Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa maksud (لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا) dalam Surah Al-Isra’ ayat 1?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
Maksudnya: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
(Surah al-Isra’: 1)
Ayat “لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا” (Supaya kami perlihatkannya daripada tanda-tanda ayat kami) iaitu daripada makhluk Allah dan luasnya kerajaan serta ajaibnya penciptaan-Nya. Digunakan kalimah min kerana Allah perlihatkan kepada nabi-Nya sebahagian sahaja tanda kekuasaan-Nya.
Syeikh Mustafa Sadiq al-Rafi‘i mengulas ayat ini dengan mengatakan, dengan ibarat ini menjadi nas atas kemuliaan Nabi SAW melebihi masa dan tempat di mana Baginda dapat melihat tanpa hijab pancaindera kerana kembali kepada qudratullah dan bukannya kepada qudrat diri Baginda. Lainlah sekiranya ibarat berbunyi supaya Baginda melihat daripada tanda-tanda kekuasaan Allah yang sudah pasti mempunyai hak kekuatan dan pancaindera dari sudut masa dan tempatnya. (Lihat Wahyu al-Qalam, 2/26).
Selain itu, al-Tabari ada menukilkan riwayat daripada Qatadah: “لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا” bermaksud apa yang Allah perlihatkan daripada tanda-tanda dan ibrah sepanjang perjalanan ke Baitul Maqdis. (Lihat Tafsir al-Tabari, 14/448).
Begitu juga al-Qurtubi ada menyebutkan, ini merupakan bab yang mewarnai khitab dan ayat-ayat yang Allah ingin perlihatkan daripada keajaiban yang ingin dikhabarkan kepada manusia dan perjalanannya itu dari Makkah ke Masjidil Aqsa dalam satu malam yang perjalanan sebenarnya ialah perjalanan sebulan. Baginda dinaikkan ke langit dan disifatkan kepada Baginda, para Nabi seorang demi seorang sebagaimana yang thabit dalam Sahih Muslim dan selainnya. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 10/212).
Lafaz “إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ” (Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat). Menurut Ibn Kathir, maknanya ialah Allah Maha Mendengar perkataan para hamba-Nya dan Maha Melihat mereka. Oleh itu, Dia telah memberikan kepada setiap daripada mereka apa yang berhak buat mereka di dunia dan akhirat. (Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir oleh al-Sabuni, 2/355).
Selain itu juga, ini merupakan janji bagi orang yang beriman. Dengan kepercayaan peristiwa isra’ sudah pasti mendapat pahala yang banyak. Sebaliknya ancaman akan membawa kepada balasan buruk kepada orang yang syak dan ragu serta ingkar.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لاَ يَنْفَعُ ، وَمِنْ قَلْبٍ لاَ يَخْشَعُ، وَمِنْ نَفْسٍ لاَ تَشْبَعُ ، وَمِنْ دَعْوَةٍ لَا يُسْتَجَابُ لَهَا
Maksudnya: “Ya Allah! Kami berlindung dengan-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk, daripada nafsu yang tidak puas, dan daripada doa yang tidak diterima.”