Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh jelaskan tafsiran Ayat 72-76 Surah al-Kahfi?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Allah SWT berfirman:

قَالَ أَلَمْ أَقُلْ إِنَّكَ لَن تَسْتَطِيعَ مَعِيَ صَبْرًا

Maksudnya: “Ia menjawab: ‘Bukankah aku telah katakan, bahawa engkau tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku?’.”

 (Surah al-Kahfi: 72)

Ibn Kathir berkata, “Ayat bukankah aku telah katakan, bahawa engkau tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku bermaksud janganlah engkau mempersempitkan dan mempersulitkan diriku.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim,)

Al-Maraghi berkata dalam tafsirnya, “Nabi Khadir berkata bukankah aku telah berkata kepadamu wahai Musa sesungguhnya kamu sesekali tidak akan mampu bersabar bersamaku lantaran perbuatan yang aku lakukan.”(Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/4156)

Sayyid Qutb berkata, “Lalu Musa meminta maaf atas kelupaannya dan memohon agar lelaki itu menerima permintaan maafnya dan janganlah menyulitkan lagi dengan mengulangi kata dan teguran dan peringatan.” (Lihat Tafsir Fi Zilal al-Quran, 10/358)

Seterusnya, Allah SWT berfirman:

 قَالَ لَا تُؤَاخِذْنِي بِمَا نَسِيتُ وَلَا تُرْهِقْنِي مِنْ أَمْرِي عُسْرًا

Maksudnya: Nabi Musa berkata: “Janganlah engkau marah akan daku disebabkan aku lupa (akan syaratmu); dan janganlah engkau memberati daku dengan sebarang kesukaran dalam urusanku (menuntut ilmu).”

 (Surah al-Kahfi: 73)

Lafaz تُرْهِقْنِي berasal daripada kalimah (رهق) yang bermaksud desakan atau tekanan. Dan dalam konteks ayat ini, Nabi Musa A.S berpesan kepada Nabi Khadir A.S agar tidak membebaninya dengan kesusahan dalam usaha Baginda untuk menuntut ilmu. (Lihat al-Siraj fi Bayan Gharib al-Quran, 1/136; Maqayis al-Lughah, 2/451)

Al-Maraghi berkata, “Nabi Musa berkata kepada Nabi Khadir, janganlah kamu menghukum aku kerana kelalaianku untuk berserah diri kepadamu tanpa mengingkari kamu. Janganlah kamu membebankan aku sesuatu kesulitan dan janganlah kamu menyempitkan urusanku ini. Janganlah kamu mempersulitkan aku untuk mengikut kamu tetapi mudahkanlah sesuatu tanpa berdebat denganmu.”  (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/4156)

Seterusnya, Allah SWT berfirman:

‏ فَانطَلَقَا حَتَّىٰ إِذَا لَقِيَا غُلَامًا فَقَتَلَهُ قَالَ أَقَتَلْتَ نَفْسًا زَكِيَّةً بِغَيْرِ نَفْسٍ لَّقَدْ جِئْتَ شَيْئًا نُّكْرًا

Maksudnya: “Kemudian keduanya berjalan lagi sehingga apabila mereka bertemu dengan seorang pemuda lalu ia membunuhnya. Nabi Musa berkata “Patutkah engkau membunuh satu jiwa yang bersih, yang tidak berdosa membunuh orang? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perbuatan yang mungkar!”

 (Surah al-Kahfi: 74)

Kalimah “نُّكْرًا” bermaksud kemungkaran yang besar. Hal ini kerana, ia merujuk kepada perbuatan Nabi Khadir A.S yang menumpahkan darah seorang anak muda. (Lihat Safwah al-Tafasir, 2/200; al-Siraj fi Bayan Gharib al-Quran, 1/136)

Ibn Kathir berkata, sebagaimana yang dijelaskan bahawa anak itu sedang bermain dengan anak-anak lainnya di sebuah perkampungan. Khadhir sengaja mendekati anak itu yang berada di tengah anak-anak lainnya. Ia adalah anak yang paling baik di antara kawan-kawannya lalu Khadhir membunuhnya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/165)

Al-Maraghi berkata: “Setelah mereka berdua turun dari kapal dalam keadaan selamat daripada tenggelam dan bencana maka mereka pun meneruskan perjalanannya menyusuri pantai. Lalu Nabi Khadir melihat seorang anak yang sedang bermain bersama kawannya yang sebaya lalu baginda membunuhnya. Namun, al-Quran tidak pernah menceritakan bagaimana cara Nabi Khadir membunuh anak itu. Bagi kita tidak perlu memeningkan kepala memikirkan hal itu kerana sekiranya perkara itu ada kebaikan tentu Allah akan menceritakan hal itu kepada kita.

