Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin tahu, adakah Nabi Khadir masih hidup atau sudah pun wafat?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Allah SWT berfirman:

فَوَجَدَا عَبْدًۭا مِّنْ عِبَادِنَآ ءَاتَيْنَـٰهُ رَحْمَةًۭ مِّنْ عِندِنَا وَعَلَّمْنَـٰهُ مِن لَّدُنَّا عِلْمًۭا ٦٥ قَالَ لَهُۥ مُوسَىٰ هَلْ أَتَّبِعُكَ عَلَىٰٓ أَن تُعَلِّمَنِ مِمَّا عُلِّمْتَ رُشْدًۭا ٦٦ قَالَ إِنَّكَ لَن تَسْتَطِيعَ مَعِىَ صَبْرًۭا ٦٧ وَكَيْفَ تَصْبِرُ عَلَىٰ مَا لَمْ تُحِطْ بِهِۦ خُبْرًۭا ٦٨ قَالَ سَتَجِدُنِىٓ إِن شَآءَ ٱللَّهُ صَابِرًۭا وَلَآ أَعْصِى لَكَ أَمْرًۭا ٦٩ قَالَ فَإِنِ ٱتَّبَعْتَنِى فَلَا تَسْـَٔلْنِى عَن شَىْءٍ حَتَّىٰٓ أُحْدِثَ لَكَ مِنْهُ ذِكْرًۭا

Maksudnya: “Lalu mereka dapati seorang dari hamba-hamba Kami yang telah kami kurniakan kepadanya rahmat dari Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi Kami. Nabi Musa berkata kepadanya: Bolehkah aku mengikutmu, dengan syarat engkau mengajarku dari apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku?” Ia menjawab: “Sesungguhnya engkau (wahai Musa), tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku. Dan bagaimana engkau akan sabar terhadap perkara yang engkau tidak mengetahuinya secara meliputi? Nabi Musa berkata: “Engkau akan dapati aku, Insyaa Allah: orang yang sabar; dan aku tidak akan membantah sebarang perintahmu”. Ia menjawab: “Sekiranya engkau mengikutku, maka janganlah engkau bertanya kepadaku akan sesuatupun sehingga aku ceritakan halnya kepadamu”.

(Surah al-Kahfi: 65-70)

Berkenaan persoalan di atas, secara umumnya para ulama berbeza pendapat mengenainya kepada dua pendapat.

  • Pendapat pertama menyatakan bahawa Nabi Khadhir masih lagi hidup sehingga kini. Di antara ulama yang berpegang dengan pendapat ini ialah Imam al-Nawawi, Ibn Solah, al-Qurtubi dalam tafsirnya dan Kamaluddin al-Damiri. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 15/135-136; Hayah al-Hayawan al-Kubra, Dar al-Basya’ir, 2/152; al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 11/41).

Imam al-Nawawi dalam kitabnya menyatakan bahawa jumhur ulama berpendapat, Nabi Khadhir masih lagi hidup dan wujud dalam kalangan kita. Perkara tersebut disepakati oleh ahli sufi serta ahli solah dan ma‘rifah. Kisah-kisah mereka melihatnya dan berhimpun dengannya, mengambil ilmu dan pengajaran daripadanya, bersoal jawab bersamanya, kehadirannya di tempat-tempat yang mulia dan di tempat-tempat yang baik terlalu banyak untuk dihitung dan terlalu masyhur untuk dirahsiakan. Begitu juga al-Syeikh Abu Umar bin al-Solah menyebutkan, Nabi Khadhir masih lagi hidup menurut majoriti ulama, orang-orang soleh dan orang-orang awam yang bersama mereka dalam hal tersebut. Akan tetapi sebahagian ulama hadith telah tersilap dengan mengingkarinya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 15/135-136).

Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyebutkan, majoriti ulama berpendapat bahawa Nabi Khadhir telah meninggal dunia. Akan tetapi terdapat sebahagian mereka berpendapat, Nabi Khadhir masih lagi hidup kerana dia telah minum ‘ain al-hayah (mata air kehidupan). Jadi, dia masih hidup di atas muka bumi dan menunaikan haji di Baitullah. Kemudian, Imam al-Qurtubi menyatakan bahawa pendapat yang sahih ialah pendapat yang kedua, iaitu Nabi Khadhir masih lagi hidup sebagaimana yang telah disebutkan. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 11/41).

Begitu juga al-Damiri, selepas menukilkan pendapat Imam al-Nawawi dan Ibn Solah sebagaimana di atas, serta pendapat ulama yang berpegang bahawa Nabi Khadhir sudah meninggal dunia dalam kitabnya, dia kemudiannya menyatakan bahawa pendapat yang sahih lagi tepat ialah Nabi Khadhir masih lagi hidup. Selain itu, al-Damiri juga menyatakan bahawa sebahagian mereka menyebutkan, Nabi Khadhir telah bertemu dengan para sahabat Rasulullah SAW dan mengucapkan takziah kepada ahli bait Baginda ketika mereka berkumpul untuk memandikan jenazah Baginda. Hal tersebut telah diriwayatkan dengan jalur-jalur yang sahih. (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, Dar al-Basya’ir, 2/151-152).

  • Pendapat kedua menyatakan, Nabi Khadhir telah meninggal dunia. Di antara ulama yang berpegang dengan pendapat ini ialah Imam al-Bukhari, al-Qadhi Abu Bakar bin al-‘Arabi, al-Hasan, Abu al-Husain bin al-Munadi, Ibn al-Jauzi, Ibn Kathir, Muhammad al-Amin al-Syanqiti dalam Adhwa’ al-Bayan, Dr. Yusuf al-Qaradhawi dan ramai lagi. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 2/265; Hayah al-Hayawan al-Kubra, Dar al-Basya’ir, 2/151; Adhwa’ al-Bayan, 3/326-338).

Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyebutkan, sebahagian orang menyebutkan bahawa Nabi Khadhir masih hidup selepas zaman Nabi Musa sehingga zaman Nabi Isa, kemudian zaman Nabi Muhammad SAW. Seterusnya dia masih hidup sekarang sehinggalah ke hari kiamat. Dibawakan kisah-kisah, riwayat-riwayat dan cerita-cerita dongeng berkisar tentangnya, di mana dia ada bertemu si fulan, memakaikan si fulan kain, mengikat janji dengan si fulan dan lain-lain lagi yang dicerita dan disalin daripada kisah-kisah tersebut yang mana Allah SWT tidak pernah menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya.

Sebenarnya tidak ada dalil sama sekali bahawa Nabi Khadhir masih lagi hidup atau masih wujud — sebagaimana yang didakwa oleh mereka yang mendakwanya. Sebaliknya di sana terdapat dalil daripada al-Quran, al-Sunnah, akal dan ijma‘ daripada para muhaqqiq dalam kalangan ummah bahawasanya Nabi Khadhir tidak lagi hidup. Cukuplah aku (Dr. Yusuf al-Qaradhawi) menukilkan daripada kitab al-Manar al-Munif fi al-hadith al-Sahih wa al-Dha’if karya al-Muhaqqiq Ibn al-Qayyim, di mana dalam kitab tersebut dia telah menyebutkan dhawabit (garis panduan) bagi hadith maudhu‘ (palsu) yang tidak diterima di dalam agama. Di antara dhawabit tersebut ialah hadith-hadith yang menceritakan berkenaan Nabi Khadhir dan kehidupannya (yakni masih lagi hidup). Kesemuanya adalah dusta. Tidak ada satu hadith pun mengenai hidupnya Nabi Khadhir yang sahih. Begitu juga hadith bahawa Rasulullah SAW sedang berada di dalam masjid, lalu Baginda mendengar beberapa percakapan di belakangnya. Maka mereka pergi dan melihatnya, ternyata itu ialah Nabi Khadhir. Begitu juga hadith yang menceritakan bahawa Nabi Khadhir dan Ilyas bertemu setiap tahun. Begitu juga hadith yang menyatakan bahawa Jibril, Mika’il dan Khadhir akan bertemu di ‘Arafah.

