Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakaah yang dimaksudkan dengan abdan berdasarkan ayat 65 surah al-Kahfi?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Allah SWT berfirman:

فَوَجَدَا عَبْدًا مِّنْ عِبَادِنَا آتَيْنَاهُ رَحْمَةً مِّنْ عِندِنَا وَعَلَّمْنَاهُ مِن لَّدُنَّا عِلْمًا

Maksudnya: “Sampai di sana, mereka menemui seorang hamba daripada hamba-hamba Kami iaitu Khadir yang telah Kami berikan kepadanya rahmat dan Kami telah mengajarnya ilmu dari sisi Kami.”

(Surah al-Kahfi: 65)

Kalimah “عَبْدًا” bererti hamba. Allah SWT menyebut kalimah ini dalam bentuk tafkhim (pengutamaan kalimah) sebagai makna hamba terpilih di kalangan hamba yang lain serta mengisyaratkan keagungan hamba tersebut. Majoriti ulama berpendapat hamba tersebut iaitu Nabi Khadir A.S atau nama lengkapnya ialah Balya bin Malkan. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 8/315)

Berkenaan dengan tafsiran hamba disini, para ulama telah berbeza pendapat sebagaimana berikut:

  • Pertama: Ibn Kathir berkata, yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Khadir A.S, seperti yang warid dalam hadith-hadith sahih daripada Rasulullah SAW. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/157)
  • Kedua: Sayyid Qutb berkata, “Di sini jelaslah bahawa pertemuan itu merupakan rahsia Musa bersama Allah. Ia tidak diketahui oleh teman pemudanya sehingga kedua-duanya bertemu dengan Hamba yang soleh itu. Oleh sebab itu, di dalam kisah-kisah yang berikut ditunjukkan Musa dan hamba yang soleh itu sahaja.”
  • Ketiga: Beliau adalah Yusha’ seperti kata Wahhab dan Muqatil.
  • Keempat: Aramia bin Halqiyan seperti pendapat Ibnu al-Munadi.
  • Kelima: Yalya’ bin Mulkan dan inilah pendapat Ali bin Ahmad al-Naisaburi.

Beliau dinamakan Khadir kerana dua pendapat:

  • Pertama: Tidak beliau duduk di satu tempat melainkan menjadi subur seperti di tanah kering. Inilah yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah daripada Rasulullah SAW.
  • Kedua: Apabila beliau duduk, semua kawasannya menjadi hijau. Inilah pendapat Ikrimah.

Al-Amin al-Syanqiti menyebutkan, rahmat dan ilmu ladunni ini dinyatakan oleh Allah SWT sebagai kurniaan-Nya kepada Khadir, tetapi tidak dijelaskan adakah kedua-duanya itu merupakan rahmat kenabian dan ilmunya atau rahmat kewalian dan ilmunya? Sesungguhnya para ulama telah berbeza pendapat mengenai Khadir, adakah dia seorang nabi, rasul, wali atau malaikat? Akan tetapi difahami daripada beberapa ayat bahawa rahmat yang dimaksudkan itu ialah rahmat kenabian dan ilmu ladunni itu pula ialah ilmu wahyu — yakni wahyu yang diberikan kepada Khadir A.S. (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 3/322)

Ilmu ladunni yang dimaksudkan di sini, seperti yang disebutkan oleh Ibn al-Qayyim, ilmu yang terdapat padanya dalil sahih bahawa ia datang dari Allah SWT, tetapi melalui perantaraan lisan para rasul. Selain dari (definisi ilmu ladunni yang disebutkan) itu, ia adalah ilmu yang datang dari diri seseorang manusia dan kembali kepada dirinya sendiri. (Lihat Madarij al-Salikin, 3/400)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Leave a Reply