Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah Dato syarah satu hikmah berkenaan memohon pertolongan hanya kepada Allah SWT dari kitab al-Ihkam Syarh al-Hikam?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Ibn ‘Ajibah berkata: “Jika kamu tahu kemuliaan, kemurahan, kesempurnaan dan ihsan-Nya, janganlah kamu meminta kepada yang lain sedangkan Dialah (Allah) yang mengurniakannya kepadamu.” Sepertimana kata pengarang:

لَا تَرْفَعَنَّ إِلَى غَيْرِهِ حَاجَةً هُوَ مُورِدُهَا عَلَيْكَ فَكَيْفَ يَرْفَعُ غَيْرَهُ مَا كَانَ هُوَ لَهُ وَاضِعًا؟ مَنْ لَا يَسْتَطِيعُ أَنْ يَرْفَعَ حَاجَةً عَنْ نَفْسِهِ فَكَيْفَ يَسْتَطِيعُ أَنْ يَكُونَ لَهَا عَنْ غَيْرِهِ رَافِعًا؟

Maksudnya: “Jangan mengadu atau meminta sesuatu hajat kepada yang lain selain Allah sebab Dia sendiri yang memberi atau menurunkan hajat itu kepadamu. Maka bagaimanakah sesuatu yang lain selain Allah akan dapat menyingkirkan bencana yang Dia sendiri menimpakan orang yang tidak mampu mengangkat hajat daripada dirinya sendiri, maka bagaimanakah akan dapat menyingkirkan bencana yang lainnya?”

Mafhum Hikmah

Mintalah sesuatu kepada Allah SWT kerana yang lain semuanya bersifat lemah. Hajatnya sendiri tidak mampu diperoleh apatah pula hajat yang lain, sedangkan Yang Maha Sempurna adalah Allah yang mampu memberi segala hajat manusia. Inilah yang logik pada akal apatah lagi pada akal syarak.

Iktibar Hikmah

  • Syeikh Zarruq berkata: “Allah SWT yang mengurniakan keperluanmu untuk mendapatkan kekayaan dan kekuasaan, sedangkan yang lain semuanya lemah. Justeru kalaulah begitu sifat-Nya maka memohon hajat kepada yang lemah lagi fakir adalah tidak sah atau tidak mungkin.”
  • Syeikh Abu Abdillah al-Qurasyi berkata:

اسْتِغَاثَةُ الْمَخْلُوقِ بِالْمَخْلُوقِ كَاسْتِغَاثَةِ الْمَسْجُونِ بِالْمَسْجُونِ

Maksudnya: Makhluk meminta pertolongan kepada makhluk sama seperti orang yang di dalam penjara meminta pertolongan kepada orang yang di dalam penjara juga. (Lihat Ghayah al-Amani, 2/291)

  • Syeikh Abu al-Hasan al-Syazili berkata:

يَئِسْتُ مِنْ نَفْعِ نَفْسِي لِنَفْسِي فَكَيْفَ لَا أَيْأَسُ مِنْ نَفْعِ غَيْرِي لَهَا وَرَجَوْتُ اللهَ لِغَيْرِي فَكَيْفَ لَا أَرْجُوهُ لِنَفْسِي

Maksudnya: Aku putus asa daripada manfaat diriku bagi diriku maka bagaimana aku tidak putus asa daripada manfaat selainku bagi diriku. Dan kamu mengharap Allah selainku maka bagaimana aku tidak mengharapkannya bagi diriku.  (Lihat al-Futuhat al-Rahmaniyyah, hlm. 141)

  • Syeikh Abu al-Hasan al-Syazili ditanya tentang ilmu al-kimiya’ (الكيمياء), beliau berkata:

اقْطَعْ طَمَعَكَ مِنَ اللهِ أَنْ يُعْطِيكَ غَيْرَ مَا قَسَمَ لَكَ وَمِنَ الخَلْقِ أَنْ يَنْفَعُوكَ أَوْ يَضُرُّوكَ

Maksudnya: Putuskan tamak kamu daripada Allah, maka Dia akan memberi kamu apa yang Dia tidak janji bagi kamu dan daripada makhluk sama ada mereka memberi manfaat atau mudharat kepada kamu.  (Lihat ‘Iddah al-Murid al-Sadiq, hlm. 110)

Akhir kalam, Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply