Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh Dato jelaskan satu hadith berkenaan susuan? Terima Kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Daripada Aisyah R.Anha, daripada Nabi SAW bersabda:
الرَّضَاعَةُ تُحَرِّمُ مَا تُحَرِّمُ الْوِلَادَةُ
Maksudnya: “Susuan mengharamkan sebagaimana keharaman dalam peranakan.
Riwayat al-Bukhari (2646) (3105) (5099), Muslim (1444), Abu Daud (2055) dan al-Tirmizi (1147)
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terdapat beberapa istifadah yang boleh kita ambil daripada hadith di atas, antaranya:
Pertama:
Penyusuan dari segi bahasa bermaksud menghisap payudara ibu dan minum susunya. Sementara penyusuan dari segi istilah syara’ pula ialah susu perempuan yang mengalir masuk ke dalam perut bayi.
Kedua:
Dari segi syara’, hukum bagi seseorang perempuan menyusukan bayi yang bukan anaknya adalah harus dan telah dimaklumi sebelum kedatangan Islam lagi. Islam memperakui dan tidak mengharamkannya. Hal ini adalah kerana dalam sesetengah keadaan, penyusuan mempunyai kepentingan dan memenuhi keperluan tertentu. Contohnya, ibu kepada bayi tersebut meninggal dunia atau menghidap penyakit yang menghalang penyusuan. Dalam keadaan ini, perempuan yang lain perlu menyusukannya demi kelangsungan hidup anak tersebut. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
Al-Maraghi berkata: “Jika ada antara kamu yang menyusukan pihak lain, misalnya si suami kurang dalam memberikan upah atau si isteri berlebih-lebih dalam meminta tambahan yang tidak dapat ditunaikan, maka hendaklah si suami membawa penyusu yang lain, yang boleh melakukan penyusuan. Tetapi, apabila si suami tidak rela dengan upah yang diberikan kepada penyusu yang asing itu, maka si ibu lebih berhak menyusukan anaknya.”
Begitu juga firman Allah SWT:
وَإِنْ أَرَدتُّمْ أَن تَسْتَرْضِعُوا أَوْلَدَكُمْ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ
Maksudnya: Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu ke- pada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu.
(Surah al-Baqarah: 233)
Ketiga: Penyusuan Bayi Hak Ibu, Bukan Wajib
Penyusuan bayi sebagai hak kepada ibu bermaksud seseorang ibu boleh menentukan pilihannya sendiri sama ada ingin menyusukannya ataupun tidak. Jika dia memilih untuk menyusukannya, suami dan orang lain tidak berhak untuk menghalangnya. Sebaliknya, sekiranya dia tidak mahu menyusukannya, suami hendaklah mencari ibu susuan untuk menyusukan anak tersebut.
Sementara penyusuan bayi, wajib kepada ibu bermaksud seseorang ibu wajib menyusukan bayinya sama ada bersetuju ataupun tidak, selagi dia mampu untuk menyusukannya tanpa keuzuran syar’ie.
Fatwa dalam Mazhab al-Syafie menyatakan bahawa penyusuan merupakan hak ibu dan dia boleh menuntut hak menyusukan anaknya jika dia mahu. Ibu tidak wajib menyusukan anaknya melainkan jika tiada orang lain yang boleh menggantikannya. Pada ketika itu, ibu wajib menyusukan anaknya disebabkan oleh keadaan yang memaksa.
Aplikasi Hadith dalam Kehidupan
Semua perkara yang halal dalam kalangan keluarga kerana keturunan halal juga kepada keluarga kerana susuan. Dengan itu, seseorang lelaki adalah halal apabila:
- Melihat saudara perempuan susuannya, sebagaimana saudaranya sendiri.
- Tinggal bersendirian dengannya atau khalwat antara lelaki dan perempuan yang tidak mempunyai hubungan keturunan.
- Bermusafir dengannya melebihi tiga hari.
Meskipun begitu, hukum ini tidaklah bermakna seseorang lelaki harus melihat saudara perempuan susuannya dengan berahi. Begitu juga sebaliknya kepada perempuan.
Hal ini kerana pandangan dengan berahi adalah haram walaupun ahli keluarga sendiri. Oleh itu, ulama fiqh kebelakangan ini menyatakan bahawa seorang perempuan makruh menyusukan kanak-kanak yang bukan anaknya sendiri tanpa sebarang keperluan yang mendesak. Begitu juga, makruh bagi seorang lelaki dan perempuan susuan bergaul bebas sesama mereka. Keadaan ini adalah kerana ia berkemungkinan boleh mendorong seseorang kepada pelbagai keburukan dan perkara haram akibat lemah pegangan agama dan tidak wujud rasa kasih sayang secara semula jadi dalam kalangan keluarga susuan tersebut.
Kami juga cadangkan kepada pihak berwajib supaya melaksanakan pendaftaran kad radhaah’ (kad pengenalan susuan) untuk mengenal pasti dengan mudah hubungan susuan.
Info Lanjut: Bagi kefahaman yang lebih jelas dan menyeluruh berkenaan hadith di atas, anda boleh rujuk di buku kami, “Al-Kafi Syarah Hadis 40 karya Imam Nawawi.”