Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, bagaimana surat Rasulullah SAW kepada Maharaja Parsi, Kisra?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada akhir tahun keenam Hijrah, iaitu selepas peristiwa perjanjian Hudaibiyyah, Nabi SAW telah menulis surat kepada beberapa raja di Arab dan sekitarnya, termasuklah Maharaja Rom, Maharaja Parsi dan lain-lain. Tujuannya adalah untuk mengajak mereka masuk Islam. Di antara pemerintah yang mendapat surat adalah Raja Kisra iaitu Raja Parsi. Kisra adalah sebutan untuk beberapa raja Parsi (kini Iran) dari Dinasti Sasaniyah.

Ketika ingin menulis surat-surat itu, Rasulullah SAW diberitahu bahawa para raja tidak akan menerima surat kecuali jika terdapat cop rasmi. Maka, Nabi Muhammad SAW pun membuat cop rasminya dari perak bertulis: “Muhammad Rasul Allah.” Tulisan ini terdiri atas tiga baris, Muhammad sebaris, Rasul sebaris, dan Allah sebaris.

Isi surat tersebut adalah seperti berikut:

“Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Penyayang. Daripada Muhammad SAW utusan Allah untuk Kisra, pembesar Persia. Sejahteralah kepada sesiapa yang mengikuti petunjuk dan beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan menyaksikan bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah yang satu dan tidak ada sekutu bagi-Nya, dan bahawa Muhammad adalah hamba-Nya dan Rasul-Nya.”

“Dan aku menyeru engkau dengan seruan Allah sesungguhnya aku adalah Rasul kepada manusia keseluruhannya, agar aku memberi peringatan bagi sesiapa yang hidup dan membenarkan perkataan ke atas orang-orang kafir, maka masuklah kamu ke dalam Islam nescaya engkau akan selamat, maka jika engkau enggan maka sesungguhnya ke atas engkau dosa majusi.”

Rasulullah SAW telah melantik Abdullah bin Huzafah al-Sahmi untuk membawa surat tersebut kepada Raja Parsi. Al-Sahmi menyerahkannya kepada pembesar Bahrain. Namun, tidak dapat dipastikan sama ada pembesar Bahrain itu menguruskan seseorang yang lain untuk menyampaikannya kepada Kisra.

Walaubagaimanapun, selepas Kisra membaca surat tersebut, lantas dikoyaknya dan dengan angkuh dia berkata, “Hamba yang hina dari kalangan rakyat jelataku berani menulis namanya sebelum namaku!” Apabila berita ini sampai kepada Rasulullah SAW, Baginda SAW bersabda:

مَزَّقَ اللَّهُ مُلْكَهُ

Maksudnya: “Semoga Allah mengoyak kerajaannya.” (Lihat I‘lam al-Sa’ilin ‘an Kutub Sayyid al-Mursalin, hlm. 66; Tarikh al-Islam, 1/377; Zad al-Ma‘ad, 3/601; al-Bidayah wa al-Nihayah, 9/143)

Dan berlakulah sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah SAW. (Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul, hlm. 158)

Imam al-Bukhari berkata: Daripada Ibn Syihab, bahawa dia berkata:

أَخْبَرَنِي عُبَيْدُ اللَّهِ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُتْبَةَ أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَبَّاسٍ أَخْبَرَهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَعَثَ بِكِتَابِهِ إِلَى كِسْرَى، فَأَمَرَهُ أَنْ يَدْفَعَهُ إِلَى عَظِيمِ البَحْرَيْنِ. يَدْفَعُهُ عَظِيمُ البَحْرَيْنِ إِلَى كِسْرَى. فَلَمَّا قَرَأَهُ كِسْرَى مَزَّقَهُ. فَحَسِبْتُ أَنَّ ابْنَ الـمُسَيِّبِ قَالَ: فَدَعَا عَلَيْهِمْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَنْ يُمَزَّقُوا كُلَّ مُمَزَّقٍ».

Maksudnya: ‘Ubaidullah bin Abdullah bin ‘Utbah mengkhabarkan kepadaku bahawa Abdullah bin Abbas mengkhabarkan kepadanya bahawa Rasulullah SAW mengirim suratnya kepada Kisra, lalu memerintahkan supaya surat itu diserahkan kepada pembesar al-Bahrain, kemudian pembesar al-Bahrain menyerahkan surat itu kepada Kisra. Apabila Kisra membacanya lalu dia mengoyaknya. Aku menyangka bahawa Ibn Musayyib berkata: Rasulullah SAW mendoakan (keburukan) ke atas mereka: “Bahawa mereka akan dihancurkannya sehancur-hancurnya.”

Riwayat al-Bukhari (7264)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)

Leave a Reply