Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah yang dimaksudkan dengan hiburan (al-Lahwu)? Mohon pencerahan Dato.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Definisi Hiburan
Al-Lahwu (hiburan) ialah semua perkara yang melekakan manusia daripada pelbagai gangguan, pemikiran dan masalah yang mengganggu tidurnya. Ia juga tidak mempunyai hakikat yang sabit seperti bermain, berjenaka, bersembang malam, menyanyi dan sebagainya.
Jenis-jenis Hiburan
Ada di antara hiburan yang tidak mendatangkan sebarang kebaikan dan keburukan. Ia sekadar melupakan manusia seketika daripada memikirkan perkara yang serius atau isu-isu besar. Terdapat juga hiburan yang memberikan kesan yang buruk kepada manusia seperti menyemai sifat suka membuang masa dan mengabaikan tanggungjawab hidup. Ada juga hiburan yang memberikan kesan yang baik seperti menyemai sifat suka melakukan kerja-kerja kebajikan dan melatih manusia berhadapan dengan kesukaran.
Berdasarkan kepada kenyataan di atas, hiburan boleh dikategorikan kepada tiga jenis:
Hukum Setiap Jenis Hiburan Tersebut
Jenis Pertama: Hiburan yang tidak memberikan sebarang kesan, sama ada kesan baik mahupun buruk kepada manusia. Hukumnya adalah makruh. Contohnya, berada dalam majlis yang penuh dengan gurauan dan jenaka yang tidak berfaedah. Perbuatan ini dianggap membuang masa tanpa memberikan sebarang faedah.
Jenis Kedua: Hiburan yang membawa keburukan kepada individu dan masyarakat. Hukumnya adalah haram dan tidak boleh diamalkan. Contohnya sama seperti hiburan yang pertama tadi, tetapi pelakunya keterlaluan berhibur hingga mengabaikan tanggungjawabnya, seperti mengabaikan sembahyang, bekerja mencari rezeki, atau menanam nilai yang tidak baik seperti berbohong dan mengabaikan aspek akhlak dalam pergaulan dengan orang lain.
Demikian juga dengan majlis nyanyian yang disertakan dengan dendangan alat muzik yang diharamkan atau disertai oleh perempuan dan pelayan.
Jenis Ketiga: Hiburan yang membawa kebaikan kepada individu dan masyarakat. Hiburan jenis ini adalah dibenarkan. Malah amalan ini mungkin digalakkan bergantung kepada sejauh mana faedah yang diperolehi.
Contohnya hiburan yang telah disebutkan sebelum ini seperti perlumbaan, pertandingan memanah dan permainan yang berfaedah untuk peperangan dan selainnya, iaitu apa sahaja hiburan yang boleh diterima oleh rasional manusia.
Akhir kalam, semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”