Soalan:

Assalamualaikum Dato’. Bagaimanakah cara niat solat bagi seseorang yang terkena penyakit was-was sehingga mengangkat takbir berulang kali?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Definisi Niat

Niat menurut bahasa adalah mengarah diri kepada sesuatu perbuatan. (Lihat al-Mu‘jam al-Wasit, hlm. 1021). Manakala menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, niat ialah maksud atau tujuan sesuatu perbuatan. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat, hlm.  1080).

Dari segi istilah pula, terdapat beberapa definisi yang diberikan. Antaranya ialah:

  • Al-Nawawi menyebutkan bahawa niat ialah keazaman (tekad) di dalam hati atas setiap perkara yang fardhu dan selain daripadanya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/310).
  • Ibn ‘Abidin pula menyebutkan bahawa niat ialah tujuan melakukan ketaatan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan amal perbuatan. (Lihat Rad al-Mukhtar, 1/105).

Niat merupakan syarat sahnya suatu amalan ibadah. Hal ini berdasarkan hadith, sabda Nabi SAW:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ

Maksudnya: “Sesungguhnya amalan itu adalah dengan niat.”

Riwayat al-Bukhari (1) dan Muslim (1907)

Untuk menjadikan solat sah, seseorang hendaklah menyertakan niat di dalam hati ketika bertakbiratul Ihram dan sedar akan tujuannya untuk bersolat semasa melafazkan takbir tersebut serta mengingati jenis solat dan fardhunya. Sementara niat untuk bersolat pula tidak disyaratkan melafazkannya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/129)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan niat ialah lintasan dalam hati ketika adanya tekad dan keazaman untuk melakukan sesuatu perkara, dan tempatnya di dalam hati.  Justeru, kami sarankan bagi mereka yang mengalami masalah was-was untuk mengucapkan lafaz niat sebelum mengangkat takbir. Ia dipanggil sebagai talaffuz (melafazkan niat) dan ia dihukumkan sebagai sunat di sisi jumhur fuqaha. Sedangkan niat yang dimaksudkan ialah lintasan dalam hati ketika adanya tekad dan keazaman untuk melakukan sesuatu perkara, dan tempatnya di dalam hati. Justeru, perbuatan melafazkan niat sebelum bertakbir, lalu mengangkat takbir untuk mendirikan solat, menjadi bukti yang kuat menunjukkan bahawa dia ingin mendirikan solat, dan perbuatannya itu sudah dikira sebagai niat. Begitu juga solat yang dilakukannya adalah sah.

Semoga Allah membantu anda dalam lebih memahami syariat Allah SWT dan moga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

  رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

(Surah Ibrahim: 40)

Wallahua`lam.

Leave a Reply