Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh jelaskan berkenaan sifat Sidratul Muntaha dan juga tentang kedudukannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan seperti berikut:

Imam al-Qurtubi dalam al-Jami‘ li Ahkam al-Qur’an telah menyenaraikan sembilan pendapat sebab dinamakan tempat itu dengan Sidratul Muntaha iaitu:

  • Kerana di sanalah semua yang turun dari atasnya dan semua yang naik dari bawahnya. Inilah pendapat Ibn Mas‘ud R.A.
  • Kerana sampai di sanalah ilmu para nabi, sedangkan tentang apa yang ada di sebaliknya (selepas itu) mereka tidak ketahui. Inilah pendapat Ibn Abbas R.A.
  • Kerana sampai di sanalah semua amal, lalu digenggam. Inilah pendapat al-Dhahhak.
  • Kerana sampai di sanalah tempat para malaikat dan para nabi, serta di sanalah mereka berhenti. Inilah pendapat Ka‘ab.
  • Kerana sampai di sanalah ruh para syuhada’. Inilah pendapat al-Rabi‘ bin Anas.
  • Kerana sampai di sanalah ruh orang-orang yang beriman. Inilah pendapat Qatadah.
  • Kerana sampai di sanalah setiap orang yang berada di atas sunnah Muhammad SAW dan ajaran Baginda. Inilah pendapat Ali R.A dan juga al-Rabi‘ bin Anas.
  • Sidratul Muntaha ialah pohon yang berada di atas kepala para pemikul ‘Arasy (Hamalah al-‘Arasy) yang sampai di sanalah ilmu semua makhluk. Inilah pendapat Ka‘ab.
  • Kerana siapa yang diangkat sampai ke sana maka sungguh dia telah mencapai puncak kemuliaan. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A ketika Rasulullah SAW dijalankan di malam hari, Baginda sampai ke Sidratul Muntaha. Ketika itu, dikatakan kepada Baginda, “Ini adalah Sidratul Muntaha yang kepadanya sampai setiap orang yang telah meninggal dunia daripada umatmu yang berada di atas sunnahmu.” (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Qur’an, 17/95).

Selain itu, terdapat ulama yang memberi pengertian lain bagi al-Muntaha iaitu ia dengan maksud Allah SWT. Jadi, Sidratul Muntaha boleh juga difahami sebagai pohon bidara milik Allah SWT. Syeikh al-Maraghi dalam tafsirnya turut menyebut: “Boleh juga yang dimaksudkan dengan al-Muntaha, iaitu Allah ‘Azza wa Jalla. Jadi, erti Sidratul Muntaha adalah pohon bidara milik Allah SWT yang mana hanya kepada Allah SWT segalanya berakhir sebagaimana firman-Nya: وَأَنَّ إِلى رَبِّكَ الْمُنْتَهى (Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya kepada hukum Tuhanmulah kesudahan — segala sesuatu.”). (Lihat Tafsir al-Maraghi, 27/48).

 

Hadith-Hadith yang Diriwayatkan Berkaitan Kedudukan Sidratul Muntaha

Imam al-Qurtubi dalam al-Jami‘ li Ahkam al-Quran (17/94) menyebut, terdapat dua riwayat berkenaan kedudukan Sidratul Muntaha. Satu riwayat mengatakan Sidratul Muntaha berada di langit keenam manakala satu riwayat lagi mengatakan ia berada di langit ketujuh. Ia adalah sepertimana berikut:

Pertama: Hadith yang menyatakan ia terletak di langit keenam

Hadith ini diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud, beliau berkata:

لَمَّا أُسْرِىَ بِرَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- انْتُهِىَ بِهِ إِلَى سِدْرَةِ الْمُنْتَهَى وَهِىَ فِى السَّمَاءِ السَّادِسَةِ إِلَيْهَا يَنْتَهِى مَا يُعْرَجُ بِهِ مِنَ الأَرْضِ فَيُقْبَضُ مِنْهَا وَإِلَيْهَا يَنْتَهِى مَا يُهْبَطُ بِهِ مِنْ فَوْقِهَا فَيُقْبَضُ مِنْهَا قَالَ (إِذْ يَغْشَى السِّدْرَةَ مَا يَغْشَى) قَالَ فَرَاشٌ مِنْ ذَهَبٍ. قَالَ فَأُعْطِىَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- ثَلاَثًا أُعْطِىَ الصَّلَوَاتِ الْخَمْسَ وَأُعْطِىَ خَوَاتِيمَ سُورَةِ الْبَقَرَةِ وَغُفِرَ لِمَنْ لَمْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ مِنْ أُمَّتِهِ شَيْئًا الْمُقْحِمَاتُ.

Maksudnya:Ketika Rasulullah SAW dijalankan di malam hari, Baginda sampai di Sidratul Muntaha. Tempat ini berada di langit keenam. Sampai ke tempat inilah semua yang naik dari bumi, lalu digenggam dan sampai ke tempat inilah semua yang turun dari atasnya lalu digenggam. Allah SWT berfirman: إِذْ يَغْشَى السِّدْرَةَ مَا يَغْشَى (Maksudnya: “Ketika Sidratul Muntaha diliputi oleh sesuatu yang tidak diketahuinya kecuali Allah.”).” Beliau berkata: “Kupu-kupu daripada emas (فَرَاشٌ مِنْ ذَهَبٍ).” Beliau berkata lagi: “Lalu Rasulullah SAW diberi tiga perkara: Baginda diberi solat lima waktu, Baginda diberi beberapa ayat penutup surah al-Baqarah dan diampuni semua dosa besar setiap orang daripada umatnya yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu apapun.

Riwayat Muslim (173)

Kedua: Hadith yang menyatakan ia terletak di langit ketujuh

Hadith ini diriwayatkan daripada Anas R.A, Nabi SAW bersabda:

لَمَّا رُفِعْتُ إِلَى سِدْرَةِ الْمُنْتَهَى فِى السَّمَاءِ السَّابِعَةِ نَبْقُهَا مِثْلُ قِلاَلِ هَجَرَ وَوَرَقُهَا مِثْلُ آذَانِ الْفِيَلَةِ يَخْرُجُ مِنْ سَاقِهَا نَهْرَانِ ظَاهِرَانِ وَنَهْرَانِ بَاطِنَانِ قُلْتُ يَا جِبْرِيلُ مَا هَذَا قَالَ أَمَّا الْبَاطِنَانِ فَفِى الْجَنَّةِ وَأَمَّا الظَّاهِرَانِ فَالنِّيلُ وَالْفُرَاتُ.

Maksudnya: Ketika aku diangkat ke Sidratul Muntaha yang berada di langit ketujuh, yang buahnya seperti tempayan-tempayan Hajar (tempayan-tempayan buatan orang Hajar) dan daunnya seperti telinga gajah, keluar dari pangkalnya dua sungai zahir dan dua sungai batin. Aku pun bertanya: ‘Wahai Jibril, apa ini?’ Jibril AS menjawab: ‘Dua sungai batin itu ada di dalam syurga, sedangkan dua sungai zahir itu ialah sungai Nil[1] dan Sungai Furat.’

 Riwayat al-Daraqutni (33)

Terdapat sedikit perbezaan bacaan pada lafaz (رُفِعْتُ) dalam hadith yang lain. Daripada riwayat Anas R.A juga, Nabi SAW bersabda:

رُفِعَتْ لِي سِدْرَةُ الْمُنْتَهَى فِي السَّمَاءِ السَّابِعَةِ…

Maksudnya: Sidratul Muntaha diangkat/ dinampakkan kepadaku di langit ketujuh…

Riwayat Ahmad (12702)

Begitu juga terdapat hadith yang tidak menyebut secara nyata perkataan langit ketujuh. Namun, ia menyebut berkenaan Sidratul Muntaha selepas Nabi SAW naik ke langit ketujuh.

