Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh Dato jelaskan hadith tentang perintah dan larangan serta binasanya umat terdahulu?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami mulakan dengan sabda nabi SAW:
مَا نَهَيْتُكُمْ عَنْهُ فَاجْتَنِبُوهُ، وَمَا أَمَرْتُكُمْ بِهِ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ، فَإِنَّمَا أَهْلَكَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ كَثْرَةُ مَسَائِلِهِمْ وَاخْتِلَافُهُمْ عَلَى أَنْبِيَائِهِمْ
Maksudnya: “Apa yang aku larang hendaklah kamu jauhinya dan apa yang aku perintahkan maka hendaklah kamu laksanakan sedaya upaya kamu. Sesungguhnya kehancuran orang-orang sebelum kamu adalah kerana banyaknya pertanyaan mereka (yang tidak berfaedah) dan penentangan mereka terhadap Nabi-nabi mereka.”
Riwayat al-Bukhari (6777) dan Muslim (1337)
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terdapat beberapa istifadah yang boleh kita ambil daripada hadith di atas, antaranya:
Pertama: Semua larangan ini atau sebahagiannya boleh dilakukan sama ada didorong dalam keadaan dharurat ataupun tidak, sekalipun selayaknya bagi seorang muslim yang bertaqwa meninggalkannya sekadar kemampuan.
Kedua: Lafaz al-Amr (Suruhan) yang terdapat di dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW memberi banyak makna. Ulama bersepakat mengatakan bahawa asal makna al-Amr meminta supaya dibuat dan ia mengandungi salah satu daripada dua makna asas iaitu wajib dan sunat. Inilah makna yang dikehendaki oleh hadis ini melalui sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Dan apa yang aku perintahkan kepada kamu.”
Ketiga: Rasulullah SAW bersabda: “Apa yang aku perintahkan maka lakukanlah…” Ibn Daqiq al-‘Id berkata: “la merupakan ungkapan yang singkat namun padat dan menjadi salah satu prinsip penting dalam Islam. Termasuk dalam prinsip ini adalah masalah-masalah hukum yang tidak terhitung banyaknya, di antaranya adalah solat. Contohnya pada ibadah solat apabila seseorang itu tidak mampu melaksanakan sebahagian daripada rukun atau sebahagian daripada syaratnya, maka hendaklah dia melakukan apa yang dia mampu.”
Keempat: Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya kehancuran umat sebelum kamu adalah kerana banyak bertanya…” Ibn Daqiq al-‘ld berkata: “Maksudnya ialah kamu jangan banyak bertanya sehingga menimbulkan jawapan yang bermacam-macam, menyerupai peristiwa yang terjadi kepada bani Israil. Tatkala mereka diperintahkan menyembelih seekor lembu yang seandainya mereka mengikuti perintah itu dan segera menyembelih lembu seadanya, nescaya mereka dikatakan telah mentaatinya. Akan tetapi kerana mereka banyak bertanya dan menyusahkan diri mereka sendiri maka akhirnya mereka disusahkan dan dicela, Rasulullah SAW khuatir perkara sebegini terjadi kepada umatnya.”
Aplikasi Hadith dalam Kehidupan
Hadith ini mengajar kita untuk menjauhi sebarang perkara yang haram sekalipun sedikit dan mentaati seupaya mungkin perintah Rasulullah SAW. Pada saat yang sama jauhkanlah sebarang bentuk pertanyaan dengan niat yang tidak baik serta suka berkhilaf. Hal ini, akan memudaratkan seseorang. Antara punca khilaf yang dicela adalah kerana kejahilan, kezaliman mengikut hawa nafsu dan menyalahi manhaj nabawi dalam penerimaan hukum syara’ dan cara mengamalkannya.
Islam melarang penganutnya banyak bertanya yang bertujuan untuk tidak melaksanakan perintah tersebut. Hal ini kerana ia tidak membuahkan amalan, sebaliknya membuka ruang kejahatan dan kemalasan.
Tanggungjawab setiap Muslim adalah berusaha sedaya upaya untuk memastikan setiap perintah Allah SWT dapat dilaksanakan dengan sepenuhnya. Sekiranya masih tidak berkemampuan, hati tetap kuat dan kukuh untuk melihat ia dapat dilaksanakan dengan sempurna pada masa akan datang.
Bagi kefahaman yang lebih jelas berkenaan hadith di atas, anda boleh rujuk di buku kami, “Al-Kafi Syarah Hadis 40 karya Imam Nawawi.”
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا
Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ketakwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”
Wallahu a‘lam.