Selain itu, Ibrahim al-Harbi ditanya berkenaan umur panjang Khadhir dan sesungguhnya dia masih ada (yakni hidup atas muka bumi). Maka, beliau menjawab: “Tidaklah yang menyampaikan mengenai perkara ini kepada orang ramai melainkan syaitan.” Di samping itu, Imam al-Bukhari juga pernah ditanya berkenaan Nabi Khadhir dan Ilyas, adakah kedua-duanya masih hidup? Beliau menjawab: “Bagaimana hal ini boleh terjadi? Sedangkan Nabi SAW bersabda:

لا يَبْقَى عَلَى رَأْسِ مِائَةٍ سَنَةِ مِمَّنْ هُوَ اليَوم عَلَى ظَهْرِ الأَرْضِ أَحَدٌ

Maksudnya:Tidaklah akan hidup sampai seratus tahun lagi bagi orang yang hari ini berada di muka bumi ini.” (Riwayat al-Syaikhan)

Tambahan lagi ditanyakan juga mengenai hal tersebut kepada ramai dalam kalangan para imam dan mereka menjawab, dengan berdalilkan ayat al-Quran:

وَمَا جَعَلْنَا لِبَشَرٍ مِّن قَبْلِكَ الْخُلْدَ ۖ أَفَإِن مِّتَّ فَهُمُ الْخَالِدُونَ

Maksudnya:Dan Kami tidak menjadikan seseorang manusia sebelummu dapat hidup kekal (di dunia ini). Maka kalau engkau meninggal dunia (wahai Muhammad), adakah mereka akan hidup selama-lamanya?

(Surah al-Anbiya’ : 34)

Selain daripada itu, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah juga pernah ditanya tentang perkara ini, lalu beliau menjawab, sekiranya Khadhir masih hidup, tentulah dia wajib berjumpa dengan Nabi SAW, berjihad bersama Baginda, dan belajar daripada Baginda. Sesungguhnya Nabi SAW bersabda ketika hari peperangan Badar, “Ya Allah, jika pasukan ini binasa, pasti Engkau tidak akan disembah lagi di muka bumi ini.” Pada waktu itu, pasukan tentera Islam hanya berjumlah 313 orang lelaki yang diketahui nama-nama mereka, nama bapa-bapa dan suku-suku mereka. Jadi, di manakah Khadhir pada ketika itu?

Apatah lagi, al-Quran dan al-Sunnah serta kalam para muhaqqiq daripada kalangan ulama umat Islam menafikan bahawasanya Khadhir masih lagi hidup sebagaimana yang didakwa sebahagian orang. Al-Quran menyebutkan:

وَمَا جَعَلْنَا لِبَشَرٍ مِّن قَبْلِكَ الْخُلْدَ ۖ أَفَإِن مِّتَّ فَهُمُ الْخَالِدُونَ

Maksudnya:Dan Kami tidak menjadikan seseorang manusia sebelummu dapat hidup kekal (di dunia ini). Maka kalau engkau meninggal dunia (wahai Muhammad), adakah mereka akan hidup selama-lamanya?

(Surah al-Anbiya’ : 34)

Justeru, Khadhir itu, jika dia seorang manusia, tentulah dia tidak akan hidup kekal (di dunia ini), kerana perkara tersebut dinafikan oleh al-Quran al-Karim dan al-Sunnah yang suci. Menurut Ibn Kathir, dinyatakan dalam ‘Ujalah al-Muntazar fi Syarh Halah al-Khadhir bahawa Khadhir termasuk dalam keumuman ayat di atas, dan tidak boleh mengkhususnya daripada perkara tersebut melainkan dengan  dalil yang sahih. Pada asalnya ketiadaan sesuatu yang mengkhususkannya (mengecualikannya daripada keumuman tersebut) sehinggalah ia sabit (dibuktikan). (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 2/265).

Bukan itu sahaja, seandainya dia masih hidup, sudah tentu dia datang kepada Nabi SAW sebagaimana Baginda pernah bersabda tentang Nabi Musa:

واللهِ لَوْ كَانَ مُوسَى حَيًّا مَا وسِعَهُ إِلَّا أَن يَتَّبِعَنِي

Maksudnya:Demi Allah, sekiranya Musa itu masih hidup, tentu dia akan mengikutiku.” (Riwayat Ahmad daripada Jabir bin Abdullah).

Selain itu, jika Khadhir seorang Nabi, tidaklah dia lebih mulia dan utama daripada Nabi Musa, dan jika dia seorang wali, tidaklah dia lebih mulia dan utama daripada Abu Bakar.

Selanjutnya, apakah hikmahnya untuk Khadhir masih lagi hidup — sebagaimana anggapan sebahagian orang — di padang luas, gurun dan gunung-ganang? Apakah faedahnya? Tidak ada faedah dari segi syarak mahupun akal di sebalik kekal hidupnya Nabi Khadhir ini? Sesungguhnya orang ramai selalu menyukai cerita-cerita yang pelik lagi ganjil dan kisah-kisah dongeng. Mereka menggambarkannya menurut gambaran mereka sendiri dan khayalan mereka, kemudiannya, mereka menyandarkannya kepada pakaian keagamaan. Cerita ini disebarkan dalam kalangan orang awam dan mereka beranggapan cerita ini berasal daripada agama, padahal sama sekali bukan daripada agama. Hikayat-hikayat yang diceritakan tentang Khadhir hanyalah rekaan manusia dan Allah tidak pernah menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya.[1]

Selain daripada itu, Ibn Kathir juga ada menyatakan bahawa al-Syeikh Abu al-Faraj Ibn al-Jauzi ada membahaskan dan mengkritik dalam kitabnya ‘Ujalah al-Muntazar fi Syarh Halah al-Khadhir berkenaan hadith-hadith yang dikatakan marfu‘ dalam hal tersebut dan menjelaskan bahawa ia sebenarnya adalah maudhu‘ (palsu), begitu juga berkenaan athar-athar dalam hal tersebut yang dikatakan daripada sahabat, tabi‘in dan generasi selepas mereka, dan menjelaskan sebenarnya sanad-sanadnya adalah lemah dengan turut menjelaskan bersama keadaan-keadaannya dan perawi-perawinya yang tidak dikenali. Ibn al-Jauzi dalam hal ini telah mengkritiknya dengan sangat baik. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 2/265).

Selain itu, Ibn Kathir ada menyebutkan dalam tafsirnya, mereka yang berpendapat bahawa Khadhir masih lagi hidup turut menyebutkan hikayat-hikayat, dan athar-athar daripada salaf dan selain mereka mengenai perkara tersebut, serta menyebutnya pada sebahagian hadith. Sebenarnya, tidak ada satu pun daripada hadith tersebut yang sahih, dan yang paling masyhur adalah hadith-hadith mengenai takziah, dan sanad-sanadnya adalah lemah. Ulama dalam kalangan ahli hadith dan selain mereka memilih pendapat yang menyatakan bahawa Khadhir telah wafat. Mereka berhujah dengan firman Allah SWT:

وَمَا جَعَلْنَا لِبَشَرٍ مِّن قَبْلِكَ الْخُلْدَ ۖ أَفَإِن مِّتَّ فَهُمُ الْخَالِدُونَ

Maksudnya:Dan Kami tidak menjadikan seseorang manusia sebelummu dapat hidup kekal (di dunia ini). Maka kalau engkau meninggal dunia (wahai Muhammad), adakah mereka akan hidup selama-lamanya?

(Surah al-Anbiya’ : 34)

Begitu juga dengan doa Nabi SAW pada hari peperangan Badar:

اللَّهُمَّ إِنَّ تُهْلِكْ هَذِهِ الْعِصَابَةَ مِن أهْلِ الإسْلامِ لَا تُعْبَدْ فِي الْأَرْضِ

Maksudnya:Ya Allah, sekiranya binasa pasukan ini daripada kalangan orang Islam, pasti Engkau tidak akan disembah lagi di muka bumi ini.

