Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah itu Kafalah dan hikmah disyariatkannya?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Definisi Kafalah (Jaminan)
Menurut bahasa Arab, kafalah (jaminan) bermaksud beriltizam dan bergabung. Contohnya firman Allah SWT:
وَكَفْلَهَا زَكَرِيَّا
Maksudnya: Serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria.
(Surah Ali-Imran: 37)
laitu Nabi Zakaria AS mengambil dan mendidiknya. Demikian juga dengan sabda Rasulullah SAW:
أَنَا وَكَافِلُ الْيَتِيمِ فِي الْجَنَّةِ هَكَذَا، وَأَشَارَ بِالسَّبَّابَةِ وَالْوُسْطَى، وَفَرَّجَ بَيْنَهُمَا شَيْئًا
Maksudnya: “Saya dan penjamin anak yatim akan berada di syurga seperti ini. Sambil Baginda menunjukkan jari telunjuk dan jari hantunya dengan merenggangkannya sedikit.”
Riwayat al-Bukhari (4998)
Penjamin anak yatim ialah orang yang mengambil anak yatim kemudian beriltizam untuk menjaga dan menampung perbelanjaannya.
Istilah kafalah menurut syara’ ialah memikul tanggungjawab terhadap sesuatu hak yang telah disahkan menjadi tanggungan orang lain. Atau untuk mengemukakan orang yang akan bertanggungjawab terhadap sesuatu hak orang lain atau terhadap barang yang dijamin.
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan hikmah pensyariatan Kafalah (Jaminan) adalah kebenaran yang diberikan oleh syara’ ini memberi kemudahan kepada umat Islam dan membolehkan mereka saling bantu-membantu. Kemungkinan ada di kalangan mereka yang mahu membeli sesuatu yang diperlukan tetapi tidak mempunyai wang untuk membayarnya. Sementara itu, penjual pula mungkin tidak berkeyakinan dengan keupayaan pembeli dan tidak memberinya hutang. Dalam masa yang sama, pembeli juga mungkin tidak mempunyai sebarang harta untuk digadaikan ataupun penjual tidak mahu menerima gadaian. Dalam keadaan ini, pembeli memerlukan seorang penjamin.
Dalam keadaan lain, mungkin ada seseorang yang perlu berhutang tetapi pemiutang meminta pemohon mengemukakan seorang penjamin. Sementara itu, mungkin juga seseorang telah melakukan kesalahan yang menyebabkan dia dihukum. Sedangkan dia berada jauh dari tanah airnya. Dalam masa yang sama dia memerlukan sedikit masa untuk menyelesaikan sesuatu tugas dengan segera. Oleh itu dia memerlukan seorang penjamin bagi membolehkan dia pergi menyelesaikan tugasnya dan kemudian kembali ke situ. Adakalanya, seseorang perlu meminjam sesuatu barang tetapi pemilik barang tidak bersedia meminjamkannya melainkan peminjam mengemukakan penjamin yang memberi jaminan peminjam akan memulangkannya dalam keadaan elok.
Mungkin juga seseorang memiliki sesuatu yang disahkan sebagai barang rampasan tetapi memerlukan masa untuk memulangkannya. Walau bagaimanapun, pemilik asalnya tidak mahu melepaskannya melainkan dia mengemukakan seorang penjamin. Demikianlah seterusnya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 7/144)
Dengan ini, keperluan kepada penjamin amat jelas dan amat diperlukan. Apatah lagi syariat Allah sememangnya diturunkan untuk memenuhi keperluan manusia dan meringankan segala bebanan mereka. Firman Allah SWT:
يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ
Maksudnya: Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.
(Surah al-Baqarah: 185)
Akhir kalam, semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahua`lam.