Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa kelebihan bersedekah pada bulan Ramadhan?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Sesungguhnya bulan Ramadhan adalah merupakan bulan di mana kita digalakkan untuk banyakkan bersedekah dan infaq berdasarkan hadith riwayat daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya:
كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَجْوَدَ النَّاسِ، وَأَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ، حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ، وَكَانَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلاَمُ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ، فَيُدَارِسُهُ الْقُرْآنَ فَلَرَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَجْوَدُ بِالْخَيْرِ مِنَ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ.
Maksudnya: “Nabi SAW adalah manusia yang paling pemurah. Kemuncak sifat pemurahnya di bulan Ramadhan, ketika Jibril bertemu dengan Baginda SAW. Adapun Jibril AS menemuinya pada setiap malam bulan Ramadhan dan saling bertadarus al-Qur’an dengan Baginda. Sungguh Rasulullah SAW sangat pemurah dalam hal kebaikan daripada angin yang bertiup kencang.”
Riwayat al-Bukhari (3554)
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Melakukan kebaikan dengan bersedekah yang sewajarnya kepada yang memerlukan adalah lebih umum. Ini kerana pada bulan Ramadhan, ia merupakan musim kebajikan dan limpahan nikmat Allah akan diberikan kepada sahabatnya yang lain.” (Lihat Fath al-Bari, 1/30)
Hadith ini turut menjadi dalil betapa pemurahnya Nabi SAW dan betapa rajinnya Nabi SAW bersedekah pada bulan Ramadhan. Dinyatakan dalam hadith, yakni Rasulullah SAW menjadi lebih pemurah daripada hembusan angin adalah kerana Baginda sangat cepat dan ringan dalam memberi. Ia juga sebagai isyarat kepada berterusannya rahmat dan umumnya manfaat disebabkan oleh sifat pemurahnya Nabi SAW. (Lihat Irsyad al-Sari, 1/72)
Banyaknya Nabi SAW bersedekah pada bulan Ramadhan menunjukkan bahawa bersedekah pada bulan ini terdapat kelebihannya yang tersendiri. Dalam sebuah hadith riwayat Anas R.A menyebutkan:
سُئِلَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَىُّ الصَّوْمِ أَفْضَلُ بَعْدَ رَمَضَانَ فَقَالَ: شَعْبَانُ لِتَعْظِيمِ رَمَضَانَ . قِيلَ فَأَىُّ الصَّدَقَةِ أَفْضَلُ قَالