Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri.  Apakah perbezaan pahala dan dosa? Mungkin Dato boleh kupas satu hadith berkenaannya. Mohon pencerahan Dato, terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan sabda nabi SAW:

الْبِرُّ حُسْنُ الْخُلُقِ، وَالْإِثْمُ مَا حَاكَ فِي نَفْسِكَ، وَكَرِهْتَ أَنْ يَطَّلِعَ عَلَيْهِ النَّاسُ.

Maksudnya: “Kebaikan adalah akhlak yang baik, dan dosa adalah apa yang menggetarkan jiwa dan engkau tidak suka jika dilihat oleh manusia.”

Riwayat Muslim (2553)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terdapat beberapa istifadah yang boleh kita ambil daripada hadith di atas, antaranya:

Pertama: Imam Ibn Daqiq al-‘Id berkata: “Nabi SAW bersabda “kebajikan itu keluhuran akhlak”, maksudnya ialah bahawa keluhuran akhlak adalah sebaik-baik kebajikan, sebagaimana sabda beliau “haji adalah Arafah”. Adapun kebajikan adalah perbuatan yang menjadikan pelakunya menjadi baik, selalu berupaya mengikuti orang-orang yang berbuat baik, dan taat kepada Allah yang Maha Mulia lagi Maha Tinggi.”

Kedua: Yang dimaksud dengan berakhlak baik iaitu jujur dalam bermuamalah, santun dalam berusaha, adil dalam menghukum, bersungguh-sungguh dalam berbuat kebajikan. Kadang-kadang dikhususkan berbuat kebajikan itu kepada kedua ibu bapa, tetapi seringkali kebajikan disebut sebagai berbuat kebajikan kepada seluruh makhluk. Di dalam hadis Bahz dan Hakim daripada ayahnya daripada datuknya bahawa beliau berkata, yang bermaksud: “Wahai Rasulullah! Kepada siapakah sepatutnya aku berbuat kebajikan?” Jawab Baginda SAW: “Ibumu.” Kemudian beliau bertanya lagi: “Kemudian kepada siapa lagi”, jawab Baginda: “Bapamu”, Beliau bertanya lagi: “Kemudian kepada siapa lagi”, jawab Baginda: “Kemudian kepada yang paling dekat dan seterusnya.”

Ketiga: Kami nyatakan di sini beberapa pendapat ulama berkenaan dengan kebaikan atau kebajikan:

  • Ibn Umar berkata: “Kebajikan itu sesuatu yang mudah, iaitu wajah yang ceria dan kalam yang lembut.”
  • Dikehendaki dengan kebajikan itu ialah semua jenis ketaatan yang zahir dan batin.

Aplikasi Hadith dalam Kehidupan

Sesiapa yang merasa gusar dan tidak tenang dalam melakukan sesuatu pekerjaan, maka cubalah bertanya kepada hati dan diri. Adakah perbuatan aku ini betul?

Biasanya perlakuan kita benar bila wujud keyakinan, tetapi jika kita perlu banyak pertanyaan untuk menyedapkan hati kita, sebenarnya itu adalah tanda yang kita masih tidak benar. Carilah yang yakin pasti hati kita akan tenang.

Memperbanyakkan amalan kebaikan dan kebajikan akan me- nambahkan lagi ketenangan, keriangan dan kelapangan jiwa. Untuk itu, banyakkanlah melakukan kebaikan dan kebajikan agar hidup terhindar daripada tekanan yang merosakkan dan keresahan yang menghilangkan kenikmatan hidup.

Islam mengutamakan tarbiyyah dan pendidikan dalaman iaitu hati kerana hati apabila baik maka baiklah seluruhnya dan apabila jahat maka jahatlah seluruhnya. Seperkara yang penting lagi ialah seseorang itu hendaklah mengisi kehidupannya dengan ilmu dan akhlak yang mulia. Ini bertujuan agar ia sentiasa berada pada kedudukan yang baik ditambah pula dengan sentiasa ingin mencari kebenaran dan tidak memilih pada jalan yang syak serta ragu-ragu. Seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Qurtubi: “Bahawa yang dikehendaki dengan akhlak yang baik ialah sentiasa baik dalam berinteraksi, lemah lembut dalam perbincangan, berlaku adil dalam hukum dan sanggup berkorban serta berihsan.” (Lihat al-Mufhim, 6/522)

Semoga Allah kurniakan kita akhlak yang mulia, ilmu yang mendekatkan kita kepada-Nya dan hati yang sentiasa tenang dengan ketaatan kepada-Nya.

Leave a Reply