Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah Dato syarah satu hikmah berkenaan perbezaan hati yang zuhud dengan hati yang tamak dari kitab al-Ihkam Syarh al-Hikam?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Syeikh Zarruq berkata: “Antara alamat atau tanda yang baik itu berasa kaya dengan Allah SWT dan thiqah. Tandanya ialah zuhud pada dunia.”

مَا قَلَّ عَمَلٌ بَرَزَ مِنْ قَلْبٍ زَاهِدٍ، وَلَا كَثُرَ عَمَلٌ بَرَزَ مِنْ قَلْبٍ رَاغِبٍ

Maksudnya: Tidak dianggap kecil atau sedikit amal perbuatan yang dilakukan dengan ikhlas, dan tidak dianggap banyak amal yang dilakukan oleh seseorang yang tidak ikhlas, dan selalu dipengaruhi oleh dorongan hawa nafsu.

Mafhum Hikmah

Amal yang sedikit yang dilakukan oleh orang yang zuhud sebenarnya tidak sedikit kerana mutu dan nilai ibadatnya cukup tinggi, sebaliknya amalan daripada orang yang tidak zuhud sekalipun banyak sebenarnya sedikit kerana tiada nilai.

Iktibar Hikmah

  • Ibn Mas’ud R.A berkata:

رَكْعَتَانِ مِنْ عَالِمٍ زَاهِدٍ خَيْرٌ وَأَحَبُّ إِلَى اللهِ تَعَالَى مِنْ عِبَادَةِ الْمُتَعَبِّدِيْنَ الرَّاغِبِيْنَ أَبَدًا سَرْمَدًا

Maksudnya: Sembahyang dua rakaat oleh orang alim yang zuhud lebih baik dan lebih Allah sukai daripada orang yang melakukan ibadah yang sentiasa berkehendakkan dunia. (Lihat Qut al-Qulub, 1/440 dan Iqaz al-Himam, 1/59; Ithaf al-Sadah al-Muttaqin, 9/334)

  • Syeikh Abu al-Hasan berkata:

رَأَيْتُ الصِّدِّيقَ فِي الْمَنَامِ فَقَالَ : أَتَدْرِي مَا عَلَامَةُ خُرُوجِ الدُّنْيَا مِنَ القَلْبِ؟ قُلْتُ: لَا. قَالَ: بَذْلُهَا عِنْدَ الوُجُودِ وَوُجُودُ الرَّاحَةِ مِنْهَا عِنْدَ الفَقْدِ

Maksudnya: Aku melihat Sayyidina Abu Bakar al-Siddiq dalam mimpi. Dia berkata: “Adakah kamu tahu tanda keluarnya dunia daripada hati? Aku berkata: Tidak. “Dia menjawab; “Menghabiskannya ketika ada, dan berasa lega daripadanya ketika tiada”.  (Lihat al-Tanwir, hlm. 44)

  • Sayyidina Ali bin Abu Talib R.A berkata:

كُوْنُوْا لِقَبُولِ العَمَلِ أَشَدُّ اهْتِمَامًا مِنْكُمْ بِالعَمَلِ ، فَإِنَّهُ لَايَقِلُّ عَمَلٌ مَعَ التَّقْوَى وَكَيْفَ يَقِلُّ عَمَلَ يُتَقَبَّلُ

Maksudnya: Kamu jadikanlah penerimaan amal lebih diambil berat daripada beramal, sesungguhnya tidak sedikit amal berserta takwa yang diterima, dan betapa sedikitnya amal yang diterima. (Lihat Qut al-Qulub, hlm. 333; Hilyah al-Auliya’, 10/388).

Akhir kalam, Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللهم اجْعَلِ الدُنْيَا فِى اَيْدِيْنَا وَلَا تَجْعَلْهَا فِى قُلُوْبِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, jadikanlah dunia pada tangan-tangan kami (milik kami) tetapi jangan jadikan dunia pada hati-hati kami yang membawa kepada cinta dunia.”

Wallahu a’lam.

Leave a Reply