Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh jelaskan tentang bagaimana sifat dan kriteria guru mursyid?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

فَوَجَدَا عَبْدًۭا مِّنْ عِبَادِنَآ ءَاتَيْنَـٰهُ رَحْمَةًۭ مِّنْ عِندِنَا وَعَلَّمْنَـٰهُ مِن لَّدُنَّا عِلْمًۭا ٦٥ قَالَ لَهُۥ مُوسَىٰ هَلْ أَتَّبِعُكَ عَلَىٰٓ أَن تُعَلِّمَنِ مِمَّا عُلِّمْتَ رُشْدًۭا ٦٦

Maksudnya: “Lalu mereka dapati seorang dari hamba-hamba Kami yang telah kami kurniakan kepadanya rahmat dari Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi Kami. Nabi Musa berkata kepadanya: Bolehkah aku mengikutmu, dengan syarat engkau mengajarku dari apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku?”

(Surah al-Kahfi: 65-66)

Ibn Kathir berkata: “Maksud daripada permintaan Nabi Musa tersebut adalah: “Bolehkah aku menemani dan menyertaimu sehingga memudahkanmu dalam mengajarkan ilmu yang telah Allah anugerahkan kepadamu? Yang dengan ilmu tersebut, aku sentiasa mendapat bimbingan dan petunjuk dalam setiap urusanku, serta menjadi ilmu yang bermanfaat dan amalan soleh bagiku. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/429).

Betul dan benar adalah dua perkara berbeza kerana yang betul itu belum tentu benar dan begitulah sebaliknya. Betul adalah cenderung kepada pandangan atau perspektif manusia, manakala benar adalah betul dari sisi pandangan Yang Maha Esa. Ertinya kayu ukur benar dan tidak benar bukanlah pada sisi pandangan manusia.

Oleh hal yang demikian, seorang guru yang mendidik dalam menyampaikan kebenaran perlu mempunyai ciri-ciri guru mursyid, yang bukan sekadar menyatakan perkara betul tetapi benar. Mungkin apa yang benar itu tidak betul pada pandangan manusia lain, namun di sisi Allah ia adalah betul.

Selain daripada itu, Imam al-Syafi‘i ada membincangkan maksud mursyid menurut hadith Nabi SAW, mursyid dengan makna adil. Inilah pendapat Imam al-Syafi‘i berkenaan dengan maksud wali yang mursyid.

Hal ini berdasarkan hadith, Rasulullah SAW bersabda:

لاَ نِكَاحَ إِلاَّ بِوَلِيٍّ مُرْشِدٌ

Maksudnya: “Tidak sah nikah melainkan oleh wali yang mursyid.”

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (14021)

Imam al-Syafi‘i menyebutkan, maksud mursyid dalam hadith tersebut adalah adil. Hal ini adalah kerana fasiq merupakan kekurangan yang merosakkan persaksian dan ia menghalang perwalian dalam perkahwinan.

Justeru, menjadi seorang guru mursyid bukanlah sekadar guru yang menyampaikan ilmu menurut silibus semata-mata, namun sebagai seorang guru mursyid, ia adalah seorang yang adil (tidak fasiq), mempunyai teladan akhlak yang baik sebagai ikutan dan mampu memberi petunjuk dan kebenaran kepada anak-anak didiknya sebagaimana ciri guru mursyid yang dihuraikan di atas.

Beliau juga sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar diberi petunjuk dan dibimbing ke jalan yang diredhai Allah SWT. Antara doanya:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنِي رُشْدِي، وَأَعِذْنِي مِنْ شَرِّ نَفْسِي

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepadaku kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah aku daripada kejahatan nafsuku.”

Doa ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Imran bin Husain R.A, bahawa Nabi SAW pernah mengajar bapanya, dua kalimat yang dibaca di dalam doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنِي رُشْدِي، وَأَعِذْنِي مِنْ شَرِّ نَفْسِي

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepadaku petunjuk dan kecerdasan serta lindungilah aku daripada kejahatan nafsuku.”

