Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah perbezaan antara Arasy Tuhan dan Kursiy-Nya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan ini, Arasy adalah lebih besar daripada Kursiy. Arasy adalah makhluk yang paling besar, di atasnya Tuhan kita bersemayam sesuai dengan keagungan-Nya. Arasy memiliki tiang yang dipikul oleh para pemikul daripada kalangan malaikat yang besar penciptaannya. Justeru, Arasy dan Kursiy adalah dua makhluk yang berbeza.

Daripada Ibn Ma‘sud R.A, katanya:

بَيْنَ السَّمَاءِ الدُّنْيَا وَالَّتِي تَلِيهَا خَمْسُمِائَةِ عَامٍ، وَبَيْنَ كُلِّ سَمَاءٍ خَمْسُمِائَةِ عَامٍ، وَبَيْنَ السَّابِعَةِ وَبَيْنَ الْكُرْسِيِّ خَمْسُمِائَةِ عَامٍ، وَبَيْنَ الْكُرْسِيِّ وَبَيْنَ الْمَاءِ خَمْسُمِائَةِ عَامٍ، وَالْعَرْشُ فَوْقَ الْمَاءِ، وَاللَّهُ فَوْقَ الْعَرْشِ، وَلَا يَخْفَى عَلَيْهِ شَيْءٌ مِنْ أَعْمَالِكُمْ.

Maksudnya: Antara langit dunia dengan langit berikutnya berjarak lima ratus tahun. Dan jarak antara setiap langit sejauh lima ratus tahun (perjalanan). Antara langit ketujuh dengan Kursiy berjarak lima ratus tahun. Manakala jarak antara Kursiy dengan air sejauh lima ratus tahun. Arasy berada di atas air, sedangkan Allah berada di atas Arasy. Tidak ada yang tersembunyi bagi-Nya amalan-amalan kamu semua.

Riwayat Ibn Khuzaimah dalam Sahihnya (105) dan Kitab al-Tauhid (594) dan al-Baihaqi dalam al-Asma’ wa al-Sifat (852). Riwayat ini disahihkan oleh al-Zahabi dalam kitab al-‘Uluw (hlm. 64) dan Ibn al-Qayyim dalam Ijtima’ al-Juyusy al-Islamiyyah (hlm. 100). Lihat juga Fath al-Bari (13/413), Irsyad al-Sari (10/394) dan Umdah al-Qari (25/116).

Syeikh Ibn al-‘Uthaimin berkata: “Hadith ini mauquf, hanya sampai kepada Ibn Mas‘ud. Akan tetapi, ini termasuk perkara yang tidak mungkin disimpulkan oleh akal. Maka riwayat ini dihukumkan sebagai marfu’ (sampai dan bersumberkan daripada Rasulullah SAW), kerana Ibn Mas’ud tidak dikenali suka mengambil riwayat Israiliyyat.” (Lihat al-Qaul al-Mufid Syarah Kitab al-Tauhid, 3/379).

Berdasarkan riwayat di atas juga, dapat disimpulkan beberapa pelajaran, iaitu:

  • Kursiy lebih besar dibandingkan langit
  • Arasy lebih besar daripada Kursiy
  • Arasy bukan Kursiy dan Air. (Lihat Syarh Kitab al-Tauhid, hlm. 668).

Arasy Allah merupakan makhluk Allah yang paling agung, mulia, besar dan luas. Allah SWT berfirman:

‏ فَتَعَالَى اللَّهُ الْمَلِكُ الْحَقُّ ۖ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْكَرِيمِ

Maksudnya:Maka (dengan yang demikian) Maha Tinggilah Allah Yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Tetap Benar; tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang mulia.”

(Surah al-Mukminun: 116)

Al-Syaukani berkata: Disifatkan Arasy dengan kemuliaan adalah kerana turunnya rahmat dan kebaikan dari Arasy. Atau kerana istiwa’-nya Allah di atas Arasy, sebagaimana dikatakan, ‘بَيْتٌ كَرِيمٌ’ (rumah yang mulia), apabila para penghuninya orang-orang yang mulia. (Lihat Fath al-Qadir, 7/741)

Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili berkata: Allah SWT adalah Tuhan yang Memiliki ‘Arasy yang agung, indah, megah, yang menjadi pusat dalam mengatur dan menjalankan sistem alam semesta dengan hikmah, maksud dan tujuan yang agung. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 9/382)

Allah SWT berfirman:

وَهُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ

Maksudnya:Dan Dia lah yang mempunyai Arasy yang besar.”

(Surah al-Taubah: 129)

Al-Tabari berkata: Allah SWT menjadi penguasa semua yang lebih kecil daripada Arasy itu, dan semua raja adalah hamba bagi-Nya. Allah mengkhabarkan dirinya sebagai Tuhan Arasy yang agung sebagai isyarat bahawa yang lebih kecil daripada Arasy juga berada dalam kekuasaan-Nya. Singgahsana yang agung biasanya hanya dimiliki oleh para raja, maka Allah menyifatkan diri-Nya dengan pemilik Arasy, dan tidak ada makhluk lain yang memilikinya. Bahkan seluruh makhluk itu adalah milik-Nya, yang mesti tunduk pada hukum dan ketetapan yang Dia turunkan.” (Lihat Jami’ al-Bayan, 13/409)

Ibn Kathir berkata: Bahawa Dia adalah pemilik segala sesuatu dan Penciptanya. Kerana Dia pemilik Arasy yang agung, yang menaungi seluruh makhluk. Seluruh makhluk di langit dan di bumi serta apa yang terdapat di dalamnya dan di antara keduanya berada di bawah Arasy dan berada di bawah kekuasaan Allah SWT. Ilmu-Nya meliputi segala sesuatu, dan kekuasaan-Nya terlaksana terhadap segala sesuatu. Dia adalah pelindung atas segala sesuatu.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/405).

Allah SWT berfirman:

ذُو الْعَرْشِ الْمَجِيدُ

Maksudnya: Tuhan yang mempunyai Arasy yang tinggi kemuliaannya.”

(Surah al-Buruj: 15)

Ibn Kathir berkata: Maksudnya adalah pemilik Arasy yang agung di atas seluruh makhluk. Manakala ‘الْمَجِيدُ’ (yang mulia), padanya terdapat dua qira’at (wajah bacaan); Dengan rafa’ iaitu baris depan (الْمَجِيدُ’) bermakna ia adalah sifat bagi Allah Azza wa Jalla. Dengan jar iaitu baris bawah (الْمَجِيدِ’) bermakna ia adalah sifat bagi Arasy. Kedua-dua makna ini adalah benar.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/474). Justeru maksud الْمَجِيدُ’ adalah yang luas dan agung kedudukannya.

Daripada Abu Sa‘id R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

النَّاسُ يَصْعَقُونَ يَوْمَ القِيَامَةِ، فَأَكُونُ أَوَّلَ مَنْ يُفِيقُ، فَإِذَا أَنَا بِمُوسَى آخِذٌ بِقَائِمَةٍ مِنْ قَوَائِمِ العَرْشِ، فَلاَ أَدْرِي أَفَاقَ قَبْلِي أَمْ جُوزِيَ بِصَعْقَةِ الطُّورِ.

Maksudnya: Manusia akan pengsan pada hari kiamat. Aku ialah orang pertama yang akan sedar. Tetapi ternyata Musa sedang berpegang pada salah satu tiang ‘Arasy. Aku tidak tahu adakah dia sedar sebelumku, atau dia dicukupkan oleh Allah SWT daripada pengsan pada hari kiamat dengan pengsannya dia ketika peristiwa di bukit Tursina.”

Riwayat al-Bukhari (2411; 3398; 3408; 4638; 6917; 7472)

Arasy memiliki para pemikul yang membawanya. Allah SWT berfirman:

الَّذِينَ يَحْمِلُونَ الْعَرْشَ وَمَنْ حَوْلَهُ يُسَبِّحُونَ بِحَمْدِ رَبِّهِمْ وَيُؤْمِنُونَ بِهِ وَيَسْتَغْفِرُونَ لِلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا وَسِعْتَ كُلَّ شَيْءٍ رَّحْمَةً وَعِلْمًا فَاغْفِرْ لِلَّذِينَ تَابُوا وَاتَّبَعُوا سَبِيلَكَ وَقِهِمْ عَذَابَ الْجَحِيمِ

Maksudnya:Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji Tuhan-Nya; dan beriman kepadaNya; serta mereka memohon ampun bagi orang-orang yang beriman (dengan berdoa merayu): ‘Wahai Tuhan kami! Rahmat-Mu dan Ilmu-Mu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta menurut jalanMu, dan peliharalah mereka dari azab neraka.’”

