Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, kisah Abu Mahjan al-Thaqafi dalam peperangan al-Qadisiyyah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Seorang panglima yang gagah bernama Abu Mahjan al-Thaqafi telah ditangkap kerana meminum arak, lalu mahkamah tentera menjatuhkan hukuman dengan menyebatnya dan menahannya di markas besar.
Pertempuran pada hari kedua berlaku sehingga malam hari, apabila musuh tidak dapat ditentukan kerana keadaannya yang gelap. Abu Mahjan merayu supaya beliau dibebaskan bagi menyertai peperangan dengan penuh rasa berdosa dan sedia bertaubat.
Tiada sesiapa yang berani membebaskannya, sehingga beliau mengadu kepada Salma binti Khasfah, isteri Sa’ad bin Abi Waqqas RA dengan jaminan janji ditahan semula selepas Akhirnya, peperangan. Salma membebaskannya dan meminjamkan kepadanya kuda Sa’ad bin Abi Waqqas RA.
Sa’ad RA melihat dari pentas pemerintah, ada seorang yang gagah berani menunggang kudanya. Rupanya seperti Abu Mahjan yang ditahan, namun beliau tidak peduli siapa orangnya pada masa itu. Setelah selesai peperangan, Abu Mahjan kembali semula ke tempat tahanannya, sehingga Salma memberitahu suaminya apa yang dilakukan olehnya kepada Abu Mahjan. Akhirnya, beliau dibebaskan setelah bertaubat.
Benarlah firman Allah SWT:
مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا
Maksudnya: “Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.”
Surah al-Ahzab (23)
Imam al-Tabari berkata: Maksud ayat ini adalah, di antara orang-orang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, terdapat orang-orang yang menepati janjinya kepada Allah, iaitu sabar terhadap pelbagai kesusahan dan mudharat. Antara mereka ada yang menyelesaikan pekerjaan yang dijanjikannya kepada Allah dan diwajibkannya kepada dirinya sendiri bagi Allah, sehingga sebahagian dari mereka mati syahid dalam Perang Badar, sebahagian mati syahid dalam perang Uhud, dan sebahagian lagi mati syahid di tempat lain. Tetapi, di antara mereka ada yang menanti qadha dan penyelesaian dari Allah sebagaimana di antara mereka ada yang ditetapkan memenuhi janji kepada Allah, serta memperoleh pertolongan dari Allah dan kemenangan atas musuhnya. (Lihat Jami’ al-Bayan, 21/50)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَنْجِ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya: “Ya Allah selamatkanlah orang-orang yang lemah dari kalangan orang-orang yang beriman.”
Riwayat al-Bukhari (6393)
اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ
Maksudnya: “Ya Allah yang menurunkan Kitab, yang menjalankan awan, yang menghancurkan pasukan musuh, kalahkan mereka dan bantulah kami menewaskan mereka.”
Riwayat al-Bukhari (2965)