Riwayat al-Tirmizi (3483), al-Tabarani dalam al-Du’a (1393), al-Bazzar (3580) dan al-Baihaqi dalam al-Asma’ wa al-Sifat (894)

Syeikh al-Mubarakfuri menyebut, yakni berikanlah taufik padaku kepada al-rusyd iaitu petunjuk kepada kebaikan. Dan lindungilah aku daripada kejahatan nafsuku, yakni  peliharalah aku daripada kejahatannya di mana ia adalah tempat tumbuhnya perkara-perkara yang keji. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 9/455)

Imam al-Ghazali berkata, “Untuk mencari seorang yang mursyid macam mencari belerang merah.”

Bayangkan kenyataan Imam al-Ghazali ini pada zaman begitu ramai ulama yang hebat seperti Imam al-Haramain dan lain-lain. Ini menunjukkan guru mursyid walaupun tetap ada di sepanjang zaman tetapi kekuatan dan kehebatan mereka berbeza dan ghalibnya makin berkurangan.

Kami nyatakan di sini beberapa pandangan ulama berkenaan guru mursyid:

  • Mursyid bermaksud seseorang yang pakar dalam memberi tunjuk ajar terutamanya dalam bidang kerohanian. Mursyid secara istilahnya merupakan mereka yang bertanggungjawab memimpin dan membimbing perjalanan rohani murid untuk sampai kepada Allah S.W.T dalam proses tarbiyah yang teratur. Mursyid bertanggungjawab untuk mengajar dari sudut zahir (syariat) dan makna (batin).
  • Guru yang mursyid dapat mempengaruhi dan mewatakkan muridnya dengan akhlak yang luhur lagi tinggi dan terpuji.

Kami khatamkan perbincangan ini dengan menyebut syarat syeikh mursyid seperti yang dinukilkan daripada Syeikh ‘Abd al-Qadir al-Jilani melalui kitabnya Siyar al-Masa‘i (hlm. 208) antara lain menyebut:

  • Hendaklah guru tersebut alim dan faqih dalam hukum syariat sama ada halal dan haram, ilmu sunnah dan segala perkara yang sudah dimaklumi dalam agama.
  • Ilmu berkaitan dengan hakikat hati, batin dan pembersihan jiwa. Seorang guru itu memahami hal tersebut berkaitan tazkiyatun nufus (penyucian jiwa) dengan mendalam.
  • Wataknya amat pemurah terhadap tetamu sebagaimana sifat pemurahnya Tuhan dan Nabi-Nya maka tidak selayaknya seorang guru mursyid bersifat bakhil dan kedekut.
  • Sifat tawaduk yang tinggi kepada semua orang Islam.
  • Guru mursyid adalah berjaya dalam mentarbiyah muridnya dan juga pembersihan jiwa mereka. Akhirnya murid-murid tersebut mengungguli akhlak yang tinggi.

Betapa pentingnya guru mursyid dan mempelajari daripadanya sehingga Imam al-Haramain telah bermadah dalam syairnya:

أَصِخْ لَنْ تَنَالَ الْعِلْمَ إِلَّا بِسِتّة  *  سَأُنَبِّيكَ عَنْ تَفْصِيلِهَا بِبَيَانٍ  ذَكَاءٍ ، وَحِرْصٍ، وَافْتِقَارٍ ، وَغُرْبَةٍ  *  وَتَلْقٍينَ أُسْتَاذٍ ، وَطُولِ زَمَانٍ

Dengarlah kamu tidak mencapai ilmu kecuali dengan enam. Aku khabarkan kepadamu secara terperinci; cerdik, semangat, berhajat dan keterasingan. Menerima ilmu dari guru dan tempoh masa yang panjang.

Semoga Allah menjadikan ramai guru sebagai guru mursyid yang dapat membimbing dan membentuk peribadi unggul pelajar masing-masing.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Leave a Reply