Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apabila seseorang membunuh orang lain, dan dia melakukannya bersama- sama dengan orang yang tidak tertakluk kepada hukum qisas, apakah hukuman yang dikenakan ke atasnya? Adakah dia dikenakan qisas atau tidak?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ ۗ وَمَن قُتِلَ مَظْلُومًا فَقَدْ جَعَلْنَا لِوَلِيِّهِ سُلْطَانًا فَلَا يُسْرِف فِّي الْقَتْلِ ۖ إِنَّهُ كَانَ مَنصُورًا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum syara‘).”

(Surah al-Isra’: 33)

Ayat ini menunjukkan haram untuk membunuh manusia tanpa sebab yang dibenarkan oleh syara‘. Imam Ibn Kathir menyebutkan di dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim (5/67), Allah SWT melarang dari membunuh tanpa kebenaran syara‘, sepertimana yang thabit dalam hadith ‘Abdullah bin Mas‘ud R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَحِلُّ دَمُ امْرِئٍ مُسْلِمٍ يَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلاَّ بِإِحْدَى ثَلاَثٍ الثَّيِّبُ الزَّانِ وَالنَّفْسُ بِالنَّفْسِ وَالتَّارِكُ لِدِينِهِ الْمُفَارِقُ لِلْجَمَاعَةِ

Maksudnya: “Tidak halal darah seorang Muslim yang bersaksi bahawa tidak ada tuhan yang berhak disembah selain Allah, dan bahawa aku adalah utusan Allah kecuali dengan salah satu dari tiga perkara; nyawa (dibalas) dengan nyawa, orang yang telah berkahwin yang berzina, dan orang yang melepaskan (meninggalkan) diri daripada agamanya serta meninggalkan Jemaah (kaum Muslimin).”

Riwayat al-Bukhari (6878) dan Muslim (1676)

Dan juga hadith ‘Abdullah bin ‘Amru R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَزَوَالُ الدُّنْيَا أَهْوَنُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ قَتْلِ رَجُلٍ مُسْلِمٍ

Maksudnya: “Kehancuran dunia itu lebih ringan di sisi Allah berbanding pembunuhan  seorang lelaki muslim.”

Riwayat al-Nasa’ie (3998) dan al-Tirmizi (1395)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan kes ini boleh diperhatikan dalam beberapa keadaan berikut:

1. Seseorang melakukan pembunuhan bersama-sama dengan pembunuh tanpa niat atau hampir sengaja. Dia tidak akan diqisas kerana kematian berlaku disebabkan dua tindakan, satu wajib dikenakan qisas dan satu lagi tidak, oleh itu faktor yang menggugurkan hukuman ini akan diutamakan. Walau bagaimanapun, dia tetap dikenakan membayar separuh diyat iaitu separuh diyat membunuh dengan niat.

2. Seseorang membunuh bersama-sama dengan bapa mangsa. Dalam kes ini, pembunuh ini akan dikenakan qisas sementara bapa mangsa dikenakan separuh diyat mughallazah. Ini kerana sebagai bapa, dia tidak boleh dikenakan qisas.

3. Seorang hamba bersama-sama dengan seorang yang merdeka membunuh seorang hamba lain. Hamba ini akan dikenakan qisas kerana sekiranya dia melakukannya secara bersendirian, dia akan dikenakan qisas. Sementara orang merdeka tadi pula tidak dikenakan qisas dan ini akan dibincangkan nanti.

4. Seorang kafir zimmi bersama-sama seorang muslim membunuh seorang kafir zimmi lain. Dalam kes ini, zimmi tadi akan dikenakan qisas kerana jika pembunuhan tersebut dilakukannya dengan bersendirian. Sementara pembunuh muslim tadi akan dikenakan membayar separuh diyat zimmi. Kadar diyat zimmi akan dibincangkan nanti.

5. Seseorang memotong tangan pesalah kerana melaksanakan hukuman qisas atau hudud lalu datang orang lain mencederakannya hingga menyebabkan kematiannya akibat kecederaan yang dilakukan oleh mereka berdua. Orang yang kedua tadi akan dikenakan qisas.

6. Seorang melakukan pembunuhan bersama-sama dengan kanak-kanak atau orang gila. Pembunuh ini akan dikenakan qisas. Sementara kanak-kanak atau orang gila tadi tidak dikenakan qisas. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 8/26)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply