Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Khalid al-Walid berada di Iraq sehingga bulan Rabi’ al-Akhir tahun ke-13 H. Kemudian beliau diminta oleh Khalifah Abu Bakar agar beliau membantu tentera Islam di bumi Syam. Ketika itulah, Khalid mewakilkan al-Muthanna menjadi panglima tentera Islam dengan berhati-hati dari sebarang tindakan musuh, di samping memasang kewaspadaan yang tinggi.
Akan tetapi, al-Muthanna mendapati kemampuan tentera Islam di Iraq tidak mampu menentang kemaraan tentera Parsi. Justeru beliau meminta bantuan kepada Abu Bakar dengan tambahan tentera. Tatkala bantuan lambat tiba, al-Muthanna mengambil keputusan untuk bermusafir ke Madinah bagi menerangkan sendiri kepada Khalifah suasana sebenar.
Tapi apakan daya, sesampainya di kota Madinah, beliau dapati Abu Bakar dalam keadaan sakit yang akhirnya membawa kematian dan Abu Bakar telah menggantikan urusan umat Islam kepada Umar ibn al-Khattab R.A. Sekalipun dalam keadaan begitu, Abu Bakar tetap memberi perhatian dan memesan kepada Saidina Umar dengan pesanan yang sungguh-sungguh hasil daripada maklumat yang diterima, yang terkait dengan laporan al-Muthanna ibn Harithah.
Antara kata-kata Abu Bakar kepada Umar:
اسْمَعْ يَا عُمَرُ مَا أَقُولُ لَكَ، ثُمَّ اعْمَلْ بِهِ، إِنِّي لأَرْجُو أَنْ أَمُوتَ مِنْ يَوْمِي هذا- وذلك يوم الاثنين- فإن أنا مِتّ فَلا تُمْسِيَنَّ حَتَّى تَنْدُبَ النَّاسَ مَعَ الْمُثَنَّى، وَإِنْ تَأَخَّرْتُ إِلَى اللَّيْلِ فَلا تُصْبِحَنَّ حَتَّى تَنْدُبَ النَّاسَ مَعَ الْمُثَنَّى، وَلا تَشْغِلَنَّكُمْ مُصِيبَةٌ وَإِنْ عَظُمَتْ عَنْ أَمْرِ دِينِكُمْ، وَوَصِيَّةِ رَبِّكُمْ
Maksudnya: “Dengarlah hai Umar apa yang aku katakan kepadamu. Kemudian lakukanlah. Sesungguhnya aku harap bahawa aku mati pada hari ini. Hari tersebut adalah hari Isnin. Maka jika aku mati, maka jangan kamu tunggu ke petang sehingga kamu menyeru manusia dan orang ramai untuk pergi berangkat bersama al-Muthanna dan jika aku mati pada waktu malam, maka jangan kamu tunggu sehingga pagi agar kamu menyeru manusia dan orang ramai untuk bersama al-Muthanna. Jangan kamu sibukkan dengan musibah sekalipun besar dari urusan agamamu dan wasiat Tuhanmu. (Lihat Tarikh al-Tabari, 3/414)
Selepas kematian Abu Bakar, pada pagi Selasa dan masyarakat telah berbai’ah kepada Umar, maka perkara pertama yang dilakukan oleh Umar sebagai memulakan dalam pemerintahannya dengan menyeru manusia supaya berjihad di jalan Allah ke arah bumi Iraq. Orang pertama yang menyahut seruan Umar ialah Abu Ubaid ibn Mas’ud al-Thaqafi. Justeru Umar melantiknya sebagai pemimpin kerana dia orang pertama dan keberaniannya memerangi orang Parsi.
Umar juga memerintahkan al-Muthanna kembali ke Iraq bagi mengukuhkan tentera Islam di sana. Sesampainya al-Muthanna di Hirah, suasana ketika itu bergolak yang asalnya dipimpin oleh Islam. Ini kerana kelicikan Rustum dalam memporak-perandakannya, di mana beliau mengupah beberapa orang untuk mempengaruhi masyarakat setempat supaya membatalkan perjanjian dan bangkit menentang umat Islam. Hasilnya penduduk Rasatiq berhampiran Sungai Furat sehingga ke bawah telah bangkit menentang Islam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ وَلِّ أُمُوْرَنَا خِيَارَنَا ، وَلَا تُوَلِّ أُمُوْرَنَا شِرَارَنَا
Maksudnya: “Ya Allah! Lantiklah untuk urusan kami (pemerintahan) orang-orang yang terbaik di kalangan kami. Janganlah Engkau lantik untuk urusan kami orang-orang yang terburuk di kalangan kami.” (Lihat Ibtihalat wa Da’awat oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 68)
اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Lihat Nafahat al-Minbar al-Makki, 1/137)