Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh kisahkan kepada kami suasana peperangan pada hari kedua dalam peperangan al-Qadisiyyah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Hari ini menyaksikan tibanya pasukan tentera bantuan dari Syam. Antara mereka ialah al-Qa’qa’ ibn ‘Amr yang membawa seribu pasukan berkuda. Jumlah mereka seramai 6000 orang yang dipimpin oleh Hasyim bin Utbah dan panglima utamanya sudah tentu al-Qa’qa’ ibn ‘Amr.

Mereka tiba di medan perang bertepatan dengan terbitnya matahari pada hari kedua, atau hari Aghwats.

Al-Qa’qa’ telah menggunakan satu strategi dan taktik untuk menimbulkan rasa takut dan gerun di hati musuh. Beliau membahagikan seribu tentera berkudanya kepada seratus kelompok. Sehingga menjadikan setiap kelompok terdiri daripada sepuluh orang. Dia memerintahkan satu kelompok, apabila sudah hampir dengan al-Qadisiyyah sejauh jarak mata memandang untuk memacu kuda mereka dengan cepat.

Apabila kelompok pertama tiba, kelompok yang lain pula menyusul di belakang. Demikianlah seterusnya. Debu yang berterbangan akibat hentakan kaki-kaki kuda seluruh kelompok menjadi tebal sehingga menutupi cahaya matahari. Hal ini menjadikan musuh menyangka bahawa jumlah tentera pasukan Islam lebih banyak berbanding jumlah mereka.

Tatkala perang hari kedua bermula, al-Qa’qa’ mara ke hadapan untuk mencabar pertarungan satu lawan satu. Lantas panglima Parsi bernama Bahman yang terkenal semasa perang jambatan (al-jisr) keluar untuk menyahut cabarannya.

Al-Qa’qa’ yang belum mengenalinya lalu bertanya: “Siapakah engkau?”

Apabila Bahman menyebut namanya, lantas al-Qa’qa’ bertempik: “Pembunuh Abu ‘Ubaid!”

Al-Qa’qa’ pun lalu membunuhnya dalam perlawanan yang singkat. Ia menjadi satu permulaan yang amat baik bagi umat Islam pada tersebut. Ia juga menjadi petanda yang baik kepada orang Islam atas kematian Buhman.

Kemudian, sekali lagi al-Qa’qa’ keluar untuk beradu tenaga dan mencabar musuh supaya lawan sama seorang. Lantas keluarlah dua panglima Parsi iaitu Banduan dan Bairazan. Ketika itu, al-Harith bin Zabyan membantu al-Qa’qa’ di mana al-Qa’qa’ melawan Bairazan dan dapat membunuhnya, begitu juga Harith dapat membunuh Banduan. Kemudian berkobarlah api peperangan dengan marak dan pertempuran berlangsung dengan amat sengit. Al-Qa’qa’ mengambil kesempatan untuk menguatkan semangat orang Islam dengan khutbahnya yang luar biasa. Antara lain, katanya kepada orang Islam:

يَا مَعْشَرَ الْمُسْلِمِيْنَ بَاشِرُوْهُمْ بِالسُّيُوفِ، فَإِنَّمَا يَحْصُدُ النَّاسُ بِهَا

Maksudnya: “Hai umat Islam, lawanlah mereka dengan pedang-pedangmu kerana orang ramai dapat membajak dan menuai hasil dengannya.”

Serangan Terhadap Kem Panglima Musuh

Al-Qa’qa’ bin ‘Amr RA telah mengambil langkah yang berani, apabila menembusi barisan tentera musuh dengan asakan sehingga sampai ke tengah di mana terletaknya para panglima. Hal tersebut bertujuan untuk menjadikan tentera musuh tanpa arahan dengan menghapuskan para panglimanya terlebih dahulu.

Al-Qa’qa’ merupakan seorang panglima Islam yang memiliki kelebihan tersendiri. Saidina Abu Bakar pernah memuji al-Qa’qa’ dengan menyatakan:

صَوْتُ الْقَعْقَاع بن عَمْرو  فِي الْجَيْشِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ رَجُلٍ

Maksudnya: “Suara kuat Qa’qa’ di hadapan para tentera lebih baik dari 1000 tentera.” (Lihat Usd al-Ghabah, 4/207; al-Isabah, 3/239)

Khalid bin al-Walid juga pernah meminta bala bantuan kepada Abu Bakar saat mengepung kota Al-Hirah. Kemudian Abu Bakar mengutus al-Qa’qa’ bin Amr sambil berkata:

لَايُهْزَم جَيْشٌ فِيهِ مِثْلُ هَذَا

Maksudnya: “Tidak ada satu pasukan musuh pun yang akan mengalahkan orang seperti dia.” (Lihat Tarikh al-Umam wa al-Muluk, 3/346)

Serangan yang dilancarkan oleh al-Qa’qa’ tersebut telah mendatangkan hasil yang baik walaupun menggugurkan ramai para syuhada’. Tentera Islam juga menggunakan tentera unta yang dipakaikan topeng bagi menakutkan kuda tentera musuh dan menghadapi pasukan bergajah. Itu merupakan satu reka cipta yang bijak dalam taktik peperangan bagi mencelarukan pasukan musuh dan memberikan peluang yang baik untuk melancarkan serangan berikutnya.

Pada hari kedua ini, tentera Parsi tidak menyertai dengan gajah kerana banyak peti rumah yang dibina di atas gajah telah rosak dan pecah pada hari sebelumnya. Justeru, mereka terpaksa mengambil masa untuk membaikinya semula.

Hal ini diambil kesempatan oleh tentera Islam melalui al-Qa’qa’ untuk menggerunkan kuda-kuda Parsi sebagaimana semalam terjadi dengan gajah terhadap kuda-kuda orang Islam. Mereka menggunakan lelaki bani Tamim untuk membentuk di atas unta-unta seolah-olah besar dan tinggi dan apa yang dikehendaki menyebabkan kuda tentera Parsi melarikan diri. Hari ini tentera Parsi kelelahan berbanding dengan semalam dan ternyata kemenangan hari kedua berpihak kepada tentera Islam berdasarkan perancangan dan taktik Qa’qa’ yang memainkan peranan besar.

Pada hari ini juga, Al-Qa’qa’ dapat membunuh pemimpin utama panglima tentera Parsi, iaitu Bazrajamha. Pada hari kedua ini, peperangan berlangsungan sehingga tengah malam. Justeru dinamakan malam Aghwath dengan nama malam Sawad atau gelap.

Pada hari kedua ini juga, sebanyak 10,000 tentera Parsi terbunuh, manakala korban di pihak Islam adalah seramai 2000 orang.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَنْجِ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya:  “Ya Allah selamatkanlah orang-orang yang lemah dari kalangan orang-orang yang beriman.”

 Riwayat al-Bukhari (6393)

اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ

Maksudnya: “Ya Allah yang menurunkan Kitab, yang menjalankan awan, yang menghancurkan pasukan musuh, kalahkan mereka dan bantulah kami menewaskan mereka.”

 Riwayat al-Bukhari (2965)

Leave a Reply