Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya selalu dengar orang menyebut tentang guru mursyid. Boleh terangkan, apa sifat dan ciri-ciri guru mursyid?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Berkenaan persoalan di atas, Imam al-Syafi‘i ada menyebutkan berkenaan keperluan kepada guru mursyid dalam pendidikan untuk mencapai maksud sebenar ilmu. Ini kerana konsep Islam, ilmu wajib disekalikan dengan amal. Islam menyebut kesan yang mesti terhasil dengan khasyatullah, merasakan dan keagungan Ilahi dalam diri kita.

Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulum al-Din menyebut beberapa adab guru mursyid, antaranya:

  • Bersifat ihsan terhadap pelajarnya serta memimpin mereka dengan segala niat yang baik.

Dalam kitab Tabaqat al-Syafi‘iyyah oleh Imam Tajuddin al-Subki, ketika menterjemahkan riwayat hidup al-Rabi‘ bin Sulaiman al-Muradi, salah seorang periwayat dalam Mazhab al-Syafi‘i, dikatakan beliau amat lambat dalam kefahaman sehingga Imam al-Syafi‘i pernah mengulangi hampir 40 kali hanya dalam satu masalah tetapi masih tidak faham. Dia bangkit daripada majlis dalam keadaan malu. Imam al-Syafi‘i memanggilnya supaya datang seorang diri dan mengulang lagi sehingga dia faham. Itulah kesabaran Imam al-Syafi‘i dan beliau pernah memujinya, “Betapa aku amat mengasihimu bagi diriku.” Beliau juga berkata, “Tiada seorang yang pernah berkhidmat kepadaku lebih baik daripada al-Rabi‘.” Beliau menambah, “Wahai al-Rabi‘! Kalau aku boleh beri makan ilmu kepadamu, nescaya aku akan lakukan.” (Lihat Tabaqat al-Syafi‘iyyah, 2/134)

Justeru amat layaklah Imam al-Syafi‘i menjadi contoh terbaik kepada mana-mana guru

  • Mengikut dan menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh utama bukan semata-mata kerana pangkat, upah dan ucapan terima kasih.

Daripada Mu‘awiyah bin al-Hakam al-Sulami, katanya:

بَيْنَا أَنَا أُصَلِّي، مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِذْ عَطَسَ رَجُلٌ مِنَ الْقَوْمِ فَقُلْتُ يَرْحَمُكَ اللَّهُ.‏ فَرَمَانِي الْقَوْمُ بِأَبْصَارِهِمْ فَقُلْتُ وَاثُكْلَ أُمِّيَاهْ مَا شَأْنُكُمْ تَنْظُرُونَ إِلَىَّ ‏.‏ فَجَعَلُوا يَضْرِبُونَ بِأَيْدِيهِمْ عَلَى أَفْخَاذِهِمْ فَلَمَّا رَأَيْتُهُمْ يُصَمِّتُونَنِي لَكِنِّي سَكَتُّ فَلَمَّا صَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَبِأَبِي هُوَ وَأُمِّي مَا رَأَيْتُ مُعَلِّمًا قَبْلَهُ وَلاَ بَعْدَهُ أَحْسَنَ تَعْلِيمًا مِنْهُ فَوَاللَّهِ مَا كَهَرَنِي وَلاَ ضَرَبَنِي وَلاَ شَتَمَنِي قَالَ: إِنَّ هَذِهِ الصَّلاَةَ لاَ يَصْلُحُ فِيهَا شَىْءٌ مِنْ كَلاَمِ النَّاسِ إِنَّمَا هُوَ التَّسْبِيحُ وَالتَّكْبِيرُ وَقِرَاءَةُ الْقُرْآنِ.

Maksudnya: “Ketika saya sedang menunaikan solat bersama Rasulullah SAW, tiba-tiba seorang lelaki bersin. Saya pun ucapkan kepadanya ‘يَرْحَمُكَ اللَّهُ’. Lalu semua orang melihat kepada saya. Saya pun bertanya: “Mengapa kamu semua melihat saya?” Mereka pun menepuk tangan mereka ke peha saya. Saya lihat mereka semua menghendaki saya diam. Apabila selesai solat, sungguh saya tidak pernah melihat seorang guru sebelum dan selepas Baginda yang lebih baik pengajarannya daripada Baginda. Demi Allah, Baginda tidak memasamkan muka kepada saya, tidak memukul dan tidak mengata saya. Baginda bersabda: “Sesungguhnya bagi solat itu, tidak wajar di dalamnya dimasukkan perkataan manusia, sebaliknya hanyalah untuk tasbih, takbir dan bacaan al-Quran.”

Riwayat Muslim (537)

  • Sentiasa memberi nasihat kepada pelajarnya walaupun sedikit dengan menekankan konsep belajar semata-mata kerana Allah SWT tanpa terpengaruh dengan kemewahan dan sikap menunjuk-nunjuk.

Imam al-Ghazali berkata: “Niat yang lurus dan hati yang ikhlas semata-mata kerana Allah Rabb al-‘Alamin lebih tinggi martabat dan kedudukannya daripada pekerjaan yang semata-mata hanya berdasarkan pada niat untuk memperoleh keduniaan. Niat lurus dan hati ikhlas itulah yang membuat amal seseorang diterima oleh Allah SWT. Sedangkan niat buruk lambat-laun nescaya akan menghilangkan rasa taat kepada Allah dan akhirnya akan mengubah menjadi kesukaan berbuat maksiat. Daripada perbuatan maksiat, seseorang tidak akan memperolehi apa pun selain kekecewaan dan kerugian. Justeru, keikhlasan merupakan kemuncak dalam penerimaan amalan walau apa jua sekalipun bidang yang diceburi kerana ia akan menentukan dan menjadi neraca sama ada diterima atau tidak di sisi Allah SWT.”

  • Menghalang pelajar dan mencegahnya daripada nilai akhlak yang buruk dengan cara penuh hikmah dan sindiran tanpa ditempelak secara terbuka.

Hal ini kerana dengan cara begitu ia akan lebih memberi kesan kepada jiwa pelajar.

  • Menghadkan ilmu kepada kemampuan pelajar tanpa berlebih-lebihan.

Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Saidina Ali bin Abu Talib R.A, katanya:

حَدِّثُوا النَّاسَ بما يَعْرِفُونَ، أتُحِبُّونَ أنْ يُكَذَّبَ اللَّهُ ورَسولُهُ

Maksudnya:Bicaralah kepada orang lain sesuai dengan apa yang mereka fahami. Apakah Engkau ingin Allah dan Rasul-Nya didustakan?”

Riwayat al-Bukhari (127)

Hal ini juga disampaikan Abdullah bin Mas’ud R.A, beliau berkata:

ما أنْتَ بمُحَدِّثٍ قَوْمًا حَدِيثًا لا تَبْلُغُهُ عُقُولُهُمْ، إلَّا كانَ لِبَعْضِهِمْ فِتْنَةً

Maksudnya: “Tidaklah Engkau berbicara dengan suatu kaum dengan suatu perkataan yang tidak mampu digapai oleh akal mereka, kecuali akan menjadi fitnah (kesesatan) bagi sebahagian mereka.” (Riwayat Imam Muslim dalam Muqaddimahnya, hlm. 5)

Al-Munawi menjelaskan, ini kerana orang yang mendengar ilmu yang dia tidak fahami, dia akan menganggap hal tersebut mustahil, dan tidak akan mengimani ilmu tersebut, bahkan akan menolaknya. Riwayat ini juga memberi faedah bahawa dalil-dalil yang mutasyabihah hendaklah tidak disampaikan kepada orang awam. (Lihat Faidh al-Qadir, 3/377).

Syeikh ‘Abd al-Muhsin al-‘Abbad berkata: “Ketika seseorang berbicara kepada orang lain tentang hal yang tidak mampu digapai oleh akalnya, dan tidak mampu dia cerna, terkadang perkara itu akan menimbulkan bahaya baginya.” (Lihat Syarh Sunan Abi Daud, 3/12).

  • Guru hendaklah beramal dengan ilmunya dan tidak sekali-kali berlaku pertentangan antara ucapan dengan perbuatannya sendiri.

Ini kerana ilmu didapati melalui mata hati dan amalan didapati melalui mata kasar, sedangkan ahli zahir lebih ramai.  Satu ketegasan oleh pengarang matan Zubad yang mengungkapkan:

فَعَالِــمٌ بـِعِـلْـمِــهِ لَـمْ يـعـمَــلَــنْ        مُـعَــذَّبٌ من قَـبْــلِ عُـبَّــادِ الوَثَــنْ

Maka orang alim yang tidak beramal dengan ilmunya

                        Akan diazab lebih dahulu daripada penyembah berhala.

(Lihat Matn al-Zubad, hlm. 2)

Hal ini dengan maksud, orang alim apabila tidak beramal dengan ilmunya, dengan meninggalkan sesuatu yang wajib, atau melakukan perbuatan yang diharamkan, nescaya Allah akan mengazabnya jika Allah tidak mengampunkannya, terlebih dahulu daripada menyeksa penyembah berhala. (Lihat Ghayah al-Bayan, hlm. 11)

Abdullah Nasih Ulwan ketika mana mengulas perihal tanggungjawab ibu bapa dan guru dalam mendidik anak dalam bukunya “Pendidikan Anak-Anak Menurut Islam”, menjelaskan bahawa setidak-tidaknya ada tujuh tanggungjawab pendidikan yang harus ditanamkan oleh seorang guru mahupun ibu bapa, antara yang utama adalah Pendidikan Keimanan. (Lihat Tarbiah al-Aulad, 1/77).

Yang dimaksudkan dengan pendidikan iman adalah, menanam kefahaman seorang anak dengan dasar-dasar iman saat ia mampu berfikir, membiasakannya dengan rukun Islam saat ia mulai dapat memahami, dan mengajarkan prinsip-prinsip syariat Islam yang indah saat ia sudah mampu membezakan yakni pada usia mumayyiz. Dengan kata lain pendidikan iman dapat diertikan dengan pendidikan aqidah yang merupakan proses pembinaan dan pemantapan kepercayaan dalam diri seseorang sehingga menjadi aqidah yang kuat dan benar.

Yang dimaksudkan dengan dasar-dasar iman pula adalah segala sesuatu yang ditetapkan melalui sumber yang benar, yang merupakan hakikat iman dan hal-hal ghaib, seperti beriman akan kewujudan Allah, beriman kepada para malaikat, beriman kepada kitab-kitab samawi, beriman kepada semua rasul, beriman kepada pertanyaan dua malaikat, beriman kepada azab kubur, hari kebangkitan, perhitungan amal, syurga, neraka, dan hal-hal ghaib yang lainnya.

Oleh hal yang demikian, menjadi keutamaan seorang guru mursyid untuk menyemai anak-anak dengan baja pendidikan Islam ini sejak awal berlandaskan dasar-dasar ajaran Islam, agar ia terikat dengan Islam dalam segenap aspek, baik aqidah, ibadah, dan segala sesuatu yang terkait dengan sistem dan kaedahnya. Sehingga ia mengenali bahawasanya tiada agama yang benar melainkan Islam, imam atau panduan selain al-Quran, pemimpin dan ikutan lain selain Rasulullah SAW.

Seorang guru yang mursyid juga perlu mengenalkan hukum halal dan haram kepada anak didiknya. Hikmahnya adalah agar ketika mereka mula menginjak umur remaja, mereka telah mengenal perintah-perintah Allah. Sehingga mereka akan bersegera untuk melaksanakannya, dan mengetahui akan larangan-larangan Allah, sehingga mereka akan menjauhinya. Justeru, apabila mereka mula memasuki fasa akil baligh, mereka telah memahami hukum-hukum halal dan haram, dan terikat dengan hukum-hukum syariat.

Seterusnya, Abdullah Nasih Ulwan juga menyatakan bahawa ibu bapa dan guru juga perlu mengajarkan perihal ibadah terutama berkaitan perintah solat, begitu juga dengan berpuasa dan ibadah-ibadah lain supaya mereka akan terbiasa melakukan dan terdidik untuk mentaati Allah, melaksanakan hak-Nya, bersyukur kepada-Nya, kembali kepada-Nya, berpegang teguh kepada-Nya, bersandar kepada-Nya dan berserah diri kepada-Nya. Di samping itu, mereka akan mendapatkan kesucian rohani, kesihatan jasmani, keluhuran akhlak dan budi pekerti.

Antara fokus utama seorang guru mursyid juga adalah mendidik anak didik mereka untuk mencintai Nabi, ahlul baitnya, dan al-Quran. Berbicara tentang cinta kepada Rasulullah SAW, dan ahli baitnya, perlu diajarkan pula kepada mereka peperangan Rasulullah SAW, perjalanan hidup para sahabat, keperibadian para pemimpin yang agung dan pelbagai sirah perjuangan Rasulullah yang lain bertujuan agar anak-anak ini mampu meneladani perjalanan hidup orang-orang soleh terdahulu, baik mengenai pergerakan, pemikiran, kepahlawanan mahupun jihad mereka, agar mereka juga mampu melakar sejarah yang baik.

Ringkasnya, tanggungjawab seorang guru mursyid menyemai pendidikan iman itu merupakan antara tanggungjawab terpenting bagi para pendidik dan ibu bapa. Kegagalan seorang guru mursyid menerapkan nilai iman ke dalam sanubari para pelajarnya akan menjadi faktor kegagalannya bergelar sebagai seorang guru mursyid.

Hal ini kerana iman dan akidah yang mantap merupakan sumber segala keutamaan dan kesempurnaan. Bahkan ia adalah pangkal dasar bagi anak-anak untuk memasuki pintu gerbang iman dan meniti jambatan Islam. Tanpa pendidikan itu, anak tidak akan memiliki rasa tanggungjawab, tidak dapat dipercayai, tidak mengenal tujuan, tidak mengerti nilai-nilai kemanusiaan yang mulia dan tidak mampu meneladani sesuatu yang paling luhur. Akhirnya mereka hidup seperti binatang, yang hanya mempunyai keinginan untuk menutupi rasa laparnya, memuaskan tuntutan nalurinya, mengejar kesenangan seluruh hawa nafsunya, dan bergaul bersama orang-orang jahat yang berlumuran dosa.

Di samping itu, seorang guru mursyid juga perlu menitikberatkan pendidikan akhlak. Yang dimaksudkan dengan pendidikan akhlak adalah sejumlah prinsip-prinsip akhlak dan nilai-nilai moral yang harus ditanamkan kepada anak-anak, agar boleh dijadikan kebiasaan oleh mereka sejak kecil. Pendidikan akhlak adalah proses pembinaan budi pekerti  anak didik sehingga menjadi budi pekerti yang mulia. (Lihat, Hadis Tarbawi: Pendidikan dalam Perspektif Hadis oleh Bukhari Umar hlm. 42)

Sudah pasti prinsip-prinsip akhlak dan nilai-nilai moral itu merupakan salah satu cabang dari prinsip iman yang tertanam kukuh, dan menumbuhkan agama yang benar. Orang tua bertanggungjawab menanamkan dan melatih anak-anaknya untuk berperilaku mulia dalam kehidupannya. Daripada ‘Amr bin Sa‘id bin al-‘As R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا نَحَلَ وَالِدٌ وَلَدًا مِنْ نَحْلٍ أَفْضَلَ مِنْ أَدَبٍ حَسَنٍ

Maksudnya: “Tidak ada suatu pemberian yang diberikan oleh seorang ayah kepada anaknya yang lebih utama daripada adab (akhlak) yang baik.”

Riwayat al-Tirmizi (1952), Ahmad (15403), al-Baihaqi (2365) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (4/263). Imam al-Suyuti dalam Jami‘ al-Saghir (9/514) menyatakan sanad hadith ini sahih.

Daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Rasulullah  SAW bersabda:

أَكْرِمُوا أَوْلاَدَكُمْ ، وَأَحْسِنُوا أَدَبَهُمْ

 Maksudnya: “Muliakanlah anak-anak kamu dan didiklah mereka dengan budi pekerti  yang baik.”

Riwayat Ibn Majah (3671). Al-‘Uqaili dalam al-Dhu‘afa’ al-Kabir (1/214) menyatakan sanad hadith ini dhaif.

Oleh yang demikian, ciri seorang guru mursyid yang paling penting agar tarbiyah mereka meresap ke dalam hati para pelajar adalah mengikhlaskan dirinya semata-mata kerana Allah SWT, tidak ada tujuan lain samada ingin menunjuk-nunjuk atau riak.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply