Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana sebenarnya bentuk binaan tembok Zulqarnain?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Seperti yang dirakamkan di dalam al-Quran, firman Allah SWT:
قَالَ مَا مَكَّنِّي فِيهِ رَبِّي خَيْرٌ فَأَعِينُونِي بِقُوَّةٍ أَجْعَلْ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ رَدْمًا ﴿٩٥﴾ آتُونِي زُبَرَ الْحَدِيدِ ۖ حَتَّىٰ إِذَا سَاوَىٰ بَيْنَ الصَّدَفَيْنِ قَالَ انفُخُوا ۖ حَتَّىٰ إِذَا جَعَلَهُ نَارًا قَالَ آتُونِي أُفْرِغْ عَلَيْهِ قِطْرًا ﴿٩٦﴾ فَمَا اسْطَاعُوا أَن يَظْهَرُوهُ وَمَا اسْتَطَاعُوا لَهُ نَقْبًا
Maksudnya: “Dia menjawab: “(kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh.
Bawalah kepadaku ketul-ketul besi”; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, dia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: “Tiuplah dengan alat-alat kamu” sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: “Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya”. Maka mereka tidak dapat memanjat tembok itu, dan mereka juga tidak dapat menebuknya.
(Surah al-Kahfi: 95-97)
Berdasarkan nas di atas, dapatlah difahami bahawa:
- Tembok tersebut dibina dengan besi dan juga tembaga.
- Pembinaan tersebut dengan membakar ketulan besi sehingga cair bagi membentuk tembok.
- Pembinaan tersebut di antara dua pergunungan.
- Pembinaan tersebut cukup tinggi sehingga mereka tidak mampu untuk menaikinya.
- Ada pendapat mengatakan tingginya 200 hasta.
- Ada pendapat menyatakan 800 hasta.
- Berkenaan dengan lebarnya, ada pendapat menyatakan 50 hasta.
Justeru, bentuk pembinaan dan juga sifat binaan yang kukuh, besar dan tinggi dikatakan menggunakan alat yang luar biasa dan kemahiran yang amat hebat. Makanya para cendekiawan terdahulu dan muta’akhir mengklasifikasikan pembinaan tersebut termasuk dalam perkara ajaib mengikut zaman tersebut dengan alatan-alatan yang pelik sehingga keluar dari pemikiran akal.
Kami tutup perbincangan ini dengan menukilkan apa yang dinyatakan oleh Ibnu Jarir dan Ibnu Mardawayh, daripada Abi Bakrah al-Syafi bahawa seorang lelaki berkata: “Ya Rasulullah! Sesungguhnya aku melihat benteng/tembok Ya’juj dan Ma’juj.” Kemudian, Baginda SAW bersabda: “Sifatkannya kepadaku.” Jawab lelaki itu: “Ia seperti ketulan ais yang mempunyai garisan, satu laluan yang hitam dan satu laluan yang merah.” Lantas Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya engkau melihatnya.”
Adapun kisah di mana al-Wathiq Billah[1], salah seorang khalifah Abbasiyah menghantar seorang yang bernama Sallam untuk mengkaji berkenaan tembok tersebut, maka kebanyakan ahli sejarah menganggap dha’if. Imam al-Alusi mengatakan: Di sisiku adalah pembohongan yang tidak diterima oleh ayat al-Quran al-Karim. (Lihat Ruh al-Ma’ani, 16/482)
Walaubagaimanapun kita hendaklah bertawaqquf pada apa yang tetah dikhabarkan oleh Allah SWT dan hadith-hadith sahih iaitu bahawa tembok yang dibina oleh Zulqarnain wujud sehingga tiba masanya diruntuhkan dan keluarnya ya’juj dan ma’juj yang akan berlaku pada waktu yang telah ditentukan menjelang Hari Kiamat. Firman Allah SWT:
قَالَ هَـٰذَا رَحْمَةٌۭ مِّن رَّبِّى ۖ فَإِذَا جَآءَ وَعْدُ رَبِّى جَعَلَهُۥ دَكَّآءَ ۖ وَكَانَ وَعْدُ رَبِّى حَقًّۭا (٩٨ ) ۞ وَتَرَكْنَا بَعْضَهُمْ يَوْمَئِذٍۢ يَمُوجُ فِى بَعْضٍۢ ۖ وَنُفِخَ فِى ٱلصُّورِ فَجَمَعْنَـٰهُمْ جَمْعًۭا
Maksudnya: (Setelah itu) berkatalah Zulkarnain: “Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur, dan adalah janji Tuhanku itu benar”. (98) Dan Kami biarkan mereka pada hari itu (keluar beramai-ramai) bercampur-baur antara satu dengan yang lain; dan (kemudiannya) akan ditiup sangkakala, lalu Kami himpunkan makhluk-makhluk seluruhnya di Padang Mahsyar.
(Surah al-Kahfi: 98-99)
Kami akhiri dengan doa:
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.
Nota kaki:
[1] Diceritakan bahawa pada tahun 842 Kekhalifahan Abbasiyah, al-Wathiq Billah bermimpi bahawa dinding pemisah yang mengurung kedua suku itu hancur. Disebabkan mimpi itulah beliau kemudian menghantar sekumpulan penyelidik yang diketuai oleh Sallam menuju ke gerbang besi tersebut. Ini bagi mengetahui keadaan dinding itu dan lokasinya. Al-Watsiq mengarahkan kepada Sallam untuk mencari maklumat berkenaan tembok itu. Ketika itu bersama Sallam adalah seramai 50 orang. Pengkajian tersebut menelan belanja yang besar. Disebutkan dalam sebuah buku geografi berjudul Nuzhat al-Musytaq oleh al-Idrisi, al-Wathiq memperuntukkan belanja 5000 dinar untuk pengkajian ini. Mereka akhirnya mendapati gerbang di antara gunung selebar 137 meter dengan tiang besar di kiri kanan terbuat dari galang-galang besi yang dituang dengan cairan tembaga, tempat digantung daun pintu raksasa.
Kisah lain menyebutkan Sallam melihat pergunungan yang terpisah oleh lembah. Luas lembah sekitar 150 meter dan lembah ini ditutup tembok berpintu besi sekitar 50 meter. (Lihat Nuzhat al-Musytaq fi Ikhtiraq al-Afaq oleh al-Syarif al-Idrisi, hlm. 934 -938) Al-Idrisi juga menceritakan bahawa menurut cerita Sallam penduduk di sekitar pergunungan biasanya memukul kunci pintu besi 3 kali dalam sehari. Setelah itu mereka melekatkan telinga pada pintu untuk mendengar reaksi dari dalam pintu. Lalu mereka mendengar gema teriakan dari dalam. Perkara tersebut menunjukkan bahawa di dalam pintu tersebut memang ada makhluk jenis manusia yang dinamakan Ya’juj dan Ma’juj itu.