Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Ketika peristiwa Isra’ Mi’raj, apa pesanan Nabi Ibrahim yang diucapkan olehnya kepada Nabi Muhammad SAW? Saya ada dengar sebelum ini, tapi lupa.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada malam Isra’ Mi’raj, Nabi SAW telah bertemu dengan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ibrahim AS telah berpesan dan mengajarkan suatu kalimat kepada Nabi kita Muhammad SAW. Daripada Abu Ayyub al-Ansari R.A, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْلَةَ أُسْرِيَ بِهِ مَرَّ عَلَى إِبْرَاهِيمَ، فَقَالَ: مَنْ مَعَكَ يَا جِبْرِيلُ؟ قَالَ: هَذَا مُحَمَّدٌ، فَقَالَ لَهُ إِبْرَاهِيمُ: مُرْ أُمَّتَكَ فَلْيُكْثِرُوا مِنْ غِرَاسِ الْجَنَّةِ، فَإِنَّ تُرْبَتَهَا طَيِّبَةٌ، وَأَرْضَهَا وَاسِعَةٌ قَالَ: وَمَا غِرَاسُ الْجَنَّةِ؟ قَالَ: لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ

Maksudnya:Rasulullah SAW pada malam Isra’ telah melewati Nabi Ibrahim AS. Nabi Ibrahim ketika itu bertanya kepada Malaikat Jibril: ‘Siapakah yang bersamamu wahai Jibril?’ Dia menjawab: ‘Muhammad.’ Lalu Nabi Ibrahim AS berkata kepada Baginda SAW: ‘Perintahkan pada umatmu untuk memperbanyakkan (bacaan zikir) yang nanti akan menjadi tanaman syurga. Tanahnya begitu subur dan kawasannya begitu luas.’ Baginda SAW bertanya: ‘Apakah itu tanaman syurga?’ Beliau menjawab: ‘لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ’ (Tidak ada daya dan tidak ada upaya melainkan dengan pertolongan Allah SWT).’”

Riwayat Ahmad (23552); Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij Musnad Ahmad (38/533-534) menilai sanadnya sebagai dha’if. Abdullah bin ‘Abd al-Rahman ialah seorang yang Majhul al-Hal (tidak diketahui statusnya), tetapi nasabnya diketahui. Hal ini kerana datuknya merupakan seorang sahabat iaitu Abdullah bin Umar bin al-Khattab. Abu Sakhr — iaitu Humaid bin Ziyad — berseorangan meriwayatkan daripadanya, dan tidak ada seorangpun yang menilainya sebagai thiqah melainkan Ibn Hibban, manakala Abu Sakhr pula adalah seorang perawi yang saduq. Seterusnya, baki perawi-perawi yang lain pula adalah thiqah dan merupakan perawi al-Syaikhain. Abu ‘Abd al-Rahman ialah Abdullah bin Yazid al-Muqri’, manakala Haiwah pula ialah Ibn Syuraih al-Misri. Selain itu, sanad ini juga dinilai hasan oleh al-Munziri dalam al-Targhib wa al-Tarhib.

Ibn al-Mulaqqin menyatakan, makna “لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ”[1] adalah tidak ada daya dalam menjauhi maksiat kepada Allah melainkan dengan perlindungan daripada-Nya dan tidak ada upaya dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah melainkan dengan pertolongan-Nya. (Lihat al-Taudhih li Syarh al-Jami‘ al-Sahih, 29/378).

Manakala, mengikut riwayat daripada Ibn Mas‘ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَقِيتُ إِبْرَاهِيمَ لَيْلَةَ أُسْرِيَ بِي فَقَالَ يَا مُحَمَّدُ أَقْرِئْ أُمَّتَكَ مِنِّي السَّلَامَ وَأَخْبِرْهُمْ أَنَّ الْجَنَّةَ طَيِّبَةُ التُّرْبَةِ عَذْبَةُ الْمَاءِ وَأَنَّهَا قِيعَانٌ وَأَنَّ غِرَاسَهَا سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ

Maksudnya:Aku bertemu dengan Nabi Ibrahim AS pada malam ketika aku diisra’kan, kemudian beliau berkata: ‘Wahai Muhammad, sampaikan salam daripadaku kepada umatmu, dan beritahukan kepada mereka bahawa syurga debunya harum, airnya segar, dan syurga tersebut adalah datar, tanamannya pula adalah kalimah: “سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ” (Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah, tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Allah, dan Allah Maha Besar).’

Riwayat al-Tirmizi (3462); al-Tabarani (10363); al-Khatib dalam Tarikh Baghdad (2/292). Hadith ini tidak ada masalah berdasarkan kitab al-Silsilah al-Sahihah (105).

Justeru, jelas menunjukkan bahawa zikir-zikir kepada Allah SWT merupakan tanaman yang paling subur di syurga. Ia dilaksanakan semasa di dunia sebagaimana masyhur menyebut:

الدُّنْيَا مَزْرَعَةُ الآخِرَةِ

Maksudnya: “Dunia ini adalah lading (tempat bercucuk tanam) bagi akhirat.”

Al-Iraqi berkata: Aku tidak dapati lafaz ini secara marfu’. Diriwayatkan oleh al-Uqaili dalam al-Dhu’afa’, Abu Bakar bin Al bin Lal dalam Makarim al-Akhlaq daripada hadith Tariq bin Ashyam dengan lafaz: ‘نعمت الدَّار الدُّنْيَا لمن تزَود مِنْهَا لآخرته’ (Sebaik-baik negeri di dunia bagi siapa yang membawa bekalan daripadanya untuk akhiratnya). Sanadnya adalah dha’if. (Lihat takhrij Ahadith al-Ihya’ oleh al-Iraqi, hlm. 354)

Di dalam al-Quran diceritakan bahawa dunia adalah tempat persinggahan bagi manusia dan ia merupakan tempat untuk mengumpulkan amalan-amalan untuk dibawa ke hari akhirat iaitu tempat yang kekal abadi. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

مَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الْآخِرَةِ نَزِدْ لَهُ فِي حَرْثِهِ ۖ وَمَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الدُّنْيَا نُؤْتِهِ مِنْهَا وَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِن نَّصِيبٍ

Maksudnya:Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya; dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya daripada kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.”

(Surah al-Syura: 20)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

 

Nota Hujung:

[1] Berkenaan “لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ”, terdapat banyak fadilatnya. Antaranya:

Pertama: Daripada Mu’az bin Jabal bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏‏ أَلاَ أَدُلُّكَ عَلَى بَابٍ مِنْ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ ‏؟‏‏ قُلْتُ: بَلَى‏.‏ قَالَ :‏ لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ ‏

Maksudnya: “Adakah kamu mahu aku tunjukkan kepadamu pintu dari pintu-pintu syurga?” Beliau bertanya: “Apakah itu?” Sabda Rasulullah SAW: ‘لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِالله’.

Riwayat al-Tirmizi (3581), Ahmad (21996), dan al-Nasaie di dalam Sunan al-Kubra (10189). Syeikh Syuaib al-Arnaout di dalam kitabnya Takhrij al-Musnad (1438) menyatakan hadith ini Hasan li ghairih.

Kedua: Daripada Abu Ayub al-Ansari, bahawa Rasulullah SAW pada malam di Isra’kan telah melintasi Ibrahim AS dan Ibrahim AS berkata kepada Baginda SAW:

مُرْ أُمَّتَكَ فَلْيُكْثِرُوا مِنْ غِرَاسِ الْجَنَّةِ، فَإِنَّ تُرْبَتَهَا طَيِّبَةٌ، وَأَرْضَهَا وَاسِعَةٌ قَالَ: وَمَا غِرَاسُ الْجَنَّةِ؟ قَالَ: لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ “

Maksudnya: Perintahkanlah umatmu dan perbanyakkan dari tanaman syurga kerana tanahnya baik dan tempatnya luas. Tanya Baginda SAW : “Apakah tanaman syurga?” Jawabnya: ‘لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِالله’.

Hadith riwayat Ahmad (23552) dan al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman (648). Al-Haithami di dalam Majma’ al-Zawaid (10/100) menyatakan Rijal hadith ini semuanya sahih kecuali Abdulllah bin Abd al-Rahman bin Abdullah bin Umar bin al-Khattab, dia adalah thiqah yang tidak dibincangkan oleh sesiapapun dan Ibn Hibban menthiqahkannya.

Ketiga: Daripada Abdullah bin Amr, katanya : Rasulullah SAW bersabda:

مَا عَلَى الأَرْضِ أَحَدٌ يَقُولُ: لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ، إِلَّا كُفِّرَتْ عَنْهُ خَطَايَاهُ وَلَوْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ البَحْرِ

Maksudnya: Tidak ada sesiapapun di Bumi ini apabila dia berkata, Tiada Tuhan selain Allah dan Allah maha besar dan “‘لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِالله’” kecuali diampunkan kesalahan-kesalahannya walaupun ianya seluas lautan.

Hadith riwayat al-Tirmizi (6460), al-Nasaie di dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (124) dan Ahmad (6479). Pengarang kitab Sahih al-Jami’ (6536) menilai hadith ini sebagai hasan.

Keempat: Daripada Abi Hurairah katanya, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قَالَ لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ، كَانَ دَوَاءً مِنْ تِسْعَةٍ وَتِسْعِينَ دَاءً، أَيْسَرُهَا؛ الْهَمُّ

Maksudnya: Sesiapa yang mengucapkan ‘لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِالله’, maka ia adalah penawar daripada 99 penyakit, dan yang paling ringan adalah perasaan bimbang dan keluh kesah.

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (1990), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (5028) dan al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (178). Al-Hakim menyatakan hadith ini sahih. Manakala pengarang kitab Dha’if al-Jami’ (6286) menilai hadith ini sebagai dha’if.

Leave a Reply