Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh jelaskan tentang peristiwa pembedahan dada yang berlaku kepada Nabi SAW dan riwayat-riwayat yang menyebut tentangnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Terdapat beberapa riwayat yang menceritakan berkenaan peristiwa pembelahan dada Rasulullah SAW. Antaranya, riwayat daripada Anas bin Malik R.A, katanya:

لَيْلَةَ أُسْرِيَ بِرَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ مَسْجِدِ الكَعْبَةِ، أَنَّهُ جَاءَهُ ثَلاَثَةُ نَفَرٍ قَبْلَ أَنْ يُوحَى إِلَيْهِ وَهُوَ نَائِمٌ فِي المَسْجِدِ الحَرَامِ، فَقَالَ أَوَّلُهُمْ: أَيُّهُمْ هُوَ؟ فَقَالَ أَوْسَطُهُمْ: هُوَ خَيْرُهُمْ، فَقَالَ آخِرُهُمْ: خُذُوا خَيْرَهُمْ، فَكَانَتْ تِلْكَ اللَّيْلَةَ، فَلَمْ يَرَهُمْ حَتَّى أَتَوْهُ لَيْلَةً أُخْرَى، فِيمَا يَرَى قَلْبُهُ، وَتَنَامُ عَيْنُهُ وَلاَ يَنَامُ قَلْبُهُ، وَكَذَلِكَ الأَنْبِيَاءُ تَنَامُ أَعْيُنُهُمْ وَلاَ تَنَامُ قُلُوبُهُمْ، فَلَمْ يُكَلِّمُوهُ حَتَّى احْتَمَلُوهُ، فَوَضَعُوهُ عِنْدَ بِئْرِ زَمْزَمَ، فَتَوَلَّاهُ مِنْهُمْ جِبْرِيلُ، فَشَقَّ جِبْرِيلُ مَا بَيْنَ نَحْرِهِ إِلَى لَبَّتِهِ حَتَّى فَرَغَ مِنْ صَدْرِهِ وَجَوْفِهِ، فَغَسَلَهُ مِنْ مَاءِ زَمْزَمَ بِيَدِهِ، حَتَّى أَنْقَى جَوْفَهُ، ثُمَّ أُتِيَ بِطَسْتٍ مِنْ ذَهَبٍ فِيهِ تَوْرٌ مِنْ ذَهَبٍ، مَحْشُوًّا إِيمَانًا وَحِكْمَةً، فَحَشَا بِهِ صَدْرَهُ وَلَغَادِيدَهُ – يَعْنِي عُرُوقَ حَلْقِهِ – ثُمَّ أَطْبَقَهُ ثُمَّ عَرَجَ بِهِ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا

Maksudnya:Pada malam Rasulullah SAW diisrakkan dari masjid Kaabah (Masjid Haram), telah datang kepadanya tiga malaikat sebelum Baginda SAW diberikan wahyu, sewaktu Baginda SAW sedang tidur di Masjid Haram. Malaikat pertama berkata: ‘Yang mana satu dia dalam kalangan mereka?’ Malaikat yang di tengah berkata: ‘Dia adalah orang yang paling baik di antara mereka.’ Malaikat terakhir berkata: ‘Ambillah orang yang terbaik dalam kalangan mereka.’ Itulah yang berlaku pada malam itu. Setelah itu, Baginda SAW tidak lagi melihat mereka, sehinggalah mereka datang lagi pada malam lainnya, seperti yang dilihat dengan hatinya. Ini kerana mata Baginda SAW tidur tetapi hatinya tidak tidur. Sememangnya begitulah keadaan para nabi; mata mereka tidur namun hati mereka tidak tidur. Para malaikat itu tidak berbicara dengan Baginda SAW. Kemudian mereka membawanya lalu meletakkannya berdekatan telaga zamzam. Baginda SAW diserahkan oleh mereka kepada Jibril. Setelah itu, Jibril membelah kawasan antara bahagian leher sehingga bahagian tengah dada, lalu dia membuat ruang pada dada dan rongga tubuhnya, kemudian dia mencucinya dengan air zamzam dengan tangannya sendiri, sehingga bersihlah rongga dalam Baginda SAW.  Kemudian dia dibawakan dulang yang dibuat daripada emas. Di dalamnya terdapat bekas minuman yang diperbuat daripada emas, berisi keimanan dan hikmah, lalu Jibril mengisi dada dan urat-urat tenggoroknya dengan itu. Seterusnya, dia merapatkannya (kembali). Setelah itu, Jibril membawanya naik ke langit dunia…

Riwayat al-Bukhari (7517)

Al-Hafiz Ibn Hajar menjelaskan hadith di atas dengan berkata: Sabda Baginda, ‘فَشَقَّ جِبْرِيل مَا بَيْن نَحْره إِلَى لَبَّته’ (Kemudian Jibril membelah antara bahagian atas dada hingga lehernya). Maksudnya, tempat (kedudukan) kalung di dada, di mana (ia adalah kedudukan) unta disembelih.

