Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Rib’i ibn ‘Amir telah menyampaikan ucapan kepada Panglima Parsi, Rustum?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami kemukakan terlebih dahulu kisah ringkas Rib’i ibn Amir:

Nama sebenarnya, Rib’i ibn ‘Amir ibn Khalid ibn ‘Amar al-Usaidi al-‘Amrawi al-Tamimi, merupakan salah seorang panglima tentera Islam dalam pembukaan Iraq. Beliau termasuk daripada kalangan bangsawan Arab. Rib’i ibn Amir sempat bertemu dengan Nabi SAW. Beliau menyertai pembukaan kota Damsyiq. Begitu juga Peperangan Nahawand. Beliau sama-sama pergi ke Qadisiyah. Surat Saidina Umar yang dikirim kepada Abu Ubaidah al-Jarrah supaya menggerakkan tentera ke Negeri Iraq, salah seorang panglimanya adalah Rib’i ibn Amir.

Kisah pertemuan Rib’i ibn ‘Amir dengan Rustum telah diceritakan oleh Ibn Kathir dalam kitab Tarikhnya yang masyhur, al-Bidayah wa al-Nihayah. Sebelum terjadi peperangan Qadisiyah antara tentera Muslimin pimpinan Sa’ad bin Abi Waqqas R.A dengan tentera Parsi pimpinan Rustum, Sa’ad terlebih dahulu mengirim utusan kepada Rustum beberapa kali. Di antara utusan tersebut adalah Rib’i bin ‘Amir R.A.

Maka Rib’i pun pergi dan menemui Rustum. Mereka telah menghiasi pertemuan itu dengan hamparan bantal yang dijahit dengan benang emas, serta permaidani-permaidani dari sutera. Mereka menzahirkan kekayaan mereka dengan berbagai jenis perhiasan berupa permata yaqut, permata-permata yang mahal, dan perhiasan lain yang mengaburi mata. Rustum memakai mahkota dan duduk di atas singgahsana daripada emas.

Ia amat jauh berbeza keadaannya dengan Rib’i. Beliau masuk dengan hanya memakai baju yang sangat sederhana, dengan pedang, perisai dan kuda yang pendek. Rib’i tetap di atas kudanya sehingga menginjak hujung permaidani. Kemudian beliau turun dan mengikatkan kuda tersebut di sebahagian bantal-bantal yang terhampar. Setelah itu beliau lantas masuk dengan senjata, baju besi, dan penutup kepalanya.

Mereka berkata, “Letakkan senjatamu!” Beliau menjawab, “Aku tidak pernah berniat datang kepadamu tetapi kamulah yang mengundangku datang ke mari. Jika kamu memerlukan aku maka biarkan aku masuk dalam keadaan seperti ini. Jika kamu tidak izinkan, maka aku akan segera kembali.”

Lantas Rustum berkata, “Biarkan dia masuk.”

Maka Rib’i datang sambil bertongkat dengan tombaknya dalam keadaan posisi hujung tombak ke bawah sehingga menyebabkan bantal-bantal yang dilaluinya penuh dengan lubang-lubang bekas tombaknya.

Mereka bertanya, “Apakah yang membuatkan kamu datang ke sini?”

Beliau menjawab:

اللَّهُ ابْتَعَثْنَا لِنُخْرِجَ مَنْ شَاءَ مِنْ عِبَادَةِ الْعِبَادِ إِلَى عِبَادَةِ اللَّهِ، وَمِنْ ضِيقِ الدُّنْيَا إِلَى سِعَتِهَا، وَمِنْ جَوْرِ الْأَدْيَانِ إِلَى عَدْلِ الْإِسْلَامِ، فَأَرْسَلَنَا بِدِينِهِ إِلَى خَلْقِهِ لِنَدْعُوَهُمْ إِلَيْهِ، فَمَنْ قَبِلَ ذَلِكَ قَبِلْنَا مِنْهُ وَرَجَعْنَا عَنْهُ، وَمَنْ أَبَى قَاتَلْنَاهُ أَبَدًا حَتَّى نُفْضِيَ إِلَى مَوْعُودِ اللَّهِ

Maksudnya: “Allah telah membangkitkan kami untuk mengeluarkan sesiapa sahaja yang Dia kehendaki dari perhambaan terhadap sesama hamba kepada perhambaan kepada Allah, dari kesempitan dunia kepada keluasannya, dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam. Maka Dia membangkitkan kami dengan agama-Nya untuk kami seru mereka kepadanya. Maka sesiapa yang menerima perkara tersebut, kami akan menerimanya dan pulang meninggalkannya. Tetapi sesiapa yang enggan, kami akan memeranginya selama-lamanya sehinggalah kami berjaya memperoleh apa yang dijanjikan Allah SWT.”

