Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah syarat memperolehi ilmu di sisi Imam Syafie?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ
Maksudnya: “Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu, dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dalam kalangan kamu) — beberapa darjat.”
(Surah al-Mujadalah: 11)
Ibn Mas’ud RA menyebut bahawa Allah SWT telah memuji ulama’ di dalam ayat ini iaitu Allah SWT mengangkat orang-orang beriman yang diberi ilmu di atas orang-orang beriman yang tidak diberikan ilmu dengan beberapa darjat. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 17/299)
Berkenaan soalan di atas, terdapat banyak syarat untuk memperolehi ilmu. Di antaranya, mempunyai guru mursyid. Hal ini berdasarkan satu ungkapan:
أَخِي لَنْ تَنَالَ الْعِلْمَ إِلَّا بِسِتَّةٍ سَأُنَبِّيْكَ عَنْ تَفْصِيْلِهَا بِبَيَانٍ
ذَكَاءٌ وَحِرْصٌ وَاجْتِهَادٌ وَبُلْغَةٌ وَإِرْشَادُ أُسْتَاذٍ وَطُوْلُ زَمَانٍ
Saudaraku, kamu tidak memperolehi ilmu kecuali dengan enam
Aku khabarkan kepadamu secara tafsil dan nyata
Cerdik, loba, bersungguh, berkehendak,
Mendapat bimbingan ustaz dan panjang tempohnya
(Lihat Majma‘ al-Adab fi Mu‘jam al-Alqab oleh Ibn al-Futi al-Syaibani, 2/125).
Hal yang sama dinukilkan daripada Abu Hilal al-‘Askari yang menyebutkan, sebahagian tokoh berpendapat bahawa tidak sempurna ilmu kecuali dengan enam perkara iaitu; akal yang tajam, masa yang panjang, cukup hartanya, amalan yang banyak, guru yang berkemahiran dan syahawat — iaitu cinta dan minat yang mendalam terhadap ilmu.
Justeru, ilmu akan dicapai dengan mudah apabila memenuhi syarat keperluannya. Ini termasuklah dengan mempunyai guru yang baik atau mursyid. Benarlah kata pujangga, apabila seorang guru memiliki tiga sifat, sudah tentu telah sempurna nikmat kepadanya pelajarnya. (Sifat-sifat itu ialah):
- Sabar yang tinggi
- Tawaduk yang benar-benar
- Akhlak yang baik
(Lihat Tinta Nasihat untuk Penuntut Ilmu, hlm. 50)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”