Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana kita hendak melahirkan guru yang mursyid?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Peranan seorang guru mursyid bukan hanya sekadar bermatlamat untuk mengilmukan pelajar semata-mata, bahkan perlulah seiring dengan penerapan nilai akhlak dan mempunyai kefahaman agama yang tinggi kerana inilah benteng yang paling ampuh dalam kehidupan insan.

Dalam Tarbiyatul Aulad, Syeikh Abdullah Nasih Ulwan menyebut: “Selepas apa yang dibentangkan sebelum ini, iaitu bahawasanya pendidikan mengenai iman ialah yang boleh membetulkan resmi badan yang menyeleweng dan boleh menegakkan segala yang bengkok serta memulihkan jiwa manusia. Tanpa adanya pendidikan ini, nescaya tidak tercapai pemulihan dan tidak boleh sempurna ketenangan dan tidak akan lurus akhlak”.

Antara perkara yang perlu diambil perhatian pada masa kini ialah:

  • Keikhlasan pada tahap yang tinggi untuk mendidik dengan sepenuh jiwa.
  • Sifat sabar yang begitu tinggi dalam menghadapi karenah pelajar.
  • Sentiasa menambahkan ilmu pengetahuan dari semasa ke semasa.
  • Budaya iqra’ diterapkan dalam jiwa pendidik.
  • Menghidupkan konsep muzakarah ilmiah sesama guru.
  • Nasihat-menasihati agar berlakunya pembetulan niat dibuat dari semasa ke semasa.
  • Kejelasan matlamat untuk mencari
  • Wazifah guru dan pendidikan hendaklah dihubung dengan para anbiya’ dan ulama’ di mana mereka mewarisinya. Justeru, hal ini boleh memberi motivasi kepada pendidik untuk lebih maju dan ke depan.
  • Mengetahui bahawa di sana adanya pendidik yang tidak baik atau disebut sebagai ulama’ su’ (jahat). Antara ciri-ciri mereka ialah menyesatkan manusia dan menjauhkan daripada hidayah Allah SWT. Begitu juga nawaitu mereka mempelajari ilmu semata-mata untuk mencabar ulama’, menunjuk kepada orang jahil dan menarik perhatian orang ramai ke arahnya. Inilah semalang-malang manusia apabila dibiarkan begitu.
  • Tahap professional juga perlu dipertingkatkan sikap dan kualiti kerja dengan semangat perubahan yang terkehadapan dapat direalisasikan. Begitu juga melaksanakan tugas mengikut latihan yang diberi dan bersifat telus, bersedia menerima teguran dan sentiasa berubah ke arah positif.
  • Mengurus kehidupan dunia yang serba mencabar dengan nilai murni yang mantap adalah pengaruh utama dalam membentuk kualiti dan standard value
  • Prinsip sifat mahmudah hendaklah direalisasikan dan dihayati bersama dengan watak dan perilaku yang baik.

Rasulullah SAW pernah memberikan satu perumpamaan seperti mana dalam hadith daripada Jabir RA, sabda Baginda SAW:

مَثَلِيْ وَمَثَلُكُمْ كَمَثَلِ رَجُلٍ أَوْقَدَ نَاراً، فَجَعَلَ الْجَنَادِبُ وَالْفَرَاشُ يَقَعْنَ فِيْهَا، وَهُوَ يَذُبُّهُنَّ عَنْهَا، وَأَنَا آخِذٌ بِحُجَزِكُمْ عَنِ النَّارِ، وَأَنْتُمْ تَفَلَّتُوْنَ مِنْ يَدِيْ.

Maksudnya: “Perumpamaan diriku dengan kamu bagaikan seorang yang menyalakan api. Semua kupu-kupu dan kelkatu mula berjatuhan pada api tersebut, sedangkan dia sentiasa menghalau serangga tersebut daripada api itu. Dan aku (selalu berusaha) menarik kamu agar jangan sampai kamu terjerumus ke dalam api (neraka), tetapi kamu selalu terlalu dari tanganku.”

Riwayat Muslim (2285) dan Ahmad (15213)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Leave a Reply