Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah dengan sedekah, Allah akan menyembuhkan hambanya? Boleh dato kongsikan satu kisah berkaitannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Sedekah

Sedekah pada bahasa bermaksud kebenaran atau pemberian ikhlas dari hati yang bersih. Manakala pada istilah pula, ulama’ menyebut sebagai pemberian semata-mata untuk mendekatkan kepada Allah dan mencari keredhaan Allah SWT. Hal ini selaras dengan firman Allah SWT:

إِن تُبْدُوا الصَّدَقَاتِ فَنِعِمَّا هِيَ ۖ وَإِن تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا الْفُقَرَاءَ فَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۚ وَيُكَفِّرُ عَنكُم مِّن سَيِّئَاتِكُمْ ۗ وَاللَّـهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

Maksudnya: “Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

(Surah al-Baqarah: 271)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Jika kamu mengeluarkan derma secara terbuka, maka cara seperti itu adalah lebih baik kerana ia akan menjadi teladan yang baik kepada orang lain, sehingga ada antara mereka yang akan menirunya. Di samping itu, zakat menjadi salah satu sendi ajaran Islam yang andaikata jika dia lakukan dengan sembunyi-sembunyi, maka orang yang enggan mengeluarkannya akan berasa bimbang untuk melakukannya. Tetapi jika kamu memberi kepada orang fakir secara diam-diam, maka itulah yang terbaik kerana ia dapat menjauhkan diri dari sifat riyak, bahkan sejajar dengan keterangan dalam hadith-hadith dan contoh-contoh perbuatan sahabat.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/620).

Menjawab persoalan di atas, hakikatnya banyak kisah-kisah teladan berkenaan kelebihan sedekah. Maka, antara yang boleh kami kongsikan ialah:

Kisah Sedekah Penyembuh kepada Sihir

Diceritakan di dalam kitab Min ‘Ajaibi al-Sadaqah oleh Khalid bin Sulaiman al-Rib’ie, hlm. 57:

Di satu tempat, beberapa wanita sedang berbincang-bincang tentang keajaiban sedekah. Ketika para wanita itu membicarakan tentang keutamaan sedekah, tiba-tiba salah seorang wanita yang ada di antara mereka (yang ketika itu sedang menderita kerana terkena sihir) membuka rantainya yang mahal yang sedang dipakainya. Rantai itu kemudian dia berikan kepada salah seorang kawannya untuk dijual dan hasil daripada jualan itu disedekahkan kepada keluarga-keluarga yang miskin.

Ketika kawannya tersebut pergi ke tempat penjual emas, penjual itu ingin menimbangnya, maka penjual itu pun mengeluarkan batu perhiasan yang terletak di tengah rantai tersebut. Penjual itu kehairanan dan kebingungan dengan apa yang dilihatnya, kerana ketika dia memeriksa batu itu dengan teliti didapati ada buhul sihir di dalam mata batu perhiasan rantai itu. Penjual itu kemudian mengeluarkannya, dan alhamdulillah, akhirnya sembuhlah perempuan pemilik rantai tersebut dari penyakit yang selama ini dideritainya.

Untuk maklumat lanjut berkenaan keajaiban sedekah, kami ada menerbitkan sebuah buku bertajuk, “Keajaiban Sedekah.”  Jika anda berminat untuk mengetahui tentang hebatnya sedekah, pandangan ulama tentangnya, kisah-kisah menarik berkenaan sedekah, anda boleh tekan di link bawah:

https://pck.onpay.my/order/form/Azamramadhan/188

Akhir kalam, Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ أَعْمَالَنَا كُلَّهَا خَالِصَةً لِوَجْهِكَ الْكَرِيمِ، وَتَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah, Engkau jadikanlah kesemua amalan kami ini Ikhlas kerana  mengharapkan wajah-Mu yang Mulia, dan terimalah doa kami ini, sesungguhnya Engkau yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply