Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Zulqarnain bukanlah Alexander The Great?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Firman Allah SWT:
وَيَسْأَلُونَكَ عَن ذِي الْقَرْنَيْنِ ۖ قُلْ سَأَتْلُو عَلَيْكُم مِّنْهُ ذِكْرًا ﴿٨٣﴾ إِنَّا مَكَّنَّا لَهُ فِي الْأَرْضِ وَآتَيْنَاهُ مِن كُلِّ شَيْءٍ سَبَبًا
Maksudnya: “Mereka bertanya padamu wahai Muhammad tentang Zulkarnain. Jawablah, ‘Aku akan ceritakan kepadamu sebahagian daripada kisahnya.’ Sesungguhnya Kami telah kurniakan kepadanya kuasa pemerintahan di bumi, dan Kami berikan kepadanya asbab untuk mencapai segala visinya.”
(Surah al-Kahfi: 83-84)
Berkenaan persoalan di atas, kami nyatakan bahawa, pertamanya kita hendaklah mengetahui sedikit sebanyak latar belakang Alexander The Great. Alexander the Great ialah Alexander of Macedonia atau Alexander III. Dalam bahasa Arab dia dipanggil sebagai Iskandar al-Makduni. Dia dilahirkan pada bulan Julai tahun 356 Sebelum Masihi di tempat bernama Pella, Macedonia (sekarang dikenali sebagai Greece). Ayahnya ialah Raja Philips II dan ibunya pula bernama Olympias. Semasa kecil, Alexander mendapat pendidikan khusus dalam bidang falsafah dan sastera daripada guru peribadinya iaitu Aristotle, salah seorang ahli falsafah Yunani, yang juga anak murid kepada Plato. Alexander diangkat menjadi raja pada tahun 336 Sebelum Masihi selepas ayahnya terbunuh.
Antara peperangan masyhur yang dipimpinnya ialah “Peperangan Issus” pada tahun 333 Sebelum Masihi. Dalam peperangan itu, dia berjaya menumpaskan tentera utama Parsi yang dipimpin oleh Raja empayar Parsi yang dikenali sebagai Darius III. Namun raja itu berjaya melarikan diri tetapi meninggalkan keluarga dan harta bendanya kepada pihak lawan. Pada tahun 331 Sebelum Masihi, Raja Darius III menawarkan kedamaian melalui pemberian kawasan jajahan sebelah barat Sungai Euphrates kepada Alexander lalu mereka berpeluang menjadi rakan sekutu. Ini disokong oleh Parmenion dengan mengatakan yang tawaran ini menguntungkan kedua-dua pihak. Namun Alexander tidak bersetuju dan sekali lagi dia berperang dengan Raja Darius III dalam peperangan yang dinamakan “Peperangan Gaugamela” dan kemenangan masih berpihak kepadanya (Alexander). Raja Darius III berjaya melarikan diri walaupun dikejar oleh Alexander, tetapi akhirnya Raja Darius III mati dibunuh oleh menterinya sendiri.
Pada tahun 327 Sebelum Masihi, Alexander sudah mula terpengaruh dengan pengamalan adat resam orang Parsi lalu dia serapkan pelaksanaan salah satu amalan iaitu orang bawahan perlu mencium tangan, melutut serta menyembah orang atasan sebagai tanda hormat dan pengakuan bahawasanya orang atasan itu adalah yang berkuasa. Perkara ini tidak dipersetujui oleh kaum Yunani disebabkan kelihatan seolah-olah amalan penyembahan dewa-dewa. Orang Yunani yakin, motif Alexander memperkenalkan amalan sedemikian adalah bagi mengekalkan kononnya sifat ketuhanannya. Maka ramai yang membantah pengenalan amalan itu termasuk seorang ahli falsafah, juga penulis sejarah bagi Alexander yang bernama Kallisthenes.
Selain itu, pada tahun tahun 326 Sebelum Masihi, dia memimpin pasukan dalam peperangan menghadapi raja wilayah Punjab bernama Raja Porus dalam “Peperangan Hydespas”. Ini adalah kempen ketenteraan Alexander ke arah India. Walaupun Alexander menang dalam peperangan ini, akan tetapi kuda kesayangannya bernama Bucephalus menjadi korban.
