Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah yang dimaksudkan dengan Majma’ al-Bahrain dalam ayat 60 Surah al-Kahfi?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Allah SWT berfirman:

وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِفَتَىٰهُ لَآ أَبْرَحُ حَتَّىٰٓ أَبْلُغَ مَجْمَعَ ٱلْبَحْرَيْنِ أَوْ أَمْضِىَ حُقُبًۭا ٦٠ فَلَمَّا بَلَغَا مَجْمَعَ بَيْنِهِمَا نَسِيَا حُوتَهُمَا فَٱتَّخَذَ سَبِيلَهُۥ فِى ٱلْبَحْرِ سَرَبًۭا ٦١ فَلَمَّا جَاوَزَا قَالَ لِفَتَىٰهُ ءَاتِنَا غَدَآءَنَا لَقَدْ لَقِينَا مِن سَفَرِنَا هَـٰذَا نَصَبًۭا ٦٢ قَالَ أَرَءَيْتَ إِذْ أَوَيْنَآ إِلَى ٱلصَّخْرَةِ فَإِنِّى نَسِيتُ ٱلْحُوتَ وَمَآ أَنسَىٰنِيهُ إِلَّا ٱلشَّيْطَـٰنُ أَنْ أَذْكُرَهُۥ ۚ وَٱتَّخَذَ سَبِيلَهُۥ فِى ٱلْبَحْرِ عَجَبًۭا ٦٣ قَالَ ذَٰلِكَ مَا كُنَّا نَبْغِ ۚ فَٱرْتَدَّا عَلَىٰٓ ءَاثَارِهِمَا قَصَصًۭا

Maksudnya: Ingatlah, Nabi Musa pernah berkata kepada pembantunya, “Aku tidak akan berhenti sehingga aku sampai ke tempat pertemuan dua lautan atau aku akan terus berjalan biarpun bertahun lamanya.” Ketika mereka tiba di tempat pertemuan dua lautan, mereka terlupa ikan yang mereka bawa sebagai bekalan. Lalu ikan itu menggelongsor ke laut tanpa disedari. Apabila mereka melepasi kawasan pertemuan dua lautan itu, Nabi Musa berkata kepada pembantunya, “Ambilkan makanan tengah hari kita. Kita telah penat dalam perjalanan ini.” Pembantu Nabi Musa menjawab, “Ingatkah tuan ketika kita berehat di sebuah batu besar. Sesungguhnya aku terlupa ikan itu dan tiada yang melupakanku untuk memberitahunya melainkan syaitan. Lalu ikan itu menggelongsor ke laut dengan cara yang aneh sekali.” Nabi Musa berkata, “Itulah tempat yang kita cari.” Lalu mereka berpatah balik menjejak kesan laluan mereka.

(Surah al-Kahfi : 60-64)

Berkenaan persoalan Majma’ al-Bahrain (مَجْمَعَ الْبَحْرَيْنِ), ungkapan ini bermaksud tempat pertemuan dua laut. Para mufasir berbeza pendapat tentang lokasi ini kerana tidak diterangkan dalam al-Quran. Setengah pendapat menyatakan tempat tersebut ialah pertemuan Laut Hindi dan Laut Merah.[1] (Lihat Safwah al-Tafasir, 2/198)

Pendapat yang lain menyatakan di Laut Merah dan Teluk Aden, Yaman atau di kawasan pertemuan benua Asia dengan benua Afrika di Djiboti, Somalia. (Lihat Tafsir al-Munir, 8/314).

Pandangan yang menyatakan ianya terletak di Afrika adalah pandangan Ubai Bin Ka’ab. Selain itu, Al-Suddi menyatakan ianya adalah di  al-Kur dan Al-Rass di  ِArmenia. Sebahagian ulama menyatakan laut tersebut adalah laut Andalus (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 11/9)

Manakala Muhammad Bin Ka’ab al-Quraizi berpandangan ianya di Tonjah yang terletak di hujung negara Maghribi. Terdapat juga satu riwayat, di mana Qatadah berkata tempat tersebut ialah dua lautan iaitu Laut Parsi di sebelah timur dan Laut Rom di sebelah barat. (Lihat Jami’ al-Bayan, 18/55)

Menurut Sayyid Qutb: Pandangan yang Rajih mengenai pertemuan dua laut adalah di Laut Rom (Laut Mediterania) dan Laut Qulzum (Laut Merah), iaitu Laut Putih dan Laut Merah. Pertemuan dua laut tersebut adalah di kawasan tasik-tasik kecil dan Tasik Buaya, atau ia adalah pertemuan Teluk Aqaba dan Terusan Suez di Laut Merah. Kawasan ini menjadi panggung sejarah Bani Israel selepas mereka keluar dari Mesir. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 4/2278)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

 

Nota kaki:

[1] Laut merah dahulunya dikenali sebagai Laut Qulzum, Lihat https://arz.wikipedia.org/wiki/البحر_الاحمر      Diakses pada Januari 2024

Leave a Reply