Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana pelantikan panglima tentera untuk memerangi Parsi dalam peperangan al-Qadisiyyah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا

Maksudnya: “Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.

Surah al-Ahzab (23)

Imam al-Tabari berkata: Maksud ayat ini adalah, di antara orang-orang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, terdapat orang-orang yang menepati janjinya kepada Allah, iaitu sabar terhadap pelbagai kesusahan dan mudharat. Antara mereka ada yang menyelesaikan pekerjaan yang dijanjikannya kepada Allah dan diwajibkannya kepada dirinya sendiri bagi Allah, sehingga sebahagian dari mereka mati syahid dalam Perang Badar, sebahagian mati syahid dalam perang Uhud, dan sebahagian lagi mati syahid di tempat lain. Tetapi, di antara mereka ada yang menanti qadha dan penyelesaian dari Allah sebagaimana di antara mereka ada yang ditetapkan memenuhi janji kepada Allah, serta memperoleh pertolongan dari Allah dan kemenangan atas musuhnya. (Lihat Jami’ al-Bayan, 21/50)

Berdasarkan persoalan di atas, dikatakan, ketikamana tentera Parsi dengan barisan tentera yang begitu hebat di bawah pimpinan Rustum, Saidina Umar sendiri bercadang untuk pergi mengepalai tentera Islam menentang tentera Parsi. Hasrat Saidina Umar itu telah dibangkang oleh Saidina Abdul Rahman bin Auf R.A dan mencadangkan panglima yang lain. Lantas ditanya, “Kenapa?” Katanya, “Jika sekiranya tentera ini kalah, maka kita akan kalah keseluruhannya. Tetapi jika sekiranya panglima yang lain kalah, kita tidak lagi dianggap kalah keseluruhannya.” Kemudian ditanya kepadanya, “Siapakah yang layak menggantikanku?” Jawabnya, “Ada panglima yang menyembunyikan kukunya.” Lantas ditanya, “Siapakah dia?” Jawabnya, “Sa’d bin Abi Waqqas R.A.” Lantas Saidina Umar R.A terus bersetuju, dan begitu juga yang lain.

Disebut bahawa Khalifah ‘Umar bin al-Khattab RA turun sendiri ke gelanggang dan mengerahkan orang ramai supaya berjihad. Beliau sendiri menggerakkan pasukan menuju ke Dirar untuk memimpin tentera menuju ke Iraq bagi menyertai bala tentera bersama al-Muthanna. Turut bersama-sama ‘Umar RA ialah ‘Uthman RA, ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf RA, dan lain-lain.

Khalifah ‘Umar RA mengadakan syura dengan para sahabat yang kanan dan menyatakan hasratnya untuk memimpin tentera bagi memerangi Parsi. Sehinggakan ‘Ali bin Abi Talib R.A yang ditugaskan untuk menggantikan ‘Umar RA di Madinah dipanggil datang menyertai mesyuarat yang penting itu.

‘Abd al-Rahman bin ‘Auf RA tidak bersetuju Khalifah ‘Umar RA sendiri memimpin tentera ke Iraq. Hal ini demikian kerana, urusan pemerintahan di Madinah lebih penting kepadanya dalam suasana negara yang masih dikepung dan menghadapi ancaman yang lebih besar.

‘Umar RA bertanya: “Siapakah yang layak dicadangkan untuk mengepalai bala tentera ke Iraq?”

‘Abd al-Rahman bin ‘Auf RA menjawab: “Singa yang masih berada di sarangnya, Sa’ad bin Malik al-Zuhri.” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 7/35)

‘Umar RA terus bersetuju apabila mendengar nama Sa’ad bin Abi Waqqas RA dicadangkan bagi mengetuai bala tentera ke Iraq.

Akhirnya, mereka bersetuju melantik Sa’ad bin Abi Waqqas RA, salah seorang daripada 10 orang sahabat besar ketika hayat Rasulullah SAW. Kedudukannya setanding dengan Abu ‘Ubaidah RA yang ditugaskan ke Syam bagi menghadapi Rom. Sa’ad RA juga adalah daripada kalangan keluarga Rasulullah SAW yang terawal menganut Islam.