Sebuah hadith yang panjang daripada Anas bin Malik R.A, daripada Malik bin Sa‘sa‘ah antara lain menyebut, Rasulullah SAW bersabda:

ثُمَّ صَعِدَ بِي إِلَى السَّمَاءِ السَّابِعَةِ فَاسْتَفْتَحَ جِبْرِيلُ، قِيلَ: مَنْ هَذَا؟ قَالَ: جِبْرِيلُ، قِيلَ: وَمَنْ مَعَكَ؟ قَالَ: مُحَمَّدٌ، قِيلَ: وَقَدْ بُعِثَ إِلَيْهِ؟ قَالَ: نَعَمْ، قَالَ: مَرْحَبًا بِهِ، فَنِعْمَ المَجِيءُ جَاءَ، فَلَمَّا خَلَصْتُ فَإِذَا إِبْرَاهِيمُ قَالَ: هَذَا أَبُوكَ فَسَلِّمْ عَلَيْهِ، قَالَ: فَسَلَّمْتُ عَلَيْهِ فَرَدَّ السَّلاَمَ، قَالَ: مَرْحَبًا بِالِابْنِ الصَّالِحِ وَالنَّبِيِّ الصَّالِحِ، ثُمَّ رُفِعْتُ إِلَيَّ سِدْرَةِ المُنْتَهَى، فَإِذَا نَبْقُهَا مِثْلُ قِلاَلِ هَجَرَ، وَإِذَا وَرَقُهَا مِثْلُ آذَانِ الفِيَلَةِ، قَالَ: هَذِهِ سِدْرَةُ المُنْتَهَى، وَإِذَا أَرْبَعَةُ أَنْهَارٍ: نَهْرَانِ بَاطِنَانِ وَنَهْرَانِ ظَاهِرَانِ، فَقُلْتُ: مَا هَذَانِ يَا جِبْرِيلُ؟ قَالَ: أَمَّا البَاطِنَانِ فَنَهْرَانِ فِي الجَنَّةِ، وَأَمَّا الظَّاهِرَانِ فَالنِّيلُ وَالفُرَاتُ،

Maksudnya:Kemudian aku dibawa naik ke langit ketujuh lalu Jibril meminta pintu langit dibuka. Kemudian dia ditanya: ‘Siapakah ini?’ Jibril menjawab: ‘Jibril.’ Ditanyakan lagi: ‘Siapakah orang yang bersamamu?’ Jibril menjawab: ‘Muhammad.’ Ditanyakan lagi: ‘Adakah dia telah diutus (sebagai Rasul)?’ Jibril menjawab: ‘Ya.’ Maka dikatakan: ‘Selamat datang kepadanya dan ini sebaik-baik ketibaan orang yang datang.’ Pintu pun dibuka dan setelah aku melaluinya, aku berjumpa dengan (Nabi) Ibrahim A.S. Jibril berkata: ‘Ini adalah datukmu (Nabi Ibrahim). Ucapkanlah salam kepadanya.’ Maka aku memberi salam kepadanya dan (Nabi) Ibrahim membalas salamku lalu berkata: ‘Selamat datang wahai anak yang soleh dan nabi yang soleh.’ Kemudian Sidratul Muntaha diangkat (diperlihatkan) kepadaku, yang buahnya (besar) seperti tempayan-tempayan daerah Hajar dengan daunnya laksana telinga-telinga gajah. Jibril A.S berkata: ‘Ini adalah Sidratul Muntaha. Di tanahnya, ada empat sungai; dua sungai Batin dan dua sungai Zahir.’ Aku bertanya: ‘Apakah ini wahai Jibril? (Apakah sungai-sungai itu?)’ Jibril menjawab: ‘Adapun dua sungai Batin adalah dua sungai yang berada di syurga, sedangkan dua sungai Zahir adalah (sungai) al-Nil dan (sungai) Furat.’

Riwayat al-Bukhari (3887)

Dalam riwayat Muslim dinyatakan:

وحَدَّثَ نَبِيُّ اللهِ ﷺ، أنّه رَأى أرْبَعَةَ أنْهارٍ يَخْرُجُ مِن أصْلِها نَهْرانِ ظاهِرانِ، ونَهْرانِ باطِنانِ، فَقُلتُ: يا جِبْرِيلُ، ما هذِه الأنْهارُ؟ قالَ: أمّا النَّهْرانِ الباطِنانِ فَنَهْرانِ في الجَنَّةِ، وأَمّا الظّاهِرانِ: فالنِّيلُ والفُراتُ

Maksudnya: Nabi Allah SAW menyampaikan bahawa Baginda melihat empat sungai yang terbit dari asalnya. Dua sungai zahir dan dua sungai batin. Maka Baginda SAW bertanya: ‘Wahai Jibril, sungai-sungai apakah ini?’ Jibril menjawab: ‘Adapun dua sungai Batin adalah dua sungai yang berada di syurga, sedangkan dua sungai Zahir adalah (sungai) al-Nil dan (sungai) Furat.’

