Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh jelaskan tentang hadith berkaitan menghilangkan kemudaratan?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami mulakan dengan sabda Nabi SAW:
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
Maksudnya: “Tidak boleh melakukan perbuatan yang memudharatkan diri sendiri dan orang lain.”
Diriwayatkan oleh Ibn Majah (2341) dan al-Daruqutni (4/228) serta selainnya dengan sanad yang bersambung, juga diriwayatkan oleh Imam Malik (2/746) dalam Muwattho’ secara mursal dari Amr bin Yahya dari bapanya dari Rasulullah SAW, beliau tidak menyebutkan Abu Sa’id. Namun ia memiliki jalan-jalan yang sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain.) Hadis hasan.
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terdapat beberapa istifadah yang boleh kita ambil daripada hadith di atas, antaranya:
Pertama:
Definisi Perkataan dharar ضرر dan dhirar )ضرار
Perkataan dharar (ضرر) dan dhirar (ضرار) sebahagian ulama berpendapat kedua lafaz ini dengan satu makna dan disebut dengan kedua-duanya sebagai ta’kid dan penguat.
Sedangkan Ibn Habib berpendapat dharar (ضرر) di sisi ahli bahasa arab adalah isim atau nama. Sebaliknya dhirar (ضرار) pula memberi maksud perbuatan atau fe’el.
Al-Khusyani berpendapat: “Dharar (ضرر) ialah yang mendapat manfaat bagi kamu sedangkan jiran kamu pula mendapat mudarat. Sebaliknya perkataan dahirar ضرار di mana ia tidak memberi sebarang manfaat ke atas jiran kamu sedangkan kamu mendapat mudarat. Inilah wajah yang baik dari sudut maknanya.”
Kedua: Imam Ibn Daqiq al-‘Id menyebut, bahawa Al Mahasini ber- kata: “Bahawa yang dimaksudkan dengan merugikan adalah melakukan sesuatu yang bermanfaat bagi dirinya, tetapi menyebabkan orang lain mendapatkan mudharat”. Ini adalah pendapat yang benar.
Sebahagian ulama berkata: “Yang dimaksud dengan kamu membahayakan iaitu engkau merugikan orang yang tidak merugikan kamu. Sedangkan yang dimaksudkan saling merugikan iaitu engkau membalas orang yang merugikan kamu dengan hal yang tidak setara dan bukan untuk membela kebenaran.”
Hadis ini sama dengan sabda Nabi SAW: “Tunaikanlah amanat kepada orang yang memberi amanat kepadamu, dan janganlah kamu berkhianat kepada orang yang berkhianat kepadamu.”
Menurut sebahagian ulama, hadis ini maksudnya adalah janganlah kamu berkhianat kepada orang yang mengkhianati kamu setelah kamu mendapat kemenangan atas pengkhianatannya. Seolah-olah larangan ini berlaku terhadap orang yang memulainya, sedangkan bagi orang yang melakukan pembalasan yang setimpal dan menuntut haknya tidak dikatakan berkhianat. Yang dikatakan khianat hanyalah orang yang mengambil sesuatu yang bukan haknya atau mengambil lebih dari haknya.
Aplikasi Hadith dalam Kehidupan
Segala perbuatan yang memudaratkan yang disebut oleh Allah dan Rasul-Nya hendaklah dijauhkan, seperti zina, riba, bunuh dan lain-lain. Termasuk juga pada masa kini dengan menghisap rokok, shisha, okok elektronik, dan vape. Wajib bagi kita menjauhkan diri dari kemudharatan diri dan juga orang lain.
Guru kami berkata: “Kalaulah kita beramal dan berjalan mengikut panduan hadis ini sudah tentu keadaan kita akan elok dan kehidupan akan bahagia. Tetapi malangnya jiwa sentiasa terheret ke arah sifat kedekut, sentiasa bermusuhan dan tidak pelik bila kita mendapati seseorang memudaratkan saudaranya.”
Seseorang Muslim perlu menghormati orang lain dan memuliakan mereka dalam semua urusan kehidupan. Ditambah lagi dengan perasaan belas kasihan dan persaudaraan antara sesama manusia, mampu menghalang berlakunya perkara yang memudaratkan.
Amat wajar bagi kita memahami kaedah darurat dan memahami-nya untuk mengaplikasikannya dalam kehidupan ini.
Semoga Allah mengurniakan kita sifat-sifat mahmudah dalam melayari bahtera kehidupan.
Info Lanjut: Bagi kefahaman yang lebih jelas dan menyeluruh berkenaan hadith di atas, anda boleh rujuk di buku kami, “Al-Kafi Syarah Hadis 40 karya Imam Nawawi.”
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا
Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ketakwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”
Wallahu a‘lam.