Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Nabi SAW melihat neraka ketika Isra’ Mi’raj? Boleh Dato’ ceritakan apa yang dilihat oleh Nabi SAW?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Di sana terdapat riwayat Huzaifah bin al-Yaman R.A yang memberi gambaran bahawa Baginda SAW dan Jibril AS melihat syurga dan neraka selepas dibuka pintu-pintu langit. Sesungguhnya Zir bin Hubaisy — dan dia merupakan salah seorang kibar al-Tabi‘in — ada meriwayatkan daripada Huzaifah R.A bahawa Nabi SAW:

أُتِيَ بِالْبُرَاقِ، وَهُوَ دَابَّةٌ أَبْيَضُ طَوِيلٌ، يَضَعُ حَافِرَهُ عِنْدَ مُنْتَهَى طَرْفِهِ، قَالَ: فَلَمْ يُزَايِلْ ظَهْرَهُ هُوَ وَجِبْرِيلُ حَتَّى أَتَيَا بَيْتَ الْمَقْدِسِ، وَفُتِحَتْ لَهُمَا أَبْوَابُ السَّمَاءِ، وَرَأَيَا الْجَنَّةَ وَالنَّارَ،

Maksudnya:Dibawakan Buraq, dan ia seekor binatang yang berwarna putih dan panjang. Satu langkah kakinya berada di hujung pandangannya.” Beliau berkata: “Baginda dan Jibril tetap berada di belakangnya sehinggalah kedua-duanya sampai di Baitul Maqdis, dibukakan untuk kedua-duanya pintu-pintu langit, dan kedua-duanya melihat syurga dan neraka.”

Riwayat Ahmad (23343); Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij al-Musnad (38/369) menilai sanadnya sebagai hasan disebabkan oleh ‘Asim bin Bahdalah. Manakala baki perawinya adalah thiqah dan merupakan perawi kitab al-Sahih.

Nabi SAW Melihat Nabi Musa, ‘Isa, Malik Penjaga Neraka dan Dajjal

Selain itu juga, terdapat beberapa hadith yang menceritakan bahawa Rasulullah SAW melihat malaikat penjaga neraka dan orang-orang yang diazab di dalamnya. Hal ini sebagaimana riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

رَأَيْتُ لَيْلَةَ أُسْرِيَ بِي مُوسَى رَجُلًا آدَمَ طُوَالًا جَعْدًا، كَأَنَّهُ مِنْ رِجَالِ شَنُوءَةَ، وَرَأَيْتُ عِيسَى رَجُلًا مَرْبُوعًا، مَرْبُوعَ الخَلْقِ إِلَى الحُمْرَةِ وَالبَيَاضِ، سَبِطَ الرَّأْسِ، وَرَأَيْتُ مَالِكًا خَازِنَ النَّارِ، وَالدَّجَّالَ فِي آيَاتٍ أَرَاهُنَّ اللَّهُ إِيَّاهُ، فَلاَ تَكُنْ فِي مِرْيَةٍ مِنْ لِقَائِهِ.

Maksudnya: “Pada malam Isra’, aku melihat Nabi Musa AS yang berkulit sawo matang, tinggi dan rambutnya kerinting seolah-olah Baginda daripada pemuda Syanu’ah (qabilah daripada Qahtan). Aku juga melihat Nabi Isa AS sebagai seorang yang sederhana tingginya, mempunyai warna kulit yang sederhana antara merah dan putih, serta تاريخ الطب الاسلاميberambut lurus. Aku melihat pula malaikat Malik penjaga neraka serta Dajjal. Semuanya merupakan tanda-tanda yang diperlihatkan Allah kepadaku: ‘Janganlah engkau berada dalam keraguan untuk bertemu dengan-Nya.’

Riwayat al-Bukhari (3239)

Balasan Terhadap Pemidato yang Lupa Diri

Begitu juga terdapat riwayat yang menceritakan bahawa Nabi SAW melihat sekumpulan lelaki diazab dengan dipotong lidah dan bibir mereka dengan menggunakan gunting daripada neraka. Hal ini sebagaimana riwayat daripada Anas R.A, Rasulullah SAW bersabda:

أَتَيْتُ عَلَى سَمَاءِ الدُّنْيَا لَيْلَةَ أُسْرِيَ بِي، فَرَأَيْتُ فِيهَا رِجَالًا تُقْطَعُ أَلْسِنَتُهُمْ وِشِفَاهُهُمْ بِمَقَارِيضَ مِنْ نَارٍ، فَقُلْتُ: يَا جِبْرِيلُ، مَا هَؤُلَاءِ؟، قَالَ: هَؤُلَاءِ خُطَبَاءُ مِنْ أُمَّتِكَ

Maksudnya: Aku datang ke langit dunia pada malam aku diperjalankan (isra’), lalu aku melihat di dalamnya terdapat sekumpulan lelaki yang dipotong lidah-lidah mereka dan bibir-bibir mereka dengan gunting daripada neraka. Maka aku bertanya: ‘Wahai Jibril, siapakah mereka?’ Jibril menjawab: ‘Mereka ialah orang yang pandai bercakap dalam kalangan umatmu.’

Riwayat Abu Ya‘la dalam Musnadnya (4160); Husain Salim Asad (pentahqiq kitab ini) menilainya sebagai sahih.

Dalam riwayat Ahmad ada dinyatakan sebab mereka mendapat balasan sedemikian rupa. Hal ini sebagaimana riwayat daripada Anas bin Malik, R.A, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

رَأَيْتُ لَيْلَةَ أُسْرِيَ بِي رِجَالًا تُقْرَضُ شِفَاهُهُمْ بِمَقَارِيضَ مِنْ نَارٍ، فَقُلْتُ: يَا جِبْرِيلُ مَنْ هَؤُلَاءِ؟ قَالَ: هَؤُلَاءِ خُطَبَاءُ مِنْ أُمَّتِكَ، يَأْمُرُونَ النَّاسَ بِالْبِرِّ، وَيَنْسَوْنَ أَنْفُسَهُمْ، وَهُمْ يَتْلُونَ الْكِتَابَ أَفَلَا يَعْقِلُونَ

Maksudnya:Aku melihat pada malam aku diperjalankan (isra’), sekumpulan lelaki yang dipotong bibir-bibir mereka dengan gunting daripada neraka. Maka aku bertanya: ‘Wahai Jibril, Siapakah mereka?’ Jibril menjawab: ‘Mereka ialah orang yang pandai bercakap dalam kalangan umatmu. Mereka menyuruh orang ramai melakukan kebaikan, tetapi mereka melupakan diri mereka sendiri. Walhal mereka membaca al-Quran. Justeru, mengapa mereka tidak mahu memikirkannya?’

Riwayat Ahmad dalam Musnadnya (13515 dan 13421); Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij al-Musnad (21/159 dan 21/104) menilai hadith ini adalah sahih, tetapi sanadnya adalah dha‘if disebabkan oleh Ali bin Zaid iaitu Ibn Jud‘an dinilai sebagai perawi yang lemah.

Al-Mulla Ali al-Qari dalam Mirqah al-Mafatih (8/3221) menyatakan lafaz “تُقْرَضُ” dalam hadith di atas bermaksud dipotong, manakala lafaz “مَقَارِيضَ” pula adalah kata jamak kepada perkataan “مِقْرَاضٍ” iaitu sejenis alat pemotong yang dikenali. Seterusnya orang yang dimaksudkan dalam lafaz “خُطَبَاءُ أُمَّتِكَ” ialah para penceramah, pemberi peringatan dan masyayikh mereka, mereka menyuruh orang ramai melakukan kebaikan tetapi mereka melupakan diri mereka sendiri. Hal ini adalah sebagaimana firman Allah SWT:

أَتَأْمُرُونَ النَّاسَ بِالْبِرِّ وَتَنسَوْنَ أَنفُسَكُمْ وَأَنتُمْ تَتْلُونَ الْكِتَابَ ۚ أَفَلَا تَعْقِلُونَ

Maksudnya:Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?”