Riwayat Muslim (164)

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa lafaz “يَخْرُجُ مِنْ أَصْلِهَا” (terbit dari asalnya) adalah merujuk kepada “asal Sidratul Muntaha” sebagaimana penjelasan yang terdapat dalam Sahih al-Bukhari dan selainnya. Muqatil berpendapat, sungai batin adalah merujuk kepada Salsabil dan Kauthar. Selain itu, al-Qadhi ‘Iyadh ada menyebutkan, hadith ini menunjukkan bahawa asal Sidratul Muntaha adalah dari bumi disebabkan oleh terbitnya sungai Nil dan Furat dari asalnya. Kemudian, Imam al-Nawawi menyebutkan, apa yang diucapkannya itu bukanlah suatu kelaziman. Bahkan sebaliknya maknanya ialah sungai-sungai itu terbit dari asalnya (yakni Sidratul Muntaha), kemudian ia mengalir sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT sehinggalah ia terbit dari bumi dan mengalir di dalamnya. Akal dan syarak tidak menafikan perkara ini. Malah ia adalah zahir daripada hadith. Justeru, wajib untuk pergi kepadanya (berpegang dengannya). Wallahu a‘lam. (Lihat al-Minhaj Syarh  Sahih Muslim, 2/224-225).

Begitu juga terdapat riwayat daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 ثُمَّ عَرَجَ بِنَا إِلَى السَّمَاءِ السَّابِعَةِ فَاسْتَفْتَحَ جِبْرِيلُ فَقِيلَ مَنْ هَذَا قَالَ جِبْرِيلُ ‏.‏ قِيلَ وَمَنْ مَعَكَ قَالَ مُحَمَّدٌ صلى الله عليه وسلم ‏.‏ قِيلَ وَقَدْ بُعِثَ إِلَيْهِ قَالَ قَدْ بُعِثَ إِلَيْهِ.‏ فَفُتِحَ لَنَا فَإِذَا أَنَا بِإِبْرَاهِيمَ صلى الله عليه وسلم مُسْنِدًا ظَهْرَهُ إِلَى الْبَيْتِ الْمَعْمُورِ وَإِذَا هُوَ يَدْخُلُهُ كُلَّ يَوْمٍ سَبْعُونَ أَلْفَ مَلَكٍ لاَ يَعُودُونَ إِلَيْهِ ثُمَّ ذَهَبَ بِي إِلَى السِّدْرَةِ الْمُنْتَهَى وَإِذَا وَرَقُهَا كَآذَانِ الْفِيَلَةِ وَإِذَا ثَمَرُهَا كَالْقِلاَلِ – قَالَ – فَلَمَّا غَشِيَهَا مِنْ أَمْرِ اللَّهِ مَا غَشِيَ تَغَيَّرَتْ فَمَا أَحَدٌ مِنْ خَلْقِ اللَّهِ يَسْتَطِيعُ أَنْ يَنْعَتَهَا مِنْ حُسْنِهَا ‏.‏ فَأَوْحَى اللَّهُ إِلَىَّ مَا أَوْحَى فَفَرَضَ عَلَىَّ خَمْسِينَ صَلاَةً فِي كُلِّ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ

Maksudnya: “Aku dibawa lagi naik ke langit ketujuh. Jibril AS meminta supaya dibukakan pintu. Ditanyakan kepadanya: ‘Siapakah kamu?’ Jibril menjawab: ‘Jibril.’ Ditanyakan lagi kepadanya: ‘Siapakah bersama kamu?’ Jibril menjawab: ‘Muhammad.’  Ditanyakan lagi: ‘Adakah dia telah diutuskan?’ Jibril menjawab: ‘Ya, dia telah diutuskan.’ Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Ibrahim AS, dia sedang berada dalam keadaan menyandar di Baitul Makmur, di mana 70,000 malaikat setiap hari masuk ke dalamnya dan mereka tidak pernah kembali lagi dari situ. Kemudian Jibril membawaku ke Sidratul Muntaha, yang mana daun-daunnya besar seperti telinga gajah manakala buahnya pula sebesar tempayan. Setiap kali ia tertutup dengan kehendak Allah ia berubah sehingga tidak satu pun makhluk Allah yang sanggup mengungkapkan keindahannya. Lalu Allah SWT menurunkan wahyu kepadaku, mewajibkanku solat 50 kali sehari semalam.

Kemudian, aku dibawa lagi naik ke langit ketujuh. Jibril meminta supaya dibukakan. Kedengaran suara bertanya lagi, ‘Siapakah kamu? ‘ Jibril menjawabnya, ‘Jibril’. Jibril ditanya lagi, ‘Siapakah bersamamu? ‘ Jibril menjawab, ‘Muhammad’. Jibril ditanya lagi, ‘Apakah dia telah diutuskan? ‘ Jibril menjawab, ‘Ya, dia telah diutuskan’. Pintu pun dibukakan kepada kami. Tiba-tiba aku bertemu dengan Nabi Ibrahim AS. Dia sedang berada dalam keadaan menyandar di Baitul Makmur. Keluasannya setiap hari mampu memasukkan tujuh puluh ribu malaikat. Setelah keluar, mereka tidak kembali lagi kepadanya (Baitul Makmur).

Riwayat Muslim (162)

Pandangan dan Hujahan Ulama

Kami nukilkan di sini beberapa pandangan ulama berkenaan isu ini:

Al-Qadhi ‘Iyyadh berkata:

كَوْنهَا فِي السَّابِعَة هُوَ الْأَصَحّ . وَقَوْل الْأَكْثَرِينَ وَهُوَ الَّذِي يَقْتَضِيه الْمَعْنَى ، وَتَسْمِيَتهَا بِالْمُنْتَهَى

Maksudnya:Sidratul Muntaha berada di langit ketujuh adalah pendapat yang paling sahih. Ia juga merupakan pandangan majoriti ulama dan ia menepati makna muntaha itu sendiri.” (Dinukilkan oleh Imam al-Nawawi dalam al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 1/308).

Imam al-Khalil menyebut:

هِيَ سِدْرَة فِي السَّمَاء السَّابِعَة قَدْ أَظَلَّتْ السَّمَوَات وَالْجَنَّة

Maksudnya: (Sidratul Muntaha) ialah satu pohon bidara di langit ketujuh yang menaungi sekalian langit dan juga syurga.” (Dinukilkan oleh Imam al-Nawawi dalam al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 1/308).

Imam al-Nawawi berkata:

وَيُمْكِن أَنْ يُجْمَع بَيْنَهُمَا فَيَكُون أَصْلهَا فِي السَّادِسَة وَمُعْظَمهَا فِي السَّابِعَة

Maksudnya:Kedua-dua (riwayat) tersebut boleh dihimpunkan, lalu ia dapat difahami bahawa permulaannya (pangkalnya) berada di langit keenam dan (menjulang ke atas sehingga) bahagian besarnya (cabang dan ranting) berada di langit ketujuh.” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 1/308).

Begitu juga al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebut bahawa jumhur ulama berpendapat Sidratul Muntaha adalah berada di langit ketujuh. (Lihat Fath al-Bari, 21/101).

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani juga turut membahaskan berkenaan kedudukan Sidratul Muntaha dengan panjang lebar ketika menghuraikan berkenaan hadith Isra’ dan Mi’raj. Beliau menyebutkan, (yang tepat) adalah menggabungkan kedua-dua riwayat tersebut. Jadi yang dimaksudkan adalah Baginda Nabi SAW dinaikkan ke atas Sidratul Muntaha, dalam erti Baginda naik ke atas dan melihat Sidratul Muntaha dengan jelas. Ini kerana kata “al-Raf‘u” bererti naik ke atas sesuatu, kata tersebut digunakan untuk kedekatan seseorang yang naik dengan sesuatu tersebut. Telah disebutkan dalam firman Allah SWT berikut:

وَفُرُشٍ مَّرْفُوعَةٍ

Maksudnya:Dan tempat-tempat tidur yang tertinggi keadaannya.

(Surah al-Waqi‘ah: 34)

Ertinya tempat-tempat tidur tersebut berada di sisi mereka.

Alasan tempat itu disebut sebagai Sidratul Muntaha telah dinyatakan dalam hadith Ibn Mas‘ud yang terdapat dalam kitab Imam Muslim. Lafaz hadith tersebut adalah:

لَمَّا أُسْرِىَ بِرَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- انْتُهِىَ بِهِ إِلَى سِدْرَةِ الْمُنْتَهَى وَهِىَ فِى السَّمَاءِ السَّادِسَةِ إِلَيْهَا يَنْتَهِى مَا يُعْرَجُ بِهِ مِنَ الأَرْضِ فَيُقْبَضُ مِنْهَا وَإِلَيْهَا يَنْتَهِى مَا يُهْبَطُ بِهِ مِنْ فَوْقِهَا فَيُقْبَضُ مِنْهَا

Maksudnya:Ketika Rasulullah SAW dijalankan di malam hari, Baginda sampai di Sidratul Muntaha. Tempat ini berada di langit keenam. Sampai ke tempat inilah semua yang naik dari bumi, lalu digenggam dan sampai ke tempat inilah semua yang turun dari atasnya lalu digenggam.

Riwayat Muslim (173)

Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan daripada Imam al-Nawawi yang menyatakan, tempat itu disebut sebagai Sidratul Muntaha kerana pengetahuan (ilmu) malaikat hanya mampu mengetahui tempat ini, dan tiada seorang yang dapat mengetahui kawasan di atasnya kecuali Baginda SAW.

Kemudian, al-Hafiz Ibn Hajar menyebutkan, keterangan ini tidak bertentangan dengan hadith Ibn Mas‘ud yang telah disebutkan terdahulu. Akan tetapi, hadith Ibn Mas‘ud telah sabit dalam kitab Sahih, ia lebih utama untuk dipegang. Beliau seterusnya menyatakan juga, Imam al-Nawawi meriwayatkan hadith ini dengan menggunakan Sighah Tamridh, katanya:

وَحُكِيَ عَنْ اِبْن مَسْعُود أَنَّهَا سُمِّيَتْ بِذَلِكَ… إِلَخْ .

Maksudnya:Dinukilkan daripada Ibn Mas‘ud bahawa ia dinamakan dengan nama tersebut (Sidratul Muntaha)…

Al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan, begitulah cara Imam al-Nawawi menyebutkannya kerana (berkemungkinan) beliau merasakan hadith tersebut adalah lemah di sisinya, apatah lagi beliau juga tidak menjelaskan kalau hadith itu adalah marfu‘. Walau bagaimanapun, hadith tersebut adalah sahih dan marfu‘.

Selain daripada itu, al-Qurtubi ada menyebutkan dalam al-Mufhim, zahir hadith Anas menyebutkan bahawa Sidratul Muntaha terletak di langit ketujuh. Hal ini kerana perkataan Baginda setelah menyebutkan langit ketujuh lalu disebutkan pula: “Kemudian aku pergi ke Sidratul Muntaha.” Manakala dalam hadith Ibn Mas‘ud, disebutkan bahawa Sidratul Muntaha terletak di langit keenam. Ini merupakan pertentangan yang tidak diragukan lagi. Hadith Anas merupakan pendapat majoriti ulama. Ia merupakan hadith yang menyebutkan sifat Sidratul Muntaha bahawa ia adalah batas terakhir yang diketahui oleh para Nabi yang sudah diutus dan para malaikat yang dekat, sebagaimana yang disebutkan oleh Ka‘ab. Dia berkata: Tempat setelah Sidratul Muntaha ialah perkara ghaib yang tidak ada sesiapapun tahu mengenainya melainkan Allah atau orang yang diberi tahu oleh Allah SWT. Pendapat inilah yang telah ditegaskan oleh Isma‘il bin Ahmad.

Manakala ulama yang lain pula berpendapat, di Sidratul Muntaha, setiap ruh orang yang mati syahid disemayamkan. Dia berkata: Hadith Anas dirajihkan bahawa ia adalah hadith marfu‘, manakala hadith Ibn Mas‘ud adalah hadith mauquf. Begitulah dikatakan kedua-dua hadith tersebut tidak mungkin untuk dihimpunkan (diharmonikan maknanya), sebaliknya ia jelas saling bertentangan.

Al-Hafiz Ibn Hajar seterusnya menyimpulkan, lafaz “sesungguhnya ia berada di langit keenam” tidak bertentangan dengan apa yang ditunjukkan oleh khabar (riwayat) yang lain. Hal ini kerana Nabi SAW sampai di sana setelah Baginda memasuki langit ketujuh. Ini kerana, berkemungkinan pangkal (akar tunjang) Sidratul Muntaha berada di langit keenam, manakala cabang dan rantingnya pula berada di langit ketujuh. Maka, tidaklah yang berada di langit keenam itu melainkan hanya berupa pangkalnya sahaja. (Lihat Fath al-Bari, 7/213).

Imam al-Qurtubi dalam al-Jami‘ li Ahkam al-Qur’an (17/95) ketika beliau memberikan komen terhadap pendapat Ka‘ab – yang menyebut bahawa Sidratul Muntaha ialah pohon yang berada di atas kepala para pemikul Arasy yang sampai di sanalah ilmu semua makhluk — beliau menyebutkan: “Menurutku — wallahu a‘lam — tinggi pohon dan dahannya melebihi kepala para pemikul Arasy. Dalilnya adalah apa yang telah disebutkan, bahawa akarnya di langit keenam dan tingginya sampai ke langit ketujuh, bahkan lebih dari itu hingga melebihi kepala para pemikul Arasy. Wallahu a‘lam.”

Di samping itu, Jalaluddin al-Suyuti dalam al-Ayat al-Kubra fi Syarh Qissah al-Isra’ menyebut dengan menukilkan daripada Ibn al-Munir ketika menyebutkan berkenaan Mi’raj. Dia berpendapat bahawa al-Mi’raj (anak tangga) terbahagi kepada sepuluh anak tangga. Jumlah tersebut sesuai dengan tahun Hijrah. Dia menyebutkan bahawa tujuh anak tangga berada pada tujuh langit. Kemudian dia telah menyebutkan munasabah (perkaitan atau hubungkait) tujuh anak tangga tersebut dengan tujuh tahun hijrah yang pertama.

Kemudian, anak tangga yang kelapan adalah anak tangga Sidratul Muntaha, ia merupakan destinasi terakhir bagi yang naik dari bumi dan (sebagai permulaan) bagi yang turun dari langit. Anak tangga kelapan ini sesuai dengan tahun hijrah kelapan, di mana pada tahun itu berlaku penaklukan Kota Makkah. Apatah lagi Makkah disebut juga dengan Ummul Qura yang merupakan destinasi terakhir (tujuan dakwah). Seterusnya al-Sidrah diliputi belalang yang merupakan salah satu daripada tentera Allah SWT seperti yang telah disebutkan dalam hadith. Hal itu berlaku sebagaimana kota Makkah ketika peristiwa penaklukannya, pada waktu itu tentera Allah dan para pengikutnya telah meliputi kota Makkah tersebut.  (Lihat al-Ayat al-Kubra fi Syarh Qissah al-Isra’, hlm. 64-65).

Selain itu, Syeikh Nasir al-Din al-Albani dalam kitabnya, al-Isra’ wa al-Mi’raj (hlm. 89), ketika beliau menjelaskan hadith Abdullah bin Mas‘ud yang menyatakan bahawa Sidratul Muntaha berada di langit keenam, menyebutkan seperti berikut:

Secara zahirnya, hadith ini bertentangan dengan hadith Anas yang terdahulu yang menyebut:

ثُمَّ عَرَجَ بِنَا إِلَى السَّمَاءِ السَّابِعَةِ…. ثُمَّ ذَهَبَ بِى إِلَى السِّدْرَةِ الْمُنْتَهَى

Maksudnya: Kemudian, aku dibawa lagi naik ke langit ketujuh….Kemudian aku dibawa ke Sidratul Muntaha…

Sesungguhnya ia menunjukkan bahawa al-Sidrah berada di langit ketujuh. Inilah pendapat yang dipilih (rajih) oleh al-Qurtubi. Manakala, al-Hafiz Ibn Hajar pula menghimpunkan antara kedua-dua hadith dengan takwilan bahawa pangkalnya (akar tunjangnya) di langit keenam manakala cabang dan rantingnya (berada di langit ketujuh).

Al-Albani menambah dengan menyebutkan, pendapat yang menghimpunkan kedua-dua hadith ini (yakni dengan takwilan) dikuatkan lagi melalui riwayat Ibn Jarir daripada Qatadah secara mursal:

رُفِعَتْ لِي سِدْرَةٌ مُنْتَهَاهَا فِي السَّمَاءِ السَّابِعَةِ

Maksudnya:Sidrah diangkat/dinampakkan kepadaku penghujungnya di langit ketujuh.

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (271) dan beliau menilai hadith ini sebagai sahih mengikut syarat Imam al-Bukhari dan Muslim.

Kesimpulan dan Pendapat Terpilih

Kami cenderung kepada pendapat yang menghimpunkan antara riwayat yang menyebut Sidratul Muntaha berada di langit keenam dan ketujuh, dengan maksud pangkalnya berada di langit keenam, manakala cabang, ranting dan pucuknya pula menjulang sehingga ke langit ketujuh. Inilah pendapat yang dikemukakan oleh para ulama seperti Imam al-Nawawi dan al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani.

Di samping itu, hal ini juga kerana Sidratul Muntaha digambarkan sebagai sebuah pohon yang begitu besar dan mempunyai naungan yang panjang dan luas. Imam al-Mawardi dalam al-Nukat wa al-‘Uyun (5/396) ketika menyatakan sebab dipilih pohon Sidratul Muntaha dan bukan pohon yang lain, menyebut bahawa salah satu ciri-ciri khusus Sidratul Muntaha mempunyai naungan yang panjang lagi luas. Beliau berkata: “Sidrah memiliki tiga keistimewaan khusus: Iaitu naungan yang panjang, rasa yang lazat dan bau yang wangi. Pohon ini sama dengan keimanan yang mengumpulkan perkataan, perbuatan dan niat. Naungannya sama dengan amal pada panjang manfaatnya, rasanya sama dengan niat pada tersembunyinya dan baunya sama dengan perkataan pada nampaknya.”

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Surah al-Baqarah (201)

 

Nota kaki:

[1] Daripada Abu Hurairah R.A, sabda Rasulullah SAW:

سَيْحانُ وجَيْحانُ، والْفُراتُ والنِّيلُ كُلٌّ مِن أنْهارِ الجَنَّةِ.

Maksudnya: “Saihan, Jaihan, al-Furat dan al-Nil, semuanya daripada sungai-sungai syurga.”

Riwayat Muslim (2839)

Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan bahawa Imam al-Nawawi berkata: Dalam hadith ini, terdapat keterangan bahawa sungai Nil dan Furat berasal daripada Syurga. Keduanya keluar dari dasar Sidrah al-Muntaha. Lalu keduanya berjalan ke mana yang dikehendaki Allah. Kemudian turun ke bumi dan mengalir. Setelah itu, keduanya kembali keluar dari bumi. Peristiwa ini tidak mustahil bagi akal dan telah dikuatkan oleh makna zahir riwayat.”

Seterusnya, kata al-Hafiz Ibn Hajar: Mengenai perkataan ‘Iyadh, “Hadith tersebut menunjukkan bahawa dasar Sidrah al-Muntaha berada di bumi, kerana Baginda bersabda, ‘Nil dan Furat keluar dari dasar Sidrah al-Muntaha.’ Sedangkan kita menyaksikan keduanya keluar dari bumi. Maka ia membawa maksud, dasar Sidrah al-Muntaha berada di bumi.” Sesungguhnya kenyataan ini terbuka untuk dikritik. Kerana maksud keduanya keluar dari dasar Sidrah berbeza dengan keluar dari bumi. Ringkasnya, pada awalnya, keduanya keluar dari dasar Sidrah al-Muntaha, kemudian berjalan hingga menetap di bumi, setelah itu muncul di bumi.

Hadith ini dijadikan dalil tentang keutamaan air sungai Nil dan Furat kerana sumbernya dari syurga. Demikian juga dengan sungai Saihan dan Jaihan. Al-Qurtubi berkata, “Barangkali sebab keduanya tidak disebut dalam hadith Isra’, adalah kerana tidak berasal langsung dari Syurga, bahkan mungkin hanya bercabang dari sungai Nil dan Furat.” Kata beliau lagi, “Menurut sebahagian, dikatakannya sungai-sungai ini dari syurga hanya sekadar penyerupaan dengan sungai-sungai syurga, kerana airnya sangat nikmat, bagus dan berkah. Namun, pendapat yang pertama lebih tepat.” (Lihat Fath al-Bari, 19/332)

Leave a Reply