Khalifah Umar R.A memanggil Sa’ad ‘Umar RA datang menghadapnya di Madinah dan menyampaikan pesan yang berikut:

“Wahai Sa’ad, jangan tergoda dengan kedudukanmu sebagai keluarga Rasulullah dan sahabatnya yang ulung, kerana sesungguhnya Allah tidak akan menghapuskan kejahatan dengan kejahatan, tetapi terhapus dosa kejahatan dengan amal yang baik. Dan sesungguhnya, Allah tidak menjadikan keturunan seseorang untuk hampir kepada- Nya melainkan dengan mentaati-Nya.

Manusia itu sama ada berketurunan bangsawan ataupun tidak, sama sahaja di sisi Allah. Mereka semua ialah hamba-Nya, yang mesti mentaati-Nya untuk mendapat kelebihan masing-masing dengan usaha melakukan ketaatan.

Lihatlah sendiri apa yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW sejak dilantik menjadi Rasul sehinggalah meninggalkan kita. Itulah ajarannya yang wajib diteruskan secara iltizam. Inilah nasihatku kepadamu. Sekiranya engkau mengabaikan dan tidak suka kepada nasihat ini, nescaya engkau termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi.” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 7/35)

Peringatan kepada Sa’ad RA itu adalah supaya beliau tidak bermegah dengan kedudukannya sebagai antara orang yang terawal memeluk Islam dan mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Rasulullah SAW. Walaupun tanpa dinafikan ada kelebihannya. (Lihat Khalifah Umar: Fiqh Siyasah Khulafa’ al-Rasyidin, hlm. 133)

Biodata Ringkas Sa’ad bin Abi Waqqas R.A

Kami kemukakan secara ringkas kehidupan Sa’ad bin Abi Waqqas R.A:

Beliau ialah Abu Ishaq Sa‘ad bin Abu Waqqas Malik bin Uhaib bin ‘Abd Manaf bin Zuhrah bin Kilab bin Murrah bin Ka‘ab bin Lu’ai al-Qurasyi al-Zuhri al-Makki. Beliau termasuk dalam kalangan sepuluh orang yang dijanjikan syurga, salah seorang al-Sabiqun al-Awwalun (orang-orang yang terdahulu — yang mula-mula berhijrah dan memberi bantuan), salah seorang yang menyertai peperangan Badar dan juga menyertai Hudaibiyyah, serta salah seorang daripada enam ahli syura. Selain itu, beliau turut meriwayatkan sejumlah hadith. Hadith-hadithnya yang terdapat dalam al-Sahihain adalah sebanyak 15 hadith. Hadith-hadithnya yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari sahaja adalah sebanyak lima hadith, manakala yang diriwayatkan oleh Imam Muslim sahaja pula adalah sebanyak 18 hadith. Di antara mereka yang meriwayatkan hadith daripadanya ialah Ibn Umar, Aisyah, Ibn Abbas, al-Sa’ib bin Yazid, Qais bin Abu Hazim, Sa‘id bin al-Musayyib, Abu Uthman al-Nahdi dan ramai lagi. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 1/93).

Tambahan lagi, beliau juga termasuk dalam kalangan sahabat yang paling awal memasuki Islam. Beliau memeluk agama Islam ketika berumur 17 tahun. Beliau terkenal dengan keberaniannya dalam peperangan membela agama Islam. Beliau dikenali sebagai orang yang pertama melepaskan anak panah dalam membela agama Allah dan juga orang yang mula-mula terkena anak panah. Beliau bersama Nabi SAW hampir dalam setiap peperangan.

Abu Ya‘la dalam musnadnya menyebutkan, Muhammad bin al-Muthanna menyampaikan kepada kami, Abdullah bin Qais al-Raqasyi menyampaikan kepada kami, Ayyub menyampaikan kepada kami, daripada Nafi‘, daripada Ibn Umar, katanya: Kami duduk di sisi Nabi SAW dan Baginda bersabda: “Seseorang lelaki daripada kalangan ahli syurga akan masuk menemui kamu dari pintu ini. ” Lalu muncullah Sa‘ad bin Abu Waqqas (dari pintu itu). Selain itu, terdapat dalam riwayat lain daripada Risydin bin Sa‘ad, daripada al-Hajjaj bin Syaddad, daripada Abu Soleh al-Ghifari, daripada Abdullah bin ‘Amr bahawasanya Nabi SAW bersabda: “Orang pertama yang masuk dari pintu ini merupakan seseorang daripada kalangan ahli syurga.” Lalu Sa‘ad bin Abu Waqqas masuk melaluinya. (Lihat  Siyar A‘lam al-Nubala’, 1/108).

Begitu juga terdapat riwayat daripada al-Miqdam bin Syuraih, daripada bapanya, daripada Sa‘ad: Padaku turunnya ayat: “وَلا تَطْرُدِ الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ” (Maksudnya: “Dan janganlah engkau usir orang-orang yang beribadat dan berdoa kepada Tuhan mereka pagi dan petang.”) [Surah al-An‘am: 52]. Beliau berkata: “Ayat ini turun pada enam orang; aku dan  Ibn Mas‘ud termasuk dalam kalangan mereka.” Orang-orang musyrikin dahulu berkata kepadanya: “Kamu menghina mereka.”

Riwayat Muslim (2413)

Selain daripada itu, terdapat riwayat daripada Abu Uthman al-Nahdi bahawasanya Sa‘ad bin Malik berkata: Diturunkan ayat ini mengenaiku: “وَإِن جَاهَدَاكَ لِتُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا” (Maksudnya: “Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan Daku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, maka janganlah engkau taat kepada mereka.”) [Surah al-‘Ankabut: 8]. Beliau berkata: “Aku adalah seorang yang sangat menghormati dan berbuat baik kepada ibuku. Apabila aku memeluk Islam, ibuku berkata: ‘Wahai Sa‘ad, apakah yang telah engkau lakukan ini? Tinggalkanlah agamamu itu atau aku tidak akan makan dan minum sehinggalah aku mati. Lalu aku dicela, dikatakan: Wahai pembunuh ibunya.’ Aku berkata: ‘Jangan lakukannya, wahai ibu kerana sesungguhnya aku tidak akan meninggalkan agamaku untuk sesuatu seperti ini.’ Maka dia tidak makan sehari semalam sehingga dia menjadi letih dan lemah, kemudian dia juga tidak makan pada sehari semalam berikutnya sehinggalah badannya bertambah letih dan lemah. Apabila aku melihat perkara itu, aku katakan: ‘Wahai ibu, ketahuilah, demi Allah, jika engkau memiliki seratus nyawa sekalipun, lalu ia dicabut satu satu daripadamu, aku tetap tidak akan meninggalkan agamaku ini untuk sesuatu apapun. Sekiranya engkau mahu engkau boleh makan, dan sekiranya engkau mahu juga engkau boleh tidak makan. Lalu dia pun makan. (Lihat  Siyar A‘lam al-Nubala’, 1/109-110; Tafsir al-Tabari secara ringkas, 20/138; Tarikh Dimasyq dengan sedikit perbezaan, 20/331).

Begitu juga terdapat riwayat daripada Sa‘ad bin Abu Waqqas, katanya:

نَزَلَتْ فِيَّ أَرْبَعُ آيَاتٍ مِنْ كِتَابِ اللَّهِ تَعَالَى: كَانَتْ أُمِّي حَلَفَتْ أَنْ لَا تَأْكُلَ وَلَا تَشْرَبَ حَتَّى أُفَارِقَ مُحَمَّدًا صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ: {وَإِنْ جَاهَدَاكَ عَلَى أَنْ تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطُعْهُمَا وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا} [لقمان: ١٥] . وَالثَّانِيَةُ: أَنِّي كُنْتُ أَخَذْتُ سَيْفًا أَعْجَبَنِي، فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، هَبْ لِي هَذَا، فَنَزَلَتْ: {يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْأَنْفَالِ} [الأنفال: ١] . وَالثَّالِثَةُ: أَنِّي مَرِضْتُ فَأَتَانِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنِّي أُرِيدُ أَنْ أَقْسِمَ مَالِي، أَفَأُوصِي بِالنِّصْفِ؟ فَقَالَ: «لَا» ، فَقُلْتُ: الثُّلُثُ؟ فَسَكَتَ، فَكَانَ الثُّلُثُ بَعْدَهُ جَائِزًا. وَالرَّابِعَةُ: إِنِّي شَرِبْتُ الْخَمْرَ مَعَ قَوْمٍ مِنَ الْأَنْصَارِ، فَضَرَبَ رَجُلٌ مِنْهُمْ أَنْفِي بِلَحْيِ جَمَلٍ، فَأَتَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَنْزَلَ عَزَّ وَجَلَّ تَحْرِيمَ الْخَمْرِ

Maksudnya:Sebanyak empat ayat al-Quran telah diturunkan untukku: Pertama, ketika ibuku bersumpah tidak akan makan dan minum sehinggalah aku meninggalkan Muhammad SAW, maka Allah Azza wa Jalla menurunkan ayat (yang bermaksud), ‘Dan sekiranya kedua-duanya memaksa kamu untuk mensyirikkan-Ku dengan sesuatu yang tidak kamu ketahui, maka janganlah kamu mentaati kedua-duanya tetapi bergaullah dengan kedua- duanya di dunia dengan baik.’ (Surah Luqman: 15). Kedua, sesungguhnya aku telah mengambil sebilah pedang yang amat menarik perhatianku, maka aku berkata: ‘Wahai Rasulullah, hadiahkanlah pedang ini kepadaku!’ Lalu turunlah ayat (yang bermaksud), ‘Dan mereka bertanya kepadamu tentang harta rampasan perang.’ (Surah al-Anfal: 1). Ketiga, sesungguhnya aku telah jatuh sakit. Kemudian, Rasulullah datang kepadaku lalu aku berkata: ‘Wahai Rasulullah, aku ingin membahagikan hartaku. Adakah boleh sekiranya aku mewasiatkan separuh daripadanya?’ Baginda menjawab: ‘Tidak.’ Aku bertanya lagi: ‘Jika sepertiga?’ Baginda senyap. Setelah itu, jumlah sepertiga dibenarkan. Keempat, sesungguhnya aku telah minum arak bersama beberapa orang Ansar. Kemudian, salah seorang daripada mereka telah memukul hidungku dengan tulang rahang unta. Oleh itu, aku pergi mengadu kepada Nabi SAW, lalu Allah Azza wa Jalla menurunkan ayat tentang pengharaman arak.”

Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (24)

Sa‘ad bin Abu Waqqas menghembuskan nafas yang terakhir di rumahnya sendiri di al-‘Aqiq yang jaraknya 7 batu dari Madinah, dan ada yang berpendapat jarak antara keduanya adalah 10 batu pada tahun 55H. Kemudian, beliau dibawa ke Madinah dengan dipikul di atas leher para lelaki sehinggalah beliau disolatkan di Masjid Nabi SAW. Kemudian, beliau dikebumikan di perkuburan Baqi‘.  Usianya ketika meninggal dunia ialah 70 tahun lebih, dan merupakan sahabat dalam kalangan Muhajirin yang paling akhir meninggal dunia. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 1/97; Siyar al-Salaf al-Salihin oleh Isma‘il al-Asbahani, 1/238; al-Isti‘ab fi Ma‘rifah al-Ashab, 2/610).

Leave a Reply