Dalam penjelasan lalu, telah dikemukakan sanggahan terhadap orang yang mengingkari pembelahan dada Baginda ketika isra’ dan menyatakan bahawa hal tersebut berlaku ketika Baginda masih kecil. Aku juga telah menjelaskan bahawa terdapat pula pada riwayat selain Syarik, yang terdapat dalam kitab al-Sahihain, iaitu hadith daripada Abu Zar, dan bahawa pembelahan dada juga berlaku pada saat Baginda diangkat menjadi Rasul sepertimana dalam riwayat Abu Dawud al-Tayalisi dalam kitab al-Musnad, Abu Nu’aim, dan al-Baihaqi dalam kitab Dala’il al-Nubuwwah.

Abu Bisyr al-Dulabi menyebut dengan sanadnya, bahawa Nabi SAW bermimpi isi perut Baginda dikeluarkan, kemudian dikembalikan semula. Setelah itu, Baginda menceritakan kejadian itu kepada Khadijah. Selain itu, telah dikemukakan hikmah berlakunya hal tersebut lebih dari sekali. Peristiwa pembelahan dada itu disebut juga dalam hadith Abu Hurairah, iaitu ketika Baginda berusia sepuluh tahun. Riwayat itu dinukilkan pula oleh Abdullah bin Ahmad dalam Ziyadat al-Musnad. Peristiwa itu juga telah disebut dalam biografi kenabian. Sedangkan dalam kitab al-Syifa’, disebut bahawa ketika Jibril mencuci hati Baginda, Jibril berkata, “Hati yang lurus, di dalamnya terdapat dua mata yang melihat dan dua telinga yang mendengar. (Lihat Fath al-Bari, 21/101)

Demikianlah juga riwayat Abu Zar R.A, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

فُرِجَ عَنْ سَقْفِ بَيْتِي وَأَنَا بِمَكَّةَ، فَنَزَلَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَلَامِ، فَفَرَجَ صَدْرِي، ثُمَّ غَسَلَهُ بِمَاءِ زَمْزَمَ، ثُمَّ جَاءَ بِطَسْتٍ مِنْ ذَهَبٍ مُمْتَلِئٍ حِكْمَةً وَإِيمَانًا، فَأَفْرَغَهُ فِي صَدْرِي، ثُمَّ أَطْبَقَهُ، ثُمَّ أَخَذَ بِيَدِي، فَعَرَجَ بِي إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا

Maksudnya:Bumbung rumahku dibuka, ketika itu aku berada di Makkah. Lalu Jibril AS turun dan dia membelah dadaku, lalu dia membasuhnya dengan air zam zam. Setelah itu, dia membawa satu besen yang diperbuat daripada emas yang penuh dengan hikmah dan keimanan. Dia menuangkannya ke dalam dadaku dan kemudian menutupnya semula. Seterusnya dia memegang tanganku dan membawaku naik ke langit dunia.

Riwayat al-Bukhari (349)

Al-Hafiz Ibn Hajar menjelaskan: Sabda Baginda: ‘فَفَرَجَ صَدْرِي’ (Maka dia (Jibril) membelah dadaku). Al-Qadhi ‘Iyadh cenderung menguatkan bahawa pembelahan dada ini berlaku ketika Baginda masih kecil, iaitu pada waktu Baginda disusukan oleh Halimah al-Sa’diyah. Kemudian, pernyataan ini dijawab oleh al-Suhaili bahawa pembelahan dada Rasulullah SAW berlaku dua kali, dan inilah pendapat yang benar. Perbahasan secara terperinci mengenai hal ini akan disebut pada penjelasan tentang hadith Syarik dalam kitab Tauhid.

Secara ringkasnya, bahawa pembelahan pertama dilakukan terhadap Nabi SAW untuk menghilangkan gumpalan daging yang dikatakan sebagai bahagian syaitan pada diri Baginda SAW. Sedangkan pembelahan kedua adalah untuk mempersiapkan Baginda SAW untuk menghadapi peristiwa yang berlaku pada malam itu (Isra’ dan Mi’raj). Al-Tayalisi dan al-Harith telah meriwayatkan dalam kitab Musnad dari hadith Aisyah, bahawa pembelahan dada Rasulullah juga berlaku pada masa yang lain, iaitu ketika Jibril datang dengan membawa wahyu pertama, ketika Nabi SAW berada di gua Hira’. Wallahu a’lam.

