyambut dan menerimanya; dan Kami jadikan Kitab Taurat itu hidayah petunjuk bagi kaum Bani Israil.Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum ugama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.

(Surah al-Sajdah: 23-24)

Dalam menjawab persoalan di atas, dikatakan nama penuh Nabi Musa A.S ialah Musa bin ‘Imran bin Yashar (يَصْهَرَ) bin Qahith bin Lawi bin Ya‘qub bin Ishaq bin Ibrahim. Lawi dilahirkan ketika Ya‘qub berusia 89 tahun, dan Qahith pula dilahirkan ketika Lawi berusia 46 tahun. Qahith mendapat anak yang diberi nama Yashar dan Yashar mendapat anak yang diberi nama ‘Imran ketika berumur 60 tahun. Umurnya keseluruhan adalah seratus tiga puluh tahun. (Lihat al-Kamil fi al-Tarikh, 1/150).

Seterusnya, para ulama juga berselisih pendapat berkenaan nama ibu Nabi Musa kepada beberapa pendapat. Ibn Athir menyatakan nama ibunya ialah Yukhabid. (Lihat al-Kamil fi al-Tarikh, 1/150). Namun, ada dalam kalangan mereka yang berpendapat, nama ibunya ialah Mehyanah binti Yashar bin Lawi. Ada yang berpendapat, namanya ialah Yukhabiz binti Lawi bin Ya‘qub. Ada juga yang berpendapat, namanya ialah Yarikha atau Yarikhat dan lain-lain lagi. Ibunya dilahirkan dan tinggal di Mesir. Dia tergolong dalam kalangan wanita yang mulia nasab dan budi pekertinya. Dia berkahwin dengan ‘Imran bin Qahat bin Lawi bin Ya‘qub. Dia dilahirkan dan hidup di Mesir, keturunan yang mulia, keluarga yang terhormat, beriman dan solehah. Dia menikah dengan ‘Imran bin Qahat bin Lawi bin Nabi Ya’qub alaihis salam.[1]

Firman Mesir pada zamannya ialah Qabus bin Mus‘ab bin Mu‘awiyah. Isteri firaun itu pula bernama Asiyah binti Muzahim bin ‘Ubaid bin al-Rayyan bin al-Walid. Dikatakan, isterinya berasal dari Bani Isra’il.

Apabila Musa dipanggil, dia mengetahui bahawa Qabus Firaun Mesir telah meninggal dunia, dan saudaranya al-Walid bin Mus’ab bangkit menggantikan tempatnya. Dia mempunyai umur yang panjang, lebih kuat dan lebih berani dari Qabus. Musa dan saudaranya Harun diperintahkan untuk pergi bertemunya dengan membawa risalah (tauhid). Dikatakan bahawa al-Walid kemudiannya berkahwin dengan Asiah selepas kematian saudaranya. Kemudian Musa pergi kepada Firaun sebagai seorang rasul bersama Harun. Semenjak kelahiran Musa sehingga  Bani Isra’il dikeluarkan dari Mesir adalah lapan puluh tahun. Kemudian dia pergi ke al-Tih setelah menyeberangi laut, dan mereka tinggal  di sana hingga mereka keluar bersama Yusya‘ bin Nun selama empat puluh tahun. Jadi, dari kelahiran Musa hingga wafatnya adalah seratus dua puluh tahun (Lihat al-Kamil fi al-Tarikh, 1/150-151).

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Nota kaki:

[1] Lihat https://www.daralifta.org/ar/IslamicArticle/4156/أمسيدناموسىعليهالسلاموأخته. Diakses pada 9 Januari 2024.

Leave a Reply