Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah yang dimaksudkan dengan agama itu nasihat? Mohon pencerahan Dato.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami mulakan dengan sabda nabi SAW:
الدِّيْنُ النَّصِيْحَةُ، قُلْنَا : لِمَنْ؟ قَالَ: اللَّهِ، وَلِكِتَابِهِ، وَلِرَسُولِهِ، وَلأَئِمَّةِ المُسْلِمِينَ، وَعَامَّتِهِمْ
Maksudnya: “Agama itu merupakan nasihat. Kami bertanya: ‘Bagi siapa?’ Baginda bersabda: ‘Bagi Allah, Kitab-Nya, Rasul-Nya, pemimpin-pemimpin orang Islam dan masyarakat semuanya.”
Riwayat Muslim (55), Abu Daud (4944) dan al-Nasa’i (7/156)
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terdapat beberapa istifadah yang boleh kita ambil daripada hadith di atas, antaranya:
Pertama: Imam Ibn Daqiq al-‘Id menyebutkan, ayat “Kalimah agama adalah nasihat” bermaksud sebagai tiang dan asas dalam agama. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Haji adalah Arafah”, maksudnya Wuquf di Arafah adalah asas terpenting dalam ibadah haji.”
Kedua: Agama itu adalah nasihat. Ini bererti bahawa agama itu terletak pada nasihat. Ini kerana pada nasihat mengandungi taat kepada Allah dan kepada Rasul-Nya, beriman serta beramal dengan kitab-Nya dan sunnah Rasul-Nya.
Ketiga: Maksud sebenar nasihat kepada Allah ialah mengikut perintah Allah, manakala nasihat kepada kitab-Nya ialah dengan membaca, memahami, tadabbur seterusnya mengamalkannya sama ada perintah suruhan atau larangan. Al-Khattabi berkata: “Nasihat kerana Allah maknanya beriman dengannya dan menafikan syirik daripadanya.”
Keempat: Nasihat bagi Rasul-Nya iaitu dengan beriman kepadanya, dan beriman pula bahawa beliau adalah Rasul yang Allah utus kepada segenap makhluk, mencintai dan meneladani beliau, mempercayai berita yang beliau sampaikan, melaksanakan perintah-perintahnya, menjauhi larangannya, dan membela agamanya.
Mengasihi Rasulullah SAW adalah sama seperti mengasihi Allah SWT, firman Allah:
قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah Ali-Imran: 31)
Nasihat untuk Rasulullah SAW selepas kewafatan Baginda, menuntut ke atas kaum muslimin supaya mengkaji sirah perjalanan hidup Rasulullah, beradab serta berakhlak sebagaimana akhlak Rasulullah SAW, beriltizam mengikuti sunnahnya sama ada dalam bentuk perbuatan mahupun perkataan, mengambil iktibar dan pengajaran daripada seluruh kehidupan Rasulullah sebagai suri teladan yang terbaik dan menyampaikan segala apa yang disampaikan oleh Rasulullah sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً
Maksudnya: “Sampaikan daripadaku walau satu ayat.”
Riwayat Ahmad (6888)
Begitu juga menolak segala tohmahan dan cercaan batil yang dilemparkan oleh para musuh yang berkepentingan serta dakwaan mereka yang salah dan melampaui batas ke atas Rasulullah SAW.
Aplikasi Hadith dalam Kehidupan
Agama Islam berdiri tegak di atas konsep saling nasihat-menasihati. Justeru, sudah semestinya kita hendaklah selalu saling nasihat- menasihati antara setiap individu muslim. Menariknya kalimah al-Din dan al-Nasihah didatangkan dalam bentuk makrifah yang memberi maksud bab al-Hasr iaitu terbatas dan terhad sekadar itu sahaja.
Inilah keistimewaan manusia iaitu dapat memberi dan menerima nasihat. Nasihat wajib dilakukan sesuai dengan kemampuan. Seseorang itu, hendaklah memberi nasihat dan menegur saudaranya secara rahsia kerana sesiapa yang menutup keaiban saudaranya maka Allah akan menutup keaibannya di dunia dan di akhirat. Sebahagian ulama berkata: “Sesiapa yang menegur saudaranya dengan suatu perkara dan hanya diketahui olehnya dan saudaranya, Maka itu adalah nasihat.”
Betapa besarnya nasihat ini sehingga disebut dalam surah al-‘Asr, firman Allah SWT:
وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ
Maksudnya: Dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.
(Surah al-‘Asr: 3)
Masyarakat Islam ialah masyarakat yang saling menasihati. Bukan masyarakat yang tidak menghiraukan keadaan sekeliling. Mereka cakna tentang setiap perubahan yang berlaku dan mereka bertindak untuk memastikan keharmonian serta kesejahteraan hidup seluruh manusia.
Semoga kita dapat mengamalkan budaya nasihat menasihati dalam menjalani kehidupan bermasyarakat.
Bagi kefahaman yang lebih jelas berkenaan hadith di atas, anda boleh rujuk di buku kami, “Al-Kafi Syarah Hadis 40 karya Imam Nawawi.”
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahu a‘lam