Riwayat Muslim (1763)

Kemudian, tidak dinukilkan dalam satu riwayat pun bahawasanya Khadhir datang kepada Rasulullah SAW. Sebaliknya, dia tidak pergi bertemu Baginda SAW mahupun berperang bersama Baginda. Kalaulah benar dia masih hidup, sudah tentu dia termasuk dalam kalangan pengikut Nabi SAW dan para sahabatnya kerana Baginda SAW diutuskan kepada seluruh jin dan manusia. Lebih-lebih lagi, Baginda SAW juga pernah bersabda:

لَوْ كَانَ مُوسَى وَعِيسَى حَيَّيْن مَا وَسِعَهُمَا إِلَّا اتِّبَاعِي

Maksudnya:Kalaulah Musa dan Isa masih hidup, tentu kedua-duanya akan mengikutiku.[2]

Begitu juga Baginda SAW ada mengkhabarkan sebelum kematiannya bahawa tidak ada seorang pun yang ada di muka bumi ini kekal hidup sehingga seratus tahun malamnya, dan lain-lain daripada dalil-dalil. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/187).

Selain daripada itu, Muhammad al-Amin al-Syanqiti dalam kitabnya Adhwa’ al-Bayan (3/326-338) telah membahaskan berkenaan perkara ini dengan cukup panjang lebar dan terperinci. Sebahagian hujah dan dalilnya adalah lebih kurang sama sebagaimana yang telah disebutkan di atas, ditambah lagi dengan huraian tambahan daripada beliau berserta kritikan balas ke atas hujah yang dikemukakan oleh mereka yang berpendapat, Khadhir masih hidup. Kami nyatakan di sini sebahagiannya secara ringkas iaitu di antaranya:

Hikayat-hikayat orang soleh berkenaan Khadhir terlalu banyak untuk dihitung, dan mereka mendakwa bahawa Khadhir dan Ilyas setiap tahun menunaikan haji, begitu juga mereka meriwayatkan daripada kedua-duanya sebahagian doa-doa, yang semuanya itu diketahui. Namun, sandaran orang yang menyebutkan hikayat-hikayat atau hal-hal tersebut adalah tersangat lemah kerana kebanyakannya adalah hikayat daripada sebahagian orang yang disangka sebagai soleh, mimpi-mimpi, hadith-hadith marfu‘ daripada Anas dan selainnya, kesemuanya adalah dha’if (lemah), tidak boleh dijadikan sebagai hujah. Di antara hujah mereka yang paling kuat ialah athar mengenai ucapan takziah yang diucapkan ketika Nabi SAW wafat. Walau bagaimanapun, penghujahan dengan menggunakan athar ini bagi menunjukkan Khadhir masih lagi hidup adalah tertolak atau dapat disangkal dari dua sudut:

  • Pertama, athar tersebut tidak sabit dengan sanad yang sahih sebagaimana yang disebutkan oleh Ibn Kathir di atas, dan sanad-sanadnya adalah dha’if.
  • Kedua, jika diandaikan hadith takziah itu sahih sekalipun, tidak memestikan sama ada dari sudut akal, syarak, mahupun ilmu pengetahuan bahawa pengucap takziah itu adalah Khadhir. Bahkan boleh jadi pengucapnya bukan Khadhir, tetapi orang beriman daripada golongan jin kerana jin termasuk dalam golongan yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam al-Quran bahawa dia dan kaumnya melihat manusia dengan keadaan manusia tidak dapat melihat mereka. Jadi, dakwaan bahawa pengucap takziah itu ialah Khadhir, termasuk dalam perkara mengeluarkan keputusan tanpa dalil. Manakala kenyataan mereka bahawa mereka melihat Khadhir bukanlah hujah yang mesti dirujuk kepadanya kerana ada kebarangkalian mereka tersilap pada sangkaan mereka, apatah lagi tidak ada ijma‘ syar‘i yang maksum yang menyokong hal tersebut dan mereka juga tidak benar-benar pasti pada dakwaan mereka bahawa sememangnya itu adalah Khadhir yang dilihat.

Selain itu, al-Syanqiti menyatakan, sebahagian ulama membahaskan dalil-dalil yang telah disebutkan yang menunjukkan kepada kewafatan Khadhir, lalu mendakwa bahawa dia tidak termasuk dalam keumuman ayat 34 Surah al-Anbiya’ mahupun keumuman hadith, “Tahukah kamu semua tentang malam kamu ini, sesungguhnya seratus tahun kelak, tidak ada seorang pun yang ada pada hari ini akan tinggal di muka bumi.”[3]  Menurut al-Qurtubi, tidak ada hujah bagi sesiapa yang beristidlal dengan hadith ini bagi membatalkan pendapat yang menyatakan bahawa Khadhir masih lagi hidup. Hal ini kerana sekalipun nas tersebut adalah umum tetapi ia masih boleh menerima pengkhususan yang mengeluarkannya daripada keumuman tersebut sebagaimana Nabi Isa AS tidak termasuk dalam keumuman tersebut, bahkan dia masih hidup berdasarkan nas al-Quran. Begitu juga dajjal berdasarkan dalil hadith al-Jassasah, dan ashab al-Kahfi. Maka demikianlah juga Khadhir tidak termasuk dalam keumuman tersebut dan dia bukanlah dalam kalangan yang dilihat oleh manusia.

Kemudian al-Syanqiti menjawabnya dengan menjelaskan bahawa perkataan al-Qurtubi ini secara zahirnya tergugur sebagaimana ia tidak tersembunyi daripada orang-orang yang mempunyai dan memahami ilmu syariah. Hal ini kerana dia mengakui bahawa hadith Nabi itu bersifat umum bagi setiap jiwa yang bernafas dengan keumuman yang pasti kerana tambahan lafaz “مِنْ” sebelum lafaz berbentuk nakirah dalam siyaq al-nafi, menjadikannya sebagai nas yang jelas dalam makna umum tersebut dan bukannya zahir.[4]

Kalaulah kita andaikan bahawa perkataan al-Qurtubi itu adalah sahih bahawasanya makna lafaz umum itu adalah zahir dan bukannya nas, serta kita putuskan bahawa ia boleh menerima takhsis, tetapi ulama bersepakat mengenai kewajipan untuk berpegang dengan hukum asal keumuman tersebut sehinggalah terdapatnya dalil yang mengkhususkannya yang baik dari segi sanad dan matan. Justeru, dakwaan semata-mata tanpa adanya dalil daripada kitab atau sunnah tidak boleh untuk mengkhususkan dengannya nas daripada kitab atau sunnah secara sepakat ulama.

Manakala hujah mereka bahawa Nabi Isa tidak termasuk dalam keumuman tersebut dapat disangkal dengan menyebutkan bahawa hadith Nabi SAW itu sendiri sememangnya telah mengecualikan Nabi Isa daripada termasuk di dalamnya kerana jelas dalam lafaz hadith tersebut dinyatakan, “عَلَى ظَهْرِ الْأَرْضِ” (di atas muka bumi). Maka, jelaslah ia tidak meliputi sesiapa yang berada di langit, dan Nabi Isa AS telah diangkat dari bumi ke langit oleh Allah SWT sebagaimana dijelaskan melalui firman-Nya:

بَل رَّفَعَهُ اللَّهُ إِلَيْهِ

Maksudnya:Bahkan Allah telah mengangkat Nabi Isa kepada-Nya.”

(Surah al-Nisa’: 158)

Seterusnya, dakwaan mereka berkenaan hidupnya ashab al-Kahfi juga tergugur. Hal ini kerana seandainya kita sahihkan bahawa mereka hidup, dan hadith menunjukkan kepada kematian mereka selepas seratus tahun. Justeru, tidak ada percanggahan pun antara kedua-duanya. Begitu juga dakwaan mereka bahawa Khadhir terhijab daripada pandangan mata manusia seperti mana jin dan malaikat adalah suatu dakwaan tanpa dalil. Apatah lagi hukum asalnya adalah sebaliknya. Hal ini kerana asalnya anak Adam itu saling boleh melihat antara satu sama lain disebabkan oleh persamaan pada sifat-sifat diri mereka.

Tarjih

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa Nabi Khadhir sudah pun meninggal dunia sebagaimana pendapat yang dipegang oleh Imam al-Bukhari, al-Qadhi Abu Bakar bin al-‘Arabi, al-Hasan, Abu al-Husain bin al-Munadi, Ibn al-Jauzi, Ibn Kathir, Muhammad al-Amin al-Syanqiti, Dr. Yusuf al-Qaradhawi dan ramai lagi. Selain itu, hujah-hujah yang dikemukakan yang menunjukkan kepada kewafatan Nabi Khadhir adalah lebih kuat dan jelas. Walaupun begitu, kami amat menghormati pandangan yang mengatakan Nabi Khadhir masih hidup seperti Imam al-Nawawi, Ibn Solah, al-Qurtubi dan sebahagian besar ulama tasawuf. Kami berpendapat ia adalah ijtihad para ulama yang masyhur ini.

Pada kesempatan ini juga, sebagai penutupnya, kami bawakan kalam Syeikh ‘Atiyyah Saqr ketika beliau ditanya mengenai adakah Khadhir masih hidup ataupun sudah wafat? Syeikh ‘Atiyyah menyebutkan, sabit dalam al-Quran bahawasanya beliau ialah seorang hamba daripada kalangan para hamba Allah yang dikurniakan rahmat dan ilmu dari sisi-Nya. Akan tetapi hamba ini, boleh jadi beliau seorang nabi dan boleh jadi juga beliau seorang wali iaitu orang soleh. Begitu juga sabit dalam hadith bahawasanya beliau digelar sebagai al-Khadhir. Tidak terdapat nas yang jelas menyebutkan Khadhir telah pun wafat ataupun masih lagi hidup sehingga beliau akan membunuh dajjal, atau beliau mempunyai perhimpunan (pertemuan) bersama sebahagian para nabi atau para wali, atau beliau memberi salam kepada sebahagian manusia lalu mereka pun turut menjawab salamnya. Semua perkara itu tidak mempunyai dalil mahupun bukti yang jelas. Pada masa yang sama, kejahilan mengenainya tidaklah mengakibatkan seseorang itu mendapat hukuman dan tidak juga memberi kesan ke atas iman orang yang beriman kerana ia bukanlah termasuk dalam perkara-perkara akidah yang dipertanggungjawabkan oleh agama. Justeru, adalah lebih baik untuk tidak terlalu banyak menyibukkan diri membahaskan mengenainya. Lebih-lebih lagi dalam kitab-kitab tafsir dan tarikh (sejarah) adalah lebih panjang dan luas perbahasannya bagi sesiapa yang ingin menambah pengetahuan mengenainya. (Lihat Fatawa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, 10/425).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Nota kaki:

[1] Lihat https://www.al-qaradawi.net/node/3606. Diakses pada 16 April 2023.

[2] Pengarang Irwa’ al-Ghalil (1589) menyatakan, hadith ini adalah hadith mahfuz melainkan pada lafaz “Isa” yang terdapat di dalamnya kerana menurutnya ia adalah mungkar dan beliau tidak mendapatinya terdapat dalam mana-mana jalurnya.

[3] Riwayat al-Bukhari (601)

[4] Al-Nas ialah lafaz yang menunjukkan kepada suatu makna dan tidak ada kemungkinan kepada makna yang lain. Namun, sekiranya ada kebarangkalian kepada dua makna atau lebih, serta salah satu maknanya adalah lebih rajih (kuat) berbanding yang lain, maka ia dinamakan sebagai al-Zahir. Manakala makna-maknanya lain yang marjuh pula (yakni selain daripada yang rajih) dinamakan sebagai mu’awwal. (Lihat Taqrib al-Wusul ila ‘Ilm al-Usul oleh Ibn Juzai, hal. 161-162).

Leave a Reply