Diriwayatkan juga, bahawa dada Baginda SAW pernah dibelah ketika Baginda berusia sepuluh tahun, seperti disebut dalam kisah Baginda SAW bersama ‘Abd al-Muttalib, sebagaimana dinukilkan oleh Abu Nu’aim dalam kitab al-Dala’il. Di samping itu, dinukilkan pula riwayat tentang pembelahan dada Nabi SAW yang kelima, namun riwayat mengenai hal ini tidak tepat. (Lihat Fath al-Bari, 2/44)

Begitu juga dalam riwayat Anas yang lain, beliau berkata:

أنّ رَسولَ اللهِ ﷺ أتاهُ جِبْرِيلُ ﷺ وهو يَلْعَبُ مع الغِلْمانِ، فأخَذَهُ فَصَرَعَهُ، فَشَقَّ عن قَلْبِهِ، فاسْتَخْرَجَ القَلْبَ، فاسْتَخْرَجَ منه عَلَقَةً، فقالَ: هذا حَظُّ الشَّيْطانِ مِنكَ، ثُمَّ غَسَلَهُ في طَسْتٍ مِن ذَهَبٍ بماءِ زَمْزَمَ، ثُمَّ لأَمَهُ، ثُمَّ أعادَهُ في مَكانِهِ، وجاءَ الغِلْمانُ يَسْعَوْنَ إلى أُمِّهِ، يَعْنِي ظِئْرَهُ، فقالوا: إنّ مُحَمَّدًا قدْ قُتِلَ، فاسْتَقْبَلُوهُ وهو مُنْتَقِعُ اللَّوْنِ، قالَ أنَسٌ: وقدْ كُنْتُ أرى أثَرَ ذلكَ المِخْيَطِ في صَدْرِهِ

Maksudnya: Rasulullah SAW telah didatangi oleh malaikat Jibril AS ketika Baginda SAW sedang bermain-main bersama budak-budak kecil yang lain. Maka, Jibril AS telah mengambil Baginda SAW lalu merebahkan Baginda SAW. Kemudian, Jibril AS telah membelah dada Baginda SAW dengan mengeluarkan segumpal darah daripada hati Baginda SAW sambil berkata, ‘Ini adalah bahagian syaitan yang terdapat di dalam dirimu.’ Kemudian Jibril AS menyucikannya di dalam sebuah bekas yang diperbuat daripada emas dengan menggunakan air zamzam. Setelah itu, Jibril AS menjahitnya kembali dan mengembalikan Baginda SAW di tempat permainannya tadi. Budak-budak kecil yang bermain bersama Baginda SAW tadi pergi mengadu kepada ibunya dengan mengatakan bahawa, ‘Muhammad telah dibunuh.’ Orang ramai menyambut Baginda SAW yang dalam keadaan pucat kerana Baginda masih di dalam ketakutan.” Anas berkata: “Aku telah melihat kesan jahitan tersebut di dada Baginda SAW.

Riwayat Muslim (162)

Al-Mulla Ali al-Qari menyebutkan, lafaz “عَلَقَةً” dalam hadith di atas ialah darah pekat (gumpalan darah) iaitu merujuk kepada ibu segala kerosakan dan maksiat dalam hati. Manakala lafaz, “هَذَا حَظُّ الشَّيْطَانِ مِنْكَ” pula bermaksud inilah bahagiannya (syaitan) jika ia tetap bersama denganmu. Kemudian Jibril AS membasuh hati Baginda, rongganya atau tempat belahannya dengan air zamzam. Maka, sebahagian ulama beristidlal dengan hadith ini bahawasanya air zamzam adalah sebaik-baik air di dunia, bahkan lebih baik lagi daripada air telaga Kauthar. Akan tetapi air yang terpancar daripada jari-jemari Nabi SAW tidak syak lagi adalah sebaik-air air secara mutlaknya kerana ia daripada athar tangan Baginda SAW yang mulia, manakala air zamzam pula daripada athar kaki Nabi Isma‘il al-Munifah. (Lihat Mirqat al-Mafatih, 9/3743).

Justeru, jelaslah bahawa sememangnya peristiwa pembelahan dada Nabi SAW adalah thabit dan benar-benar berlaku sebagaimana direkodkan dalam hadith-hadith yang sahih.

Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

Leave a Reply