Mereka bertanya, “Apa yang dijanjikan Allah (kepada kamu)?”

Rib’i ibn Amir menjawab, “Syurga bagi sesiapa sahaja yang mati dalam memerangi orang-orang yang enggan dan kemenangan bagi yang hidup.”

Rustum pun berkata, “Sesungguhnya aku telah mendengar perkataan-perkataan kamu. Tetapi bolehkah kamu memberi penangguhan perkara ini sehingga kami mempertimbangkannya dan kamu pun mempertimbangkannya?”

Rib’i menjawab, “Ya, berapa lama masa yang kamu mahu? Sehari atau dua hari?”

Rustum menjawab, “Tidak, tetapi sehingga kami menulis surat kepada para pemimpin kami.”

Maka Rib’i pun berkata, “Rasul kami tidak pernah mengajarkan kepada kami untuk menangguhkan peperangan semenjak bertemu musuh lebih daripada tiga (hari). Maka pertimbangkanlah perkaramu dan mereka, dan pilihlah satu daripada tiga pilihan apabila masa penangguhan telah berakhir.”

Rustum bertanya, “Adakah kamu pemimpin mereka?”

Beliau menjawab, “Tidak, tetapi kaum muslimin ibarat jasad yang satu. Yang paling rendah dari mereka dapat memberikan jaminan keamanan terhadap yang paling tinggi.”

Akhirnya Rustum mengumpulkan para pemimpinnya kemudian berkata, “Pernahkah kamu melihat (walau sekali) yang lebih mulia dan lebih benar dari perkataan lelaki ini?”

Mereka menjawab, “Kami minta perlindungan Allah supaya engkau tidak terpengaruh kepada sesuatu dari (ajakan) ini dan dari menyeru agamamu kepada (agama) anjing ini. Tidakkah engkau melihat kepada pakaiannya?”

Rustum menjawab: “Celaka kamu! Janganlah kamu melihat kepada pakaian. Akan tetapi lihatlah kepada pendapat, perkataan, dan jalan hidupnya! Sesungguhnya orang ‘Arab menganggap ringan masalah pakaian dan makanan. Tetapi mereka menjaga harga diri mereka.” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 9/623; Tarikh al-Umam wa al-Muluk, 2/402, Hayat al-Sahabah, 1/259)

Sesungguhnya, ucapan Rib’i ibn ‘Amir ini jelas menujukkan visi dan misi yang mendalam, yang boleh menghancurkan kerajaan parsi. Ini kerana keberanian, keikhlasan dan kesungguhan yang tiada tolok banding untuk memenangkan agama-Nya.

Benarlah firman Allah SWT:

مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا

Maksudnya: “Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.

Surah al-Ahzab (23)

Imam al-Tabari berkata: Maksud ayat ini adalah, di antara orang-orang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, terdapat orang-orang yang menepati janjinya kepada Allah, iaitu sabar terhadap pelbagai kesusahan dan mudharat. Antara mereka ada yang menyelesaikan pekerjaan yang dijanjikannya kepada Allah dan diwajibkannya kepada dirinya sendiri bagi Allah, sehingga sebahagian dari mereka mati syahid dalam Perang Badar, sebahagian mati syahid dalam perang Uhud, dan sebahagian lagi mati syahid di tempat lain. Tetapi, di antara mereka ada yang menanti qadha dan penyelesaian dari Allah sebagaimana di antara mereka ada yang ditetapkan memenuhi janji kepada Allah, serta memperoleh pertolongan dari Allah dan kemenangan atas musuhnya. (Lihat Jami’ al-Bayan, 21/50)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى

Maksudnya: “Wahai Allah! Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.”

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Leave a Reply