Sesungguhnya, kamu telah melakukan sesuatu yang tidak dipersetujui oleh akal sesiapa pun malah dibenci. Di sini nabi Musa mengucapkan kata-kata nukran(perbuatan yang mungkar), sedangkan pada ayat sebelumnya baginda mengucapkan imran(perkara yang besar) kerana membunuh anak adalah lebih buruk daripada melubangi kapal. Kapal yang berlubang tidak semestinya membinasakan jiwa kerana mungkin kapal itu tidak akan tenggelam. Sedangkan, peristiwa terakhir ini adalah membunuh, merupakan pembinasaan terhadap jiwa yang membinasakan.”  (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/4156-4157)

Sayyid Qutb berkata, “Jika pada kali yang pertama dia melubangkan bahtera yang membawa kemungkinan menenggelamkan para penumpangnya, maka kali ini dia membunuh seorang manusia iaitu membunuh dengan sengaja, bukannya semata-mata dengan persoalan kemungkinan. Ini adalah satu kesalahan yang amat besar dan tidak dapat disabari oleh Musa walaupun dia teringat kepada janjinya.

Kali ini, Musa bukannya terlupa atau terlalai, tetapi beliau bertanya dengan sengaja. Beliau benar-benar bermaksud membantah perbuatan mungkar itu dan beliau tidak mahu mencari sebab dan alasannya. Beliau memandang budak itu tidak bersalah kerana dia tidak melakukan apa-apa perbuatan yang mewajarkannya dihukum bunuh, malah budak itu belum lagi akil baligh hingga boleh dipersalahkan segala perbuatan yang terbit darinya. Sekali lagi hamba yang soleh ini mengingatkan kepada Musa akan syaratnya yang telah disyaratkan itu dan kepada janji beliau yang telah dijanjikannya itu.” (Lihat Tafsir Fi Zilal al-Quran, 10/360)

Seterusnya, Allah SWT berfirman:

قَالَ أَلَمْ أَقُل لَّكَ إِنَّكَ لَن تَسْتَطِيعَ مَعِيَ صَبْرًا

Maksudnya: “Ia menjawab: ‘Bukankah, aku telah katakan kepadamu, bahawa engkau tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku?’.”

 (Surah al-Kahfi: 75)

Di sini Khadir juga menekankan serta mengingatkan semula syarat pertama yang telah beliau sebutkan. Hal ini berbeza dengan lafaz pada ayat sebelumnya. Di dalam ayat ini, ditambah (لَّكَ) berbanding ayat sebelumnya, sebagai isyarat teguran yang tegas kerana Nabi Musa A.S telah melanggar syarat yang ditetapkan. Dan ini menunjukkan kurangnya sifat sabar dan keteguhan apabila Baginda berulang kali melatah tanpa kembali kepada syarat pertama yang digariskan oleh Khadir. Dinukilkan dari al-Baghawi, dalam sebuah riwayat, Yusya‘ berkata kepada Nabi Musa A.S: “Ingat semula janji yang telah kamu sebutkan!” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/165; Tafsir al-Maraghi, 8/4162)

Sayyid Qutb berkata, “yakni (aku telah katakan) kepada engkau sendiri dengan tegas dan tepat tetapi engkau tidak percaya dan masih memohon bersahabat dan menerima syarat. Musa kembali berbicara dengan hatinya sendiri. Beliau dapati dia kini telah dua kali dan menyalahi dan melupakan janjinya setelah diberi peringatan lalu dengan terburu-buru beliau mengambil keputusan memotong jalan untuk dirinya dan menjadikannya sebagai peluang terakhir yang ada di hadapannya.” (Lihat Tafsir Fi Zilal al-Quran, 10/360)

Seterusnya, Allah SWT berfirman:

 قَالَ إِن سَأَلْتُكَ عَن شَيْءٍ بَعْدَهَا فَلَا تُصَاحِبْنِي ۖ قَدْ بَلَغْتَ مِن لَّدُنِّي عُذْرًا

Maksudnya: “Nabi Musa berkata: ‘Jika aku bertanya kepadamu tentang sebarang perkara sesudah ini, maka janganlah engkau jadikan daku sahabatmu lagi; sesungguhnya engkau telah cukup mendapat alasan-alasan berbuat demikian disebabkan pertanyaan-pertanyaan dan bantahanku’.”

 (Surah al-Kahfi: 76)

Selepas Nabi Khadir A.S memberikan peringatan berkali-kali kepada Nabi Musa A.S, Baginda pun berkata: “Engkau telah memberikan uzur (kemaafan atau kelonggaran) berkali-kali kepadaku. Sekiranya aku membantah kamu selepas ini, maka janganlah engkau benarkanku mengikutimu lagi. Sesungguhnya engkau telah memberikanku keuzuran beberapa kali.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/165)

Al-Maraghi berkata, “Nabi Musa berkata kepada Nabi Khadir, jika selepas ini, aku bertanya lagi kepadamu tentang keajaiban perbuatanmu yang aku saksikan, dan memintamu supaya menjelaskan hikmahnya apatah lagi berdebat dan menentangnya, janganlah kamu menganggap aku sebagai teman. Nabi Musa bersabda sesungguhnya kamu telah puas memberi alasan kepadaku untuk memisahkanku kerana aku telah berkali-kali mengingkari arahanmu? Ini merupakan perkataan orang yang sungguh menyesal sehingga membuatnya mengaku secara jujur.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/4163)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Leave a Reply