Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh nyatakan kepada kami, beberapa iktibar yang mungkin kita dapat mengutip dari peperangan al-Qadisiyyah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Sudah tentu terlalu banyak yang dapat diambil dalam peperangan yang bersejarah ini sehingga membuka peluang untuk menghancurkan empayar Parsi. Antaranya ialah:
- Islam adalah agama rahmat. Jalan peperangan merupakan jalan yang terakhir selepas seruan dakwah dan tawaran bayaran jizyah ditolak oleh sesuatu kaum. Prinsip ini dapat dilihat apabila Sa’ad RA telah menghantar beberapa orang wakil untuk menyatakan dan memberikan pilihan yang Islam tawarkan. Selepas tawaran ditolak dan jalan pendamaian menemui jalan buntu, barulah jalan peperangan dipilih untuk menegakkan agama Allah.
- Kewajipan menyampaikan dakwah, menyeru kepada kebaikan dan melarang kemungkaran. Walaupun sudah berada di ambang peperangan, kewajipan menyampaikan dakwah, menyeru kepada kebaikan dan melarang kemungkaran tetap diteruskan melalui utusan-utusan yang telah dihantar oleh panglima perang tentera Islam, Sa’ad bin Abi Waqqas RA. Utusan-utusan yang telah dihantar tersebut dengan berani dan tanpa rasa gentar telah menyatakan kebenaran walaupun berada di kubu musuh dan di hadapan panglima perang mereka.
- Keangkuhan membawa kepada kehancuran. Orang-orang Parsi dengan angkuhnya menolak tawaran yang ditawarkan kepada mereka, bahkan mereka menghina utusan-utusan yang telah dihantar kepada mereka. Akibatnya, mereka telah ditewaskan dalam peperangan ini dengan kekalahan yang sangat teruk.
- Tidak lari daripada tanggungjawab walaupun diuji. Kita boleh mengambil semangat dan tauladan yang telah ditunjukkan oleh Sa’ad bin Abi Waqqas RA yang terus memimpin tentera Islam dan tidak lari daripada tanggungjawab yang telah diamanahkan ke atasnya oleh Khalifah Umar al-Khattab RA mengikut kemampuannya ketika itu walaupun ketika itu sedang jatuh sakit.
- Bantuan daripada Allah kepada mereka yang benar-benar berjuang. Pada hari ke empat peperangan al-Qadisiyyah, bantuan Allah yang berupa angin ribut telah menjadi sebab kepada kemenangan umat Islam. Ini adalah bantuan daripada Allah kepada tentera-tentera Islam yang tidak berputus asa dan ikhlas untuk berjuang walaupun menghadapi kesukaran menewaskan tentera Parsi yang dilengkapi dengan tentera bergajah.
- Semangat Khalifah atau pemimpin negara Islam untuk menyebarluaskan agamanya menjadi bukti yang nyata sikap para sahabat yang memimpin ummah bermula daripada Abu Bakar hinggalah kepada Umar ibn al-Khattab. Peri pentingnya pesanan Abu Bakar kepada Umar agar mengambil tindakan yang drastik bagi membantu tentera Islam yang dipimpin oleh al-Muthanna ketika menghadapi tentera Parsi.
- Kebijaksanaan tentera Islam dengan taktik yang luar biasa sehingga mencengangkan musuh dan dapat mengalahkan musuh walaupun ramai. Bagaimana kehebatan al-Qa’qa’, Tulaihah, Ma’dikarib, Abu Ubaid dan amat ramai tentera Islam yang berkualiti. Justeru, firman Allah SWT layak dimilikinya.
كَم مِّن فِئَةٍ قَلِيلَةٍ غَلَبَتْ فِئَةً كَثِيرَةً بِإِذْنِ اللَّهِ
Maksudnya: “Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah.”
(Surah al-Baqarah: 249)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ
Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”