Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah beza antara rukun haji dan rukun umrah? Mohon penjelasan Dato.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”

 (Surah Ali ‘Imran: 97)

Imam al-Qurtubi menjelaskan: “Orang yang mampu dari segi harta maka wajib baginya haji berdasarkan hadith al-Khaithamah. Adapun kemampuan bagi dirinya bermaksud mempunyai kekuatan yang mana tidak menyebabkannya berada dalam kesusahan ketika di dalam perjalanan. Maka sesiapa yang memiliki bekalan dan kekuatan maka wajib baginya kefardhuan Haji. Adapun bagi yang tidak memiliki kedua-duanya, maka tidak wajib Haji baginya.” (Lihat al-Jami’ Li al-Ahkam al-Quran, 4/95)

Kesimpulan

Berbalik kepada soalan yang diajukan, perlu difahami bahawa rukun haji itu ada lima, iaitu:

  • Ihram beserta niat.
  • Wuquf di Arafah.
  • Tawaf di Baitullah.
  • Saie antara Safa dan Marwah.
  • Mencukur rambut.

Manakala, rukun umrah pula ada empat:

  • Ihram beserta niat.
  • Tawaf di Baitullah
  • Saie
  • Mencukur rambut, atau memendekkannya menurut satu daripada dua pendapat. (Lihat Matan Abi Syuja’, hlm. 20)

Justeru, dapat kita fahami bahawa perbezaan rukun haji dan umrah itu hanyalah pada wuquf di Arafah sahaja.

Kami akhiri dengan doa kepada Allah, moga-moga Allah kurniakan kebaikan kepada kita semua dan dapat dikurniakan dengan haji dan umrah yang mabrur.

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Leave a Reply