Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana untuk saya mahu mengamalkan hadith tentang tinggalkan keraguan? Mohon pencerahan Dato. Terima Kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami mulakan dengan sabda nabi SAW:
دَعْ مَا يَرِيْبُكَ، إِلَى مَا لَا يَرِيْبُكَ
Maksudnya: “Tinggallah apa yang menjadi keraguan padamu kepada yang tidak meragukan.”
Riwayat al-Tirmizi dalam Sunan (4/668) no. (2520) Kitab Sifat Kiamat, al-Nasaie dalam Sunan (4/732) no. (5727) Kitab al-Asyrabah.
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terdapat beberapa istifadah yang boleh kita ambil daripada hadith di atas, antaranya:
Pertama: Firman Allah SWT:
الْحَقُّ مِن رَّبِّكَ ۖ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ الْمُمْتَرِينَ
Kebenaran (yang datangnya kepadamu dan disembunyikan oleh kaum Yahudi dan Nasrani) itu (wahai Muhammad), adalah datangnya dari Tuhanmu; oleh itu jangan sekali-kali engkau termasuk dalam golongan orang-orang yang ragu-ragu.
(Surah al-Baqarah: 147)
Al-Syaukani berkata: “Ayat ini ditujukan kepada Nabi SAW namun sebagai umatnya kita juga diperintahkan untuk tidak menjadi orang yang ragu-ragu kerana keraguan seringkali membuat jiwa kita mengalami tekanan dan was-was. Maka selayaknya kita mengambil yang yakin dan membuang yang meragukan. Sekali lagi tinggalkan semua yang meragukan baik yang berkenaan dengan perkara dunia mahupun akhirat dan beralihlah pada sesuatu yang menyakinkan dan tidak meragukan.” (Lihat Fath al-Qadir, 1/179)
Kedua: Ibn Daqiq al-‘Id berkata: “Maksud yang meragukan kamu ialah tinggalkanlah sesuatu yang menjadikan kamu ragu-ragu dan gantikanlah kepada perkara yang tidak meragukan. Ini kembali kepada makna hadis yang keenam, iaitu ‘halal itu nyata dan haram itu nyata.” (Lihat Syarh al Arbain Hadisan al-Nawawiyah, hlm. 69)
Ketiga: Islam mengajak manusia supaya membina sesuatu perkara termasuk akidah dan amalan atas keyakinan tanpa syak dan ragu-ragu. Hal ini menjadikan ulama meletakkan dalam qawaid fiqhiyah-nya asas pembinaan hukum dengan yakin bukannya syak waham dan ragu-ragu.
Ibn Rajab al-Hanbali berkata: “Makna hadis ini merujuk kepada berhenti ketika terdapatnya syubhah dan memeliharanya. Ini kerana halal semata-mata tidak terhasil bagi orang yang beriman yang pada hatinya terdapat rasa keraguan.” (Lihat Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 1/280)
Keempat: Meninggalkan keraguan menjadikan seseorang itu begitu utuh dan kuat keyakinannya. Justeru, seseorang itu akan boleh menapak ke hadapan untuk mencapai kejayaan yang gemilang dalam hidup mereka. Inilah natijah daripada meninggalkan keraguan.
Aplikasi Hadith dalam Kehidupan
Dalam hadith ini, terdapat isyarat yang menuntut agar berkata yang benar dan muktamad ketika manusia berhajat kepada jawapan terhadap sebarang persoalan dan fatwa di dalam sesuatu masalah. Tanda benarnya sesuatu itu ialah hati akan merasa tenang, manakala tanda dustanya sesuatu itu pula ialah apabila timbulnya perasaan syak dan tidak tenang di dalam hati.
Dalam melayari kehidupan ini, sikap mengambil perkara yang yakin serta meninggalkan yang syak dan ragu ragu adalah penyelesaian kepada kemelut kehidupan. Jauhilah daripada sifat was-was, ragu-ragu dan syak. Ini kerana memberi natijah yang negatif dalam hidup kita.
Dalam melawan perasaan was-was ini, kita perlu mengambil sikap tidak peduli iaitu dengan membiarkan perasaan was-was tersebut. Hal ini sepertimana yang ditanyakan kepada al-Imam Ibn Hajar al- Haitami mengenai ubat bagi penyakit was-was. Maka jawab beliau Rahimahullah: “Baginya (penyakit was-was itu) ubat yang sangat bemanfaat iaitu bersikap tidak peduli secara keseluruhannya (dalam perkara yang di was-waskan itu). Meskipun di dalam dirinya terdapat perasaan was-was, selagi mana dia tidak melihat, mengambil peduli perkara was-was tersebut maka ianya tidak akan tetap bahkan akan hilang selepas beberapa ketika. Ini sepertimana yang telah dilalui oleh mereka yang telah diberi petunjuk untuk terlepas dari penyakit was- was ini. Adapun mereka yang mendengar (mengambil peduli was- was tersebut) dan mengikutinya, was-was tersebut tidak akan hilang bahkan bertambah sehingga menjadikannya gila dan boleh jadi lebih buruk dari itu sepertimana yang kita saksikan pada kebanyakan mereka yang ditimpa penyakit was-was yang mendengar dari bisikan syaitan.” (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1/149)
Orang yang beriman tidak akan tenteram jiwanya melainkan pada perkara yang pasti halal. Adapun ahli maksiat, mereka tidak mengambil berat tentang perkara haram. Apatah lagi perkara syubhah.
Hadith ini juga menunjukkan kepada kita supaya membina hukum serta urusan kehidupan kita di atas keyakinan. Hadis ini juga menunjukkan betapa Rasulullah SAW dikurniakan Jawami’ al-Kalim dalam menjelaskan erti sebuah kehidupan yang bahagia.
Bagi kefahaman yang lebih jelas dan menyeluruh berkenaan hadith di atas, anda boleh rujuk di buku kami, “Al-Kafi Syarah Hadis 40 karya Imam Nawawi.”
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahu a‘lam