(Surah al-Baqarah: 44)

Selain itu, dalam hadith di atas juga mengandungi ancaman keras bagi sesiapa yang mengajak dan menyeru orang lain kepada kebaikan, tetapi dia sendiri tidak melakukannya. Lafaz “تُقْرَضُ شِفَاهُهُمْ بِمَقَارِيضَ مِنْ نَارٍ” menunjukkan bahawa ia termasuk dalam dosa-dosa besar. (Lihat Syarh Sahih Ibn Hibban oleh al-Rajihi, 3/11).

Balasan Kepada Mereka yang Memfitnah

Begitu juga terdapat riwayat yang menceritakan bahawa Nabi SAW melihat pada malam Isra’ tersebut suatu kaum yang mencakar muka dan dada mereka sendiri dengan kuku daripada tembaga. Hal ini sebagaimana riwayat daripada Anas bin Malik R.A, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

لَمَّا عَرَجَ بِي رَبِّي مَرَرْتُ بِقَوْمٍ لَهُمْ أَظْفَارٌ مِنْ نُحَاسٍ، يَخْمُشُونَ وُجُوهَهُمْ وَصُدُورَهُمْ. فَقُلْتُ: مَنْ هَؤُلَاءِ يَا جِبْرِيلُ؟ قَالَ: هَؤُلَاءِ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ لُحُومَ النَّاسِ، وَيَقَعُونَ فِي أَعْرَاضِهِمْ

Maksudnya:Ketika mana aku dimi‘rajkan oleh Tuhanku, aku melewati suatu kaum yang mempunyai kuku daripada tembaga. Mereka mencakar muka-muka dan dada-dada mereka. Maka aku bertanya: ‘Siapakah mereka, wahai Jibril?’ Jibril menjawab: ‘Mereka ialah orang yang memakan daging-daging manusia dan masuk campur dalam urusan maruah mereka.’

Riwayat Ahmad (13340) dan Abu Dawud (4878); Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij al-Musnad (21/53) menilai sanadnya sebagai sahih mengikut syarat Imam Muslim daripada jalur ‘Abd al-Rahman bin Jubair. Adapun mutaba‘ahnya pula iaitu Rasyid bin Sa‘ad termasuk dalam perawi Ashab al-Sunan dan dia seorang yang dinilai thiqah. Begitu juga Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij Sunan Abi Dawud (7/240) menilai sanadnya sebagai sahih daripada jalur Abu al-Mughirah iaitu ‘Abd al-Qudus bin al-Hajjaj.

Al-Mulla Ali al-Qari menyebutkan, lafaz “Mereka memakan daging-daging manusia” adalah merujuk kepada perbuatan mereka mengumpat kaum Muslimin. Ketika mana perbuatan mencakar muka dan dada termasuk dalam ciri atau sifat kaum wanita yang meratap, Allah SWT menjadikan kedua-dua perbuatan tersebut sebagai balasan (hukuman) bagi mereka yang mengumpat dan campur tangan (meremehkan) dalam urusan kaum Muslimin sebagai satu pemberitahuan bahawasanya kedua-dua perbuatan tersebut bukan daripada sifat atau ciri kaum lelaki. Sebaliknya ia daripada sifat atau ciri kaum wanita yang paling buruk keadaannya dan paling hodoh rupa bentuknya. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 8/3158).

Justeru, berdasarkan kepada riwayat-riwayat yang disebutkan di atas, jelas menunjukkan bahawa Nabi SAW melihat neraka dan sebahagian orang yang diazab di dalamnya. Wallahu a‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Leave a Reply