Pada bulan Jun tahun 323 Sebelum Masihi, Alexander menghembuskan nafas yang terakhir di sebuah istana yang dahulunya dimiliki oleh Raja Bukhtanasar yang terletak di Babylon. Antara sebab-sebab kematiannya adalah sama ada diracun, demam panas ataupun malaria. (Lihat Benarkah Iskandar Bukan Zulqarnain oleh Afareez Abd Razak, hlm. 108-113).
Iskandar Zulqarnain bukanlah Alexander The Great seperti yang dipopularkan oleh Barat melalui filem ataupun sumber penulisan daripada negara Barat. Ini mengingatkan kita kepada sebuah filem tentang Alexander The Great yang diarahkan oleh Oliver Stones, yang mendakwa Alexander The Great adalah Iskandar Zulqarnain. Ini adalah kerana terdapat perbezaan ketara antara keduanya. Alexander The Great dari Macedonia merupakan pemimpin yang menyembah berhala, melakukan penjajahan dengan pelbagai cara kekerasan, merampas dan merosakkan harta benda dengan kekerasan di samping memiliki sifat-sifat yang buruk, antaranya mempunyai keinginan sesama jantina (gay) dan yang paling ketara, beliau tidak membina tembok yang menghalang Ya’juj dan Ma’juj daripada menyeberangi sempadan sebagaimana yang dinyatakan dalam surah al-Kahfi. (Lihat Wacana Cerita dalam al-Quran: Satu Kajian dalam Surah al-Kahf, hlm. 217-218)
Al-Hafiz Ibn Hajar menyebutkan, Imam al-Bukhari telah memetik kisah Zulqarnain sebelum kisah Ibrahim dan ia merupakan isyarat untuk melemahkan pendapat mereka yang mengatakan bahawa Zulqarnain yang dimaksudkan adalah Iskandar (Alexander) yang berbangsa Yunani. Hal ini kerana Iskandar dekat dengan zaman Nabi Isa AS, dan antara zaman Nabi Ibrahim AS dan Nabi Isa AS adalah lebih dari 2000 tahun.
Menurutnya lagi (Ibn Hajar al-‘Asqalani), pendapat yang lebih tepat adalah bahawa Iskandar Yunani digelar dengan Zulqarnain kerana diserupakan dengan Zulqarnain yang terdahulu. Hal ini disebabkan keduanya memiliki persamaan dari segi luasnya kerajaan dan banyak menguasai negeri-negeri. Atau kerana ketika Iskandar menguasai Parsi dan membunuh rajanya, maka dia menguasai dua kerajaan yang luas, iaitu Rom dan Parsi. Atas dasar itulah dia digelar dengan Zulqarnain.
Pandangan yang tepat, bahawa apa yang dikisahkan oleh Allah dalam al-Quran, adalah merujuk kepada Zulqarnain yang lebih dahulu di antara keduanya. Perbezaan antara keduanya dapat ditinjau berdasarkan beberapa faktor:
Pertama, apa yang telah disebutkannya (Ibn Hajar al-‘Asqalani). Dalil yang menunjukkan bahawa Zulqarnain yang dikisahkan dalam al-Quran ialah Zulqarnain yang lebih awal adalah berdasarkan apa yang dipetik oleh al-Fakihi daripada ‘Ubaid bin ‘Umair (salah seorang tokoh dalam kalangan tabi‘in) bahawa Zulqarnain menunaikan haji sambil berjalan kaki. Lalu berita kedatangannya didengari oleh Nabi Ibrahim AS dan Baginda pun bertemunya. Kemudian dari jalur ‘Ata’, daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, bahawa Zulqarnain masuk ke Masjidil Haram lalu memberi salam kepada Nabi Ibrahim dan berjabat tangan dengannya. Dikatakan bahawa dia ialah orang pertama yang berjabat tangan. Sementara dari jalur Uthman bin Saj, disebutkan bahawa Zulqarnain meminta kepada Nabi Ibrahim AS agar berdoa untuknya. Maka Nabi Ibrahim AS bersabda, “Bagaimana (aku berdoa untukmu) sedangkan kamu semua telah merosakkan telagaku.” Zulqarnain berkata, “Sesungguhnya yang demikian itu bukan atas perintahku,” yakni, sebahagian tentera melakukan perkara tersebut tanpa pengetahuannya.
Ibn Hisyam menyebut dalam kitab al-Tijan bahawa Nabi Ibrahim meminta pengadilan kepada Zulqarnain mengenai suatu urusan, dan Zulqarnain memberikan keputusan buatnya. Ibn Abi Hatim meriwayatkan daripada jalur Ali bin Ahmad, bahawa Zulqarnain datang ke Makkah dan mendapati Nabi Ibrahim dan Isma‘il membangunkan Kaabah. Dia meminta penjelasan kedua mereka tentang hal itu. Kedua-duanya berkata, “Kami adalah dua hamba yang diperintah.” Zulqarnain berkata, “Siapakah yang menjadi saksi untuk kamu berdua?” Maka berdirilah lima Akbusy memberi persaksian. Zulqarnain berkata, “Sesungguhnya kamu adalah benar.” Ibn Abi Hatim berkata, “Aku mengira Akbusy yang dimaksudkan adalah batu. Namun, ada juga kemungkinan yang dimaksudkan adalah kambing biri-biri.” Athar-athar (riwayat-riwayat) ini saling menguatkan satu sama lain, dan menunjukkan bahawa Zulqarnain yang disebutkan dalam al-Quran bukan Iskandar (Alexander).
Kedua, al-Fakhr al-Razi dalam tafsirnya menyebutkan, Zulqarnain ialah seorang nabi, sedangkan Iskandar (Alexander) seorang kafir. Guru kepada Iskandar (Alexander) ialah Aristotle dan dia mendengar perintahnya, sedangkan Aristotle itu termasuk dalam kalangan orang kafir tanpa ragu-ragu lagi.
Ketiga, Zulqarnain termasuk dalam kalangan bangsa Arab, sedangkan Iskandar (Alexander) berasal dari Yunani. Orang-orang Arab seluruhnya berasal daripada keturunan Sam bin Nuh (menurut kesepakatan), meskipun berlaku perselisihan adakah mereka semuanya berasal daripada keturunan Isma‘il ataupun tidak. Adapun bangsa Yunani berasal daripada keturunan Yafith bin Nuh (menurut pendapat yang rajih — kuat), maka di sini ada perbezaan antara kedua-duanya.
Kekeliruan (atau alasan) mereka yang berpendapat bahawa Zulqarnain ialah Iskandar (Alexander) adalah riwayat yang dinukilkan oleh al-Tabari dan Muhammad bin Rabi‘ al-Jizi dalam kitab al-Sahabah Allazina Nazalu Misr, dengan sanad yang terdapat di dalamnya perawi bernama Ibn Lahi‘ah, bahawa seorang lelaki bertanya kepada Nabi SAW tentang Zulqarnain, maka Baginda SAW bersabda: “Dia berasal dari Rom. Dia diberi kekuasaan sampai ke Mesir dan membangunkan Iskandariah. Ketika selesai, malaikat datang kepadanya lalu membawanya naik (tinggi). Malaikat itu berkata, ‘Lihatlah apa di bawahmu.’ Dia berkata, ‘Aku melihat satu kota.’ Malaikat berkata, ‘Itu adalah bumi seluruhnya, hanya sahaja Allah berkehendak memperlihatkan kepadamu dan telah memberikan kekuasaan untukmu di bumi. Berjalanlah padanya dan ajarkanlah orang yang bodoh serta kukuhkan orang yang berilmu.’” Kemudian, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menambah, seandainya riwayat ini sahih pasti ia akan dapat menghilangkan perselisihan, akan tetapi darjatnya adalah lemah. (Lihat Fath al-Bari, 6/382-383).
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا
Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”