Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa hikmah pemilihan Buraq sebagai kenderaan ketika Isra’ Mi’raj?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Al-Hafiz Ibn Hajar menyebut, bahawa dikatakan hikmah Baginda SAW diperjalan dengan menaiki haiwan – meskipun boleh sahaja bumi dilipat untuknya – adalah sebagai isyarat bahawa hal-hal itu berlaku sesuai dengan kebiasaan, walaupun dalam konteks kejadian luar biasa. Ini kerana, kebiasaan yang berlaku apabila seorang raja memanggil orang khusus baginya, maka dia akan mengirim kenderaan untuk dinaikinya.

Selain itu, hikmah haiwan tersebut mempunyai sifat-sifat yang telah disebutkan (seperti lebih rendah daripada baghal dan lebih tinggi daripada himar, berwarna putih dan lain-lain) adalah sebagai isyarat bahawa penunggangan berlaku dalam keadaan aman dan damai, bukan ketika perang dan ketakutan. Mungkin juga untuk menampakkan mukjizat, iaitu perjalanan sangat cepat dengan haiwan yang secara kebiasaan tidak memiliki sifat seperti itu.  (Lihat Fath al-Bari, 11/216)

Syeikh Muhammad Bahraq al-Hadrami menyebutkan, hikmah Rasulullah SAW menaiki Buraq dengan kuasa Allah adalah dengan tujuan untuk memuliakan Baginda SAW di samping Allah SWT menjadikan ia sebagai mukjizat. Kemuliaan ini adalah sebagaimana raja-raja menjemput orang yang ingin dipanggilnya dengan kenderaan dengan tujuan untuk memuliakannya. (Lihat Hadaiq al-Anwar wa Matali’ al-Asrar fi Sirah al-Nabiy al-Mukhtasar, hlm. 225).

Begitu juga dengan hikmah Rasulullah SAW mengikat Buraq itu di tiang masjid di Baitul Maqdis. Hal ini menunjukkan Rasulullah SAW ingin mengajar kepada kita supaya dalam apa keadaan sekalipun, kita mesti berusaha sebelum bertawakal kepada Allah SWT. Disebabkan itu, Rasulullah SAW mengikat Buraq pada tiang masjid walaupun diketahui bahawa Buraq itu adalah kurniaan Allah SWT yang tidak akan melarikan diri daripada Baginda SAW.

Syeikh Muhammad al-Amin al-Harari berkata: Rasulullah SAW mengikat Buraq ini merupakan dalil bahawa mengambil sebab dan berhati-hati dalam setiap perkara tidak menafikan konsep tawakal kepada Allah SWT. (Lihat al-Kaukab al-Wahhaj Syarh Sahih Muslim bin al-Hajjaj,  4/169).

Dalam situasi lain, Rasulullah SAW berperang dengan tombaknya dan memakai baju besi dalam pelbagai peperangannya. Baginda Nabi SAW juga memakai topi besi pada kepalanya sebagai usaha untuk melindungi diri Baginda daripada tercedera sebelum Baginda bertawakal kepada Allah SWT. Rasulullah SAW juga pernah berkata kepada seorang lelaki pemilik unta:

اعقِلْهَا وَتَوَكَّلْ

Maksudnya: “Ikatlah (untamu), baru kamu bertawakal.”

Riwayat al-Tirmizi (2517)

Hadith di atas menunjukkan bahawa Rasulullah SAW memerintahkan kepadanya untuk melakukan usaha terlebih dahulu dan kemudian menyerahkan urusannya kepada Allah SWT. Justeru, hendaklah wujud usaha dalam sesuatu perkara di samping penyerahan urusan kepada Allah SWT.

Benarlah firman Allah SWT:

فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

Maksudnya: “Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.”

(Surah Ali ‘Imran: 159)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply