Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Mengapa Allah SWT berfirman: ‘وَكَانَ عَرْشُهُ عَلَى الْمَاءِ’ (dan adalah Arasy-Nya (sebelum itu) berada di atas air,) (Surah Hud: 7). Justeru, bukankah Arasy Allah di atas air hingga sekarang?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan ini, kami nukilkan terlebih dahulu firman Allah SWT tersebut:

وَهُوَ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ وَكَانَ عَرْشُهُ عَلَى الْمَاءِ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا

Maksudnya: Dan Dialah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, dan adalah Arasy-Nya (sebelum itu) berada di atas air, agar Dia menguji siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya.”

(Surah Hud: 7)

Ini merupakan berita daripada Allah SWT bahawa Arasy-Nya dahulu di atas air, sebelum diciptakannya matahari dan bumi, serta apa yang ada di dalamnya. Qatadah berkata: “Tuhan kamu menjelaskan kepada kamu bagaimana awal penciptaan sebelum diciptakannya matahari dan bumi.” (Lihat Jami‘ al-Bayan, 15/246).

Diriwayatkan daripada ‘Imran bin Husain R.A, bahawa segolongan orang dari Yaman bertanya kepada Nabi SAW, “Kami bertanya kepadamu tentang perkara ini.” Baginda SAW bersabda:

كَانَ اللَّهُ وَلَمْ يَكُنْ شَيْءٌ غَيْرُهُ، وَكَانَ عَرْشُهُ عَلَى المَاءِ، وَكَتَبَ فِي الذِّكْرِ كُلَّ شَيْءٍ، وَخَلَقَ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ

Maksudnya: “Allah sedia wujud tanpa permulaan, dan tiada yang wujud sebelum daripada-Nya. Dahulu, Arasy-Nya berada di atas air. Dia menuliskan segala ketetapan pada al-Zikr (Lauh Mahfuz), dan Dia menciptakan langit dan bumi.”

Riwayat al-Bukhari (3191)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Pada hadith ini terdapat dalil bahawa tidak ada sesuatu selain Allah, sama ada air atau Arasy mahupun selain keduanya. Kerana semua itu termasuk selain Allah. Adapun makna kalimat ” وَكَانَ عَرْشُهُ عَلَى الْمَاءِ” (Dan arasy-Nya berada di atas air) adalah bahawa Allah lebih dahulu menciptakan air, lalu Dia menciptakan Arasy di atas air tersebut.

Al-Tibi berkata: Hal ini memiliki perbahasan tersendiri; kerana sesuatu yang dikatakan qadim adalah yang tidak didahului oleh apa pun, dan tidak pula disaingi. Akan tetapi kalimat ‘Arasy-Nya di atas air’, merupakan isyarat bahawa air dan Arasy merupakan permulaan alam, kerana keduanya diciptakan sebelum penciptaan langit dan bumi, dan tidak ada sesuatu di bawah Arasy ketika itu selain air.

Al-Hafiz Ibn Hajar kemudian berkata: Kesimpulannya, bahawa makna umum ‘Arasy-Nya di atas air’ dibataskan oleh kalimat ‘Dan tidak ada sesuatu selain-Nya’. Maka keberadaan Allah adalah dari segi azaliyah (yakni ada tanpa permulaan) dan keberadaan Arasy dan air adalah dari segi huduth (yakni ada setelah sebelumnya tidak ada). (Lihat Fath al-Bari, 9/473).

Ayat dan hadith di atas hanyalah khabar tentang awal penciptaan dan bahawa Arasy Allah telah berada di atas air sebelum penciptaan langit dan bumi. Hal tersebut tidak bererti menafikan keberadaan Arasy Allah masih tetap berada di atas air.

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ يَمِينَ اللَّهِ مَلْأَى لاَ يَغِيضُهَا نَفَقَةٌ، سَحَّاءُ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ، أَرَأَيْتُمْ مَا أَنْفَقَ مُنْذُ خَلَقَ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ، فَإِنَّهُ لَمْ يَنْقُصْ مَا فِي يَمِينِهِ، وَعَرْشُهُ عَلَى المَاءِ، وَبِيَدِهِ الأُخْرَى الفَيْضُ – أَوِ القَبْضُ – يَرْفَعُ وَيَخْفِضُ

Maksudnya: “Sesungguhnya pemberian dan kurniaan Allah SWT selalu penuh (banyak), tidak pernah kurang kerana pemberian sepanjang malam dan siang. Tidakkah kalian lihat apa yang telah Allah berikan sejak Allah menciptakan langit dan bumi? Sesungguhnya itu tidak mengurangkan apa yang ada di tangan kanan-Nya. Dan Arasy-Nya berada di atas air, dan di tangan-Nya yang lain ada pemberian – atau genggaman – yang Dia naikkan dan turunkan.”

Riwayat al-Bukhari (7419) dan Muslim (1659)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Terdapat dalam riwayat Ishaq bin Rahawaih, ‘وَالْعَرْش عَلَى الْمَاء’ (Arasy ada di atas air). Zahir nas tersebut menunjukkan bahawa demikianlah keadaannya sejak diciptakan. Manakala zahir hadith sebelumnya bahawa Arasy di atas air sebelum penciptaan langit dan bumi. Dengan demikian, dapat dihimpunkan bahawa Arasy masih tetap berada di atas air. (Lihat Fath al-Bari, 20/496).

Maka, lafaz ‘كان’ (dahulu) dalam ayat tersebut adalah untuk mengkhabarkan tentang masa lalu, sebelum diciptakan langit dan bumi. Manakala hadith Rasulullah SAW dalam hadith yang lain, ‘وَعَرْشُهُ عَلَى المَاءِ’ (Arasy-Nya berada di atas air) bahawa ia masih tetap demikian keadaannya. (Lihat juga al-Islam Su’al wa Jawab, fatwa no. 146779)

Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

Leave a Reply