Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, di mana bumi al-Qadisiyyah yang terkenal dengan perlawanan tentera Islam menentang tentera Parsi pada tahun 14 Hijrah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Peperangan al-Qadisiyyah dinamakan sempena nama tempat di mana berlakunya peperangan ini, iaitu di al-Qadisiyyah. Ia merupakan sebuah daerah di sebelah timur Sungai Eufrat, yang mempunyai banyak kebun kurma dan pengairan. Al-Qadisiyyah adalah pintu gerbang kepada kerajaan Parsi Majusi (penyembah api) pada zaman lampau. Manakala ketika ini, al-Qadisiyyah terletak di barat daya Hillah dan Kufah, bahagian tengah Iraq.
Al-Qadisiyyah merupakan sebuah bandar bersejarah di Iraq, terletak di barat Kufah, dengan jarak sejauh 27 kilometer dari Kufah. Bandar ini terkenal sebagai tempat pertempuran Al-Qadisiyyah yang berlaku pada tahun 636, di mana pasukan Arab Muslim berhadapan dan mengalahkan pasukan Empayar Sasanid.
Sebelum penaklukan Islam, al-Qadisiyyah adalah sebuah kampung kecil di sebelah barat Sungai Furat, berdekatan dengan kota benteng al-Zubair. Namun, seiring berlalunya waktu, saiz dan kepentingannya meningkat, menjadikannya pusat penting di jalan antara Baghdad dan Makkah al-Mukarramah.
Di Iraq, terdapat dua kota yang dinamakan Qadisiyyah, iaitu Qadisiyyah Kufah dan Qadisiyyah lainnya yang terletak di sepanjang Sungai Dajlah, di jalan antara Baghdad dan Samarra, tidak jauh dari bandar yang terletak di sepanjang Sungai Furat. Kedua-dua bandar ini dinyatakan dalam catatan Ibn Khurdazbih.[1]
Dalam peperangan tersebut, jelas menunjukkan betapa hebatnya tentera Islam yang menzahirkan kesetiaan dan keberanian kepada agama mereka. Benarlah firman Allah SWT:
مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا
Maksudnya: “Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.”
Surah al-Ahzab (23)
Imam al-Tabari berkata: Maksud ayat ini adalah, di antara orang-orang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, terdapat orang-orang yang menepati janjinya kepada Allah, iaitu sabar terhadap pelbagai kesusahan dan mudharat. Antara mereka ada yang menyelesaikan pekerjaan yang dijanjikannya kepada Allah dan diwajibkannya kepada dirinya sendiri bagi Allah, sehingga sebahagian dari mereka mati syahid dalam Perang Badar, sebahagian mati syahid dalam perang Uhud, dan sebahagian lagi mati syahid di tempat lain. Tetapi, di antara mereka ada yang menanti qadha dan penyelesaian dari Allah sebagaimana di antara mereka ada yang ditetapkan memenuhi janji kepada Allah, serta memperoleh pertolongan dari Allah dan kemenangan atas musuhnya. (Lihat Jami’ al-Bayan, 21/50)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَنْجِ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya: “Ya Allah selamatkanlah orang-orang yang lemah dari kalangan orang-orang yang beriman.”
Riwayat al-Bukhari (6393)
اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ
Maksudnya: “Ya Allah yang menurunkan Kitab, yang menjalankan awan, yang menghancurkan pasukan musuh, kalahkan mereka dan bantulah kami menewaskan mereka.”
Riwayat al-Bukhari (2965)
Nota kaki:
[1] en.wikipedia.org/wiki/Al-Qadisiyyah_(historical_city)