(Surah Ghafir: 7)

Al-Tabari berkata: Maksudnya adalah para malaikat yang memikul Arasy Allah dan para malaikat yang berada di sekeliling Arasy, iaitu para malaikat yang mengelilinginya. Mereka memanjatkan doa dengan memuji dan bersyukur kepada-Nya. Mereka menyatakan kepada Allah bahawa tiada tuhan bagi mereka selain Allah. Mereka bersaksi akan hal itu, tidak angkuh serta beribadah kepada-Nya. (Lihat Jami’ al-Bayan, 22/485)

Ibn Kathir berkata: Malaikat pemikul Arasy berjumlah lapan, berdasarkan firman Allah SWT: ‘وَالْمَلَكُ عَلَىٰ أَرْجَائِهَا ۚ وَيَحْمِلُ عَرْشَ رَبِّكَ فَوْقَهُمْ يَوْمَئِذٍ ثَمَانِيَةٌ ‎’ (Sedang malaikat-malaikat (ditempatkan) mengawal segala penjurunya, dan Arasy Tuhanmu pada saat itu dipikul oleh lapan malaikat di atas malaikat-malaikat yang mengawal itu.) [Surah al-Haqqah: 17] (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 5/663)

Mereka adalah makhluk yang besar. Daripada Jabir bin Abdillah, bahawa Nabi SAW bersabda:

أُذِنَ لِي أَنْ أُحَدِّثَ عَنْ مَلَكٍ مِنْ مَلاَئِكَةِ اللَّهِ مِنْ حَمَلَةِ الْعَرْشِ إِنَّ مَا بَيْنَ شَحْمَةِ أُذُنِهِ إِلَى عَاتِقِهِ مَسِيرَةُ سَبْعِمِائَةِ عَامٍ.

Maksudnya: “Aku telah diizinkan untuk menyampaikan tentang para malaikat Allah pembawa Arasy. Sesungguhnya antara daun telinga dan lehernya berjarak tujuh ratus tahun.”

Riwayat Abu Dawud (4727), al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Ausat (1709) dan Abu al-Syeikh dalam al-‘Azamah (476). Hadith ini dinyatakan oleh Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari (8/665) bahawa sanadnya berdasarkan syarat yang sahih. Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij Syarh al-Tahawiyyah (368) menyatakan, hadith ini sanadnya adalah sahih.

Arasy di atas Kursiy, bahkan di atas seluruh makhluk. Ibn al-Qayyim berkata: “Kerana itu, ketika langit meliputi bumi, dia berada di atasnya. Ketika Kursiy meliputi langit, maka dia berada di atasnya (langit). Ketika Arasy meliputi Kursiy, maka dia berada di atasnya (Kursiy).” (Lihat al-Sowa’iq al-Mursalah, 4/1308).

Berkenaan Kursiy, Allah SWT berfirman:

وَسِعَ كُرْسِيُّهُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ

Maksudnya:Luasnya Kursiy Allah meliputi langit dan bumi.”[1]

(Surah al-Baqarah: 255)

Ada yang mengatakan bahawa Kursiy adalah Arasy. Tetapi yang benar adalah bahawa ia bukanlah Arasy. Hal ini dinukilkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma dan selainnya. Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, berkenaan firman Allah SWT, ‘وَسِعَ كُرْسِيُّهُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ’, katanya:

الْكُرْسِيُّ مَوْضِعُ الْقَدَمَيْنِ، وَالْعَرْشُ لَا يَقْدِرُ قَدْرَهُ إِلَّا اللَّهُ تَعَالَى

Maksudnya: “Kursiy adalah tempat dua kaki, sedangkan Arasy tidak ada yang dapat memperkirakan ukurannya kecuali Allah SWT.”

Ibn Abi Syaibah meriwayatkan dalam Sifat al-Arsy dan al-Hakim dalam al-Mustadrak, katanya: “Riwayat ini berdasarkan syarat Imam al-Bukhari dan Muslim, namun keduanya tidak meriwayatkannya.” Ada yang mengatakan bahawa hadith ini diriwayatkan secara marfu’ (periwayatannya sampai kepada Nabi). Yang benar adalah bahawa ia mauquf (periwayatannya sampai kepada sahabat) Ibn Abbas. (Lihat Syarh al-‘Aqidah al-Tahawiyyah oleh Ibn Abi al-‘Izz, 2/369).

Abu Zar R.A berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَا الْكُرْسِيُّ فِي الْعَرْشِ إِلَّا كَحَلْقَةٍ مِنْ حَدِيدٍ أُلْقِيَتْ بَيْنَ ظَهْرَيْ فَلَاةٍ مِنَ الْأَرْضِ

Maksudnya:Tidaklah Kursiy dibandingkan Arasy kecuali bagaikan cincin yang dilempar di atas padang yang luas di muka bumi.”

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Asma’ wa al-Sifat (510), Abu al-Syeikh dalam al-‘Azamah (2/587) dan Ibn Jarir al-Tabari dalam Jami‘ al-Bayan (4/539).

Seperti yang dinyatakan oleh lebih daripada seorang salaf:

إِنَّ الْكُرْسِيَّ بَيْنَ يَدَيِ الْعَرْشِ كَالْمِرَقَاةِ إِلَيْهِ.

Maksudnya: “Kursiy di hadapan Arasy adalah bagaikan tangga kepadanya.” (Lihat Syarh al-Aqidah al-Tahawiyyah oleh Ibn Abi al-‘Izz, 2/370-371; al-Bidayah wa al-Nihayah, 1/25) (Lihat juga al-Islam Su’al wa Jawab, fatwa no. 9566).

Kami akhiri dengan:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

 

Nota kaki:

[1] Al-Tabari berkata: Para pentakwil berbeza pendapat tentang makna ‘الْكُرْسِيّ’, yang Allah SWT beritahukan dalam ayat ini bahawa luasnya itu seluas langit dan bumi. Sebahagian mereka mengatakan: Itu adalah ilmu Allah. Manakala sebahagian ulama’ lain berpendapat, makna ‘الْكُرْسِيّ’ adalah tempat kedua kaki. Setiap pendapat tersebut memiliki dalil dan pandangan, akan tetapi pendapat yang paling tepat dalam pentakwilan ayat ini, hadith Rasulullah SAW sebagai berikut:

أَتَتِ امْرَأَةٌ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَتِ: ادْعُ اللَّهَ أَنْ يُدْخِلَنِي الْجَنَّةَ فَعَظَّمَ الرَّبَّ تَعَالَى ذِكْرُهُ، ثُمَّ قَالَ: «إِنَّ كُرْسِيَّهُ وَسِعَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ، وَإِنَّهُ لِيَقْعُدُ عَلَيْهِ فَمَا يَفْضُلُ مِنْهُ مِقْدَارُ أَرْبَعِ أَصَابِعَ» ثُمَّ قَالَ بِأَصَابِعِهِ فَجَمَعَهَا: «وَإِنَّ لَهُ أَطِيطًا كَأَطِيطِ الرَّحْلِ الْجَدِيدِ إِذَا رُكِبَ مِنْ ثِقَلِهِ

Maksudnya: Seorang wanita datang kepada Nabi SAW lalu berkata: “Berdoalah kepada Allah agar aku dimasukkan ke dalam syurga!” Maka Nabi mengagungkan Allah, kemudian bersabda: “Sungguh, luas kursi-Nya itu meliputi langit dan bumi. Dia duduk di atasnya dan tidak lebih dari hanya seukuran empat jari.” Kemudian Nabi SAW mengisyaratkan dengan jari-jari tangan dan merapatkannya: “Ia (Kursi) mempunyai bunyi seperti bunyi pelana kuda baru apabila dinaiki bebannya.”

Pendapat yang paling sesuai dengan zahir ayat adalah pendapat Ibn Abbas, yang diriwayatkan oleh Ja’far bin Abi al-Mughirah, daripada Sa’id bin Jubair, daripada Ibn ‘Abbas, katanya: “Iaitu ilmu Allah.” Pendapat ini selaras dengan firman-Nya, “Dan Allah tidak merasa berat memelihara keduanya,” bahawa memang seperti itu, Allah memberitahu bahawasanya Dia tidak merasa berat menjaga segala sesuatu yang diketahui dan pengetahuan-Nya meliputi semua yang ada di langit dan di bumi, sebagaimana Allah memberitakan tentang para malaikat-Nya yang berkata dalam doanya: “Ya Tuhan kami, rahmat dan ilmu Engkau meliputi segala sesuatu.” [Surah Ghafir: 7] Allah SWT memberitahu bahawa ilmu-Nya meliputi segala sesuatu, maka seperti itu maksud firman-Nya: “Kursi Allah meliputi langit dan bumi.”

Abu Ja’far berkata: Makna asal perkataan ‘الْكُرْسِيّ’ adalah ilmu. Ada yang mengatakan, maknanya lembaran yang di dalamnya tertulis ilmu pengetahuan disebut ‘كَرَّاسَةٌ’, seperti perkataan al-Rajiz dalam menggambarkan seorang pemburu: ‘حَتَّى إِذَا مَا احْتَازَهَا تَكَرَّسَا’ (Hingga apabila dia memperolehnya, dia kumpulkan). Maksudnya mengetahui. Dan dari makna ini, para ulama’ disebut: ‘الْكَرَاسِيُّ’ kerana mereka sebagai tempat bersandar, sebagaimana dikatakan: Mereka sebagai pasak-pasak bumi, maksudnya dengan sebab para ulama’, bumi menjadi baik. (Lihat Jami’ al-Bayan, 4/432)

Leave a Reply