Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa maksud Aqit seperti disebut dalam hadith berkenaan zakat fitrah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A, katanya:

كُنَّا نُخْرِجُ زَكَاةَ الفِطْرِ صَاعًا مِنْ طَعَامٍ، أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ، أَوْ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ، أَوْ صَاعًا مِنْ أَقِطٍ، أَوْ صَاعًا مِنْ زَبِيبٍ

Maksudnya: “Kami mengeluarkan zakat fitrah berupa segantang makanan atau segantang barli atau segantang kurma atau segantang Aqit (iaitu sejenis makanan yang diperbuat daripada susu padat bentuknya) atau segantang kismis.”

Riwayat al-Bukhari (1506), Muslim (985), Abu Dawud (1616) dan al-Tirmizi (673)

Al-Mubarakfuri menyebut: Perkataan ‘أَقِطٍ’ bermaksud laban yang telah dikeringkan dan boleh dimasak dengannya. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 3/279)

Al-‘Aini menyebut: Imam al-Nawawi berkata: Mereka khilaf tentang maksud Aqit. Ada pendapat menyebut: Tidak memadainya kerana tidak wajib membayar zakat padanya satu persepuluh. Imam al-Mawardi berpendapat: Khilaf padanya pada sebahagian ahli badiah (kampung). Adapun mereka yang tinggal di bandar, maka tidak memadai dengan satu pandangan atau satu pendapat.

Kata Syeikhuna Zainuddin Rahimahullah: Telah khilaf pada ucapan Imam al-Syafi’i tentang Aqit. Kata Syeikh Taqiy al-Din dalam Syarah al-’Umdah: Telah sahih hadith dengannya dan dia menolak pendapat al-Syafi’i. Kata al-Nawawi dalam Syarh Muslim: Memadai Aqit mengikut mazhab dan di sisi kami, harus mengeluarkan zakat fitrah dengan Aqit. Dalam al-Tuhfah, Aqit diiktibar dengan nilai. Imam Malik berpendapat harus sedekah zakat fitrah pada sembilan perkara, iaitu:  “Gandum, Barli, Sult (sejenis gandum), Jagung, Bijirin, Beras, Anggur yang dikeringkan, Tamar dan Aqit (makanan yang diperbuat daripada susu, padat bentuknya).” Manakala Ibn Habib menambah ‘alas (sejenis gandum), maka jadilah semuanya sepuluh. (Lihat ‘Umdah al-Qari, 9/115)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply