Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh Dato kongsikan doa agar saya dapat membina keluarga bahagia?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menjawab persoalan di atas, kami kemukakan beberapa doa yang boleh untuk saudara amalkan. Antaranya:

Pertama: Menyerah Kepada-Nya

رَبِّ إِنِّي لِمَا أَنزَلْتَ إِلَيَّ مِنْ خَيْرٍ فَقِيرٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan.”

(Surah al-Qasas: 24)

Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili berkata: Nabi Musa AS memberi minum kepada kambing milik dua orang perempuan tersebut daripada telaga yang ditutupi batu besar, yang tidak mampu diangkat kecuali oleh sepuluh orang lelaki. Sepertimana riwayat Ibn Abi Syaibah daripada Umar bin al-Khattab, kemudian Nabi Musa mengembalikan batu besar itu ke atas telaga, lalu beranjak pergi ke naungan pohon untuk beristirahat. Kemudian Baginda bermunajat kepada Tuhannya: “Sungguh, aku memerlukan makanan sedikit atau banyak untuk menghilangkan rasa laparku.” Al-Quran menjadikan perkataan فتير sebagai muta’addi dengan huruf lam kerana ia mengandungi makna meminta dan mengharap. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 10/358)

Sayyid Qutb berkata: Dari celah-celah ayat ini, kita dapat mendengar bisikan hati Musa AS yang ingin berlindung di bawah naungan Allah yang aman tenteram, kuat dan teguh, serta teduh dan nyaman. Kita mendengar suara munajat yang dekat, suara bisikan yang menarik, suara permohonan yang halus dan perhubungan yang amat mendalam. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 5/419)

Menariknya, selepas daripada doa tersebut, akhirnya Baginda dikurniakan makan minum dan isteri. Justeru, amat wajar bagi sesiapa yang inginkan isteri serta dimurahkan rezeki untuk membaca doa ini dengan penuh tawajjuh dan ikhlas kepada Allah.

Kedua: Doa Untuk Pengantin

بَارَكَ اللَّهُ لَكَ، وَبَارَكَ عَلَيْكَ، وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِي خَيْرٍ

Maksudnya: “Semoga Allah memberkatimu ketika bahagia dan ketika susah, serta menghimpunkan kamu berdua dalam kebaikan.” “

Riwayat Abu Daud (2130), al-Tirmizi (1091). Ahmad (8957), al-Nasa’i dalam al-Sunan al- Kubra (10089), al-Baihaqi dalam al-Sunan al- Kubra (14214); al-Da’awat al-Kabir (495), dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (2745). Al-Hafiz Abu Tahir menyatakan bahawa sanad hadis ini sahih.

Doa ini diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. Beliau berkata bahawa jika Nabi SAW ingin memberikan ucapan selamat pada seseorang yang telah berkahwin, maka Baginda berdoa: بارك اللَّهُ لَكَ، وَبَارَكَ عَلَيْكَ، وَجَمَعَ بَيْنَمَا فِي خَيْرٍ” (“Semoga Allah memberkatimu ketika bahagia dan ketika susah, serta menghimpunkan kamu berdua dalam kebaikan.”)

Al-Munawi berkata: Dalam sebahagian riwayat, lafaz ‘فِي خَيْرٍ’, dibaca dengan عَلَى خَيْرٍ Al-Tibi berkata: Lafaz ‘pada’ yang pertama adalah syartiyyah dan yang kedua adalah zorfiyyah. Dikatakan بَارَكَ اللهُ adalah jawab syarat. Al- Zamakhsyari berkata: Maknanya adalah bahawa seseorang itu menetapkan keberkatan dengan doa ini. (Lihat Faidh al-Qadir, 5/138)

Ketiga: Doa yang diajar oleh Allah SWT:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Al-Sabuni berkata, jadikanlah kami pada suami-suami kami/isteri-isteri kami dan anak-anak kami kegembiraan dan kebahagiaan dengan sentiasa berpegang dalam ketaatan kepada-Mu dan beramal dalam mencari keredhaan-Mu. (Lihat Sofwah al-Tafasir, 2/340)

Ibn Kathir dalam menjelaskan maksud “وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا” (dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa), menukilkan pendapat Ibn Abbas, al-Hasan, al-Suddi, Qatadah dan al-Rabi’ bin Anas yang berkata: “Iaitu para pemimpin yang diteladani dalam kebaikan.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/134)

Syeikh al-Maraghi pula menyebut: Mereka juga memohon agar Allah SWT menjadikan mereka sebagai pemimpin yang diteladani ketika menegakkan panji-panji agama dengan menganugerahkan ilmu yang luas serta memberinya taufik bagi mengerjakan amal soleh. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 10/4902)

Ramai dalam kalangan salafus soleh dan ulama’ yang beramal dengan doa ini dan melaziminya agar dikurniakan kebahagiaan dalam kehidupan dengan keluarga yang sentiasa mentaati perintah Allah. Natijahnya, keluarga mereka mendapat banyak kelebihan dan kebahagiaan dalam melayari bahtera kehidupan.

Akhir kalam, Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply