Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh Dato kongsikan satu kupasan hadith berkenaan batasan yang ditetapkan Allah SWT?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan sabda nabi SAW:

إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى فَرَضَ فَرَائِضَ فَلَا تُضَيِّعُوهَا، وَحَدَّ حُدُودًا فَلَا تَعْتَدُوهَا، وَحَرَّمَ أَشْيَاءَ فَلَا تَنْتَهِكُوهَا، وَسَكَتَ عَنْ أَشْيَاءَ رَحْمَةً لَكُمْ غَيْرَ نِسْيَانٍ فَلَا تَبْحَثُوا عَنْهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan beberapa kewajiban, maka janganlah kamu mensia-siakannya dan Allah telah membataskan beberapa batasan, maka janganlah kamu melanggarnya. Dan Dia mengharamkan pula beberapa perkara, maka janganlah membuatnya, dan Dia berdiam atas beberapa perkara sebagai tanda rahmat-Nya ke atas kamu, bukan kerana terlupa, maka janganlah kamu mengungkitnya.”

Riwayat al-Daruqutni (42) dan dihasankan oleh al- Nawawi, al-Hakim (3/115) dan al-Baihaqi (10/12). Ibn Solah mengatakan hadis ini sahih.

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terdapat beberapa istifadah yang boleh kita ambil daripada hadith di atas, antaranya:

Pertama: Fardhu dibagi menjadi dua:

  • Fardu ‘ain, iaitu kewajiban yang dibebankan kepada setiap individu. Seperti solat wajib, zakat dan puasa.
  • Fardu kifayah, iaitu kewajiban yang apabila adalah salah satu atau sebahagian orang yang melakukannya, maka semua orang Islam terlepas dari dosa. Namun jika tidak ada orang yang melakukannya, maka semua orang Islam akan berdosa, seperti: Solat jenazah, menjawab salam, amar ma’ruf nahi munkar.

Kedua: Tidak melampaui batasan-batasan yang telah ditentukan Allah. Batasan-batasan tersebut adalah hukum-hukum dari perbuatan yang dilarang. Sebagai contoh: hukuman zina, hukuman mencuri, hukuman minum minuman keras.

Ketika Ibn Zaid berusaha meminta keringanan hukuman bagi wanita dari Bani Makhzumiyah yang dijatuhi hukuman potong tangan, Rasulullah SAW menjawab: “Apakah kamu meminta keringanan dalam hukuman yang telah ditentukan oleh Allah?”

Jadi ketentuan dan ketetapan hukuman-hukuman ini harus di laksanakan apa seadanya, tidak boleh ditambah atau dikurangi.

Ketiga: Berwaspada dengan perkara haram adalah cara menjauhi ketetapan yang telah diharamkan Allah.

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda:

لَيَأْتِيَنَّ عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ لَا يُبَالِي الْمَرْءُ بِمَا أَخَذَ الْمَالَ، أَمِنْ حَلَالٍ أَمْ مِنْ حَرَامٍ

Maksudnya: “Akan datang pada suatu masa manusia yang tidak mempedulikan daripada sumber mana dia mendapat sumber harta sama ada halal atau haram.”

Riwayat al-Bukhari (2083) dan al-Nasaie (4466)

Keempat: Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata: Dasar pertama yang ditetapkan oleh Islam ialah membawa asal sesuatu yang diciptakan oleh Allah SWT, biar apa jua barangan atau manfaat, asalnya ialah halal dan boleh dipakai. Tiada yang haram melainkan jika ada nas yang sahih dan jelas daripada syariat yang menetapkan pengharamannya. Jika tidak ada nas yang sahih, umpamanya ada sesetengah hadis yang dhaif, iaitu lemah ataupun tidak jelas dalam dalil tentang pengharamannya, maka tinggallah perkara itu seperti asalnya, iaitu mubah (mengharuskan).

Aplikasi Hadith dalam Kehidupan

Hadith ini menunjukkan kepada kita bahawa Allahlah yang mengfardukan sesuatu perintah di mana wajib bagi kita mentaati-Nya. Jangan sekali-kali cuba menceroboh apa yang Allah taklifkan kepada kita. Sifat taat dan patuh kepada segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya merupakan sifat mukmin yang sejati. Janganlah kita menyibukkan diri untuk mengkaji sesuatu yang Allah tidak nyatakan sebagai rahmat kerana akan menyukarkan kita sendiri. Cukuplah kita sebagai hamba-Nya yang sentiasa menyebut ‘kami dengar dan kami patuh’.

Sebahagian ulama pernah berkata: “Adalah Bani Israel bertanya dan memohon pasti dijawabnya dan diberi apa yang mereka minta, hingga hampir-hampir menjadi fitnah bagi mereka. Ini membawa kepada kebinasaan mereka.”

Dengan sebab itulah para sahabat memahami demikian itu dan berhenti daripada bertanya dan meminta kecuali perkara yang perlu semata-mata atau mesti. Daripada ini maka sebahagian ulama begitu tegas memberi pendapat bahawa tidak harus bertanya dalam perkara yang belum berlaku kepada para ulama sehingga berlaku. Ini semata-mata kerana mengikut cara salaf al-Soleh yang berpendapat: “Tinggalkan dahulu sehingga ia berlaku”.” Lihat Fath al-Bari oleh Ibn Hajar (3/398)

Hadith ini menekankan bahawa syariat Islam bersifat mudah dan tidak menyusahkan. la terhindar daripada sebarang perintah dan tegahan yang melemahkan manusia atau ketidakmampuan manusia untuk mentaatinya. Bahkan secara ringkasnya, setiap kewajipan perlu dilaksanakan dan setiap perkara yang haram perlu ditinggalkan.

Justeru, laksanakanlah segala yang wajib, jauhilah yang haram dan kurangkan pertanyaan yang tidak berfaedah.

Semoga Allah kurniakan kita akhlak yang mulia, ilmu yang mendekatkan kita kepada-Nya dan hati yang sentiasa tenang dengan ketaatan kepada-Nya.

Leave a Reply