Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah Dato terangkan hikmah adanya dosa yang disebutkan dalam kitab al-Ihkam Syarh al-Hikam?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Ibnu Ajibah Rahimahullah berkata: “Sifat takut dan sifat berharap itu terdapat pada ahli zuhud, apabila lahir ketaatan tidak bertambah harapan mereka. Sebaliknya, apabila mereka jatuh tersungkur tergelincir dalam maksiat, sifat takut akan luntur dan kurang beristiqamah, sebagaimana pengarang mengisyaratkan dalam hikmah ini.”
إِذَا وَقَعَ مِنْكَ ذَنْبٌ، فَلَا يَكُنْ سَبَبًا لِيَأْسِكَ مِنْ حُصُولِ الْإِسْتِقَامَةِ مَعَ رَبِّكَ. فَقَدْ يَكُونُ ذَلِكَ آخِرَ ذَنْبٍ قُدِّرَ عَلَيْكَ
Maksudnya: “Apabila kamu telah tergelincir dalam dosa, maka janganlah dosa itu menjadi sebab kamu berputus asa daripada terhasilnya istiqamah kepada Tuhanmu (selepas dosa itu). Boleh jadi, ia dosa terakhirnya yang telah ditakdirkan ke atasmu.”
Mafhum Hikmah
- Sifat berputus asa disebabkan berlakunya kemaksiatan boleh menghalang seseorang mencapai istiqamah, sebaliknya hendaklah mengatasinya dengan berazam agar dosa yang dilakukan adalah dosa yang terakhir.
- Imam Abu Hamid al-Ghazali Rahimahullah berkata:
كَمَا اتَّخَذْتَ الذَّنْبَ وَالعَوْدَ إِلَيْهِ حِرْفَةً, فَاتَّخِذِ التَّوْبَةَ وَالعَوْدَةَ إِلَيْهَا حِرْفَةً. فَمَا أَصَرَّ مَنِ اسْتَغْفِرَ, وَلَوْ عَادَ إِلَى الذَّنْبِ فِي اليَوْمِ سَبْعِينَ مَرَّةً
Maksudnya: “Sebagaimana kamu tergelincir dalam dosa (kemudian menyesal bertaubat) dan mengulanginya kembali, maka hendaklah kamu senantiasa melazimi untuk bertaubat. Hal ini kerana, sesiapa yang memohon keampunan daripada Allah SWT, tidak termasuk sebagai yang berdegil atau berterusan melakukan maksiat sekalipun tergelincir sebanyak 70 kali dalam sehari.”
- Daripada Sayidina Ali bin Abi Taib RA, sabda Rasulullah SAW:
خِيَارُكُمْ كُلُّ مُفَتَّنٍ تَوَّابٍ
Maksudnya: “Sebaik-baik dikalangan kamu ialah mereka yang banyak diuji, kemudian melaziminya dengan banyak bertaubat.”
Hadith ini diriwayatkan oleh al-Baihaqi di dalam Syuab al-Iman dengan sanad yang dhaif
Firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ
Maksudnya: “Sesungguh-Nya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.”
(Surah al-Baqarah: 222)
Semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا
Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ketakwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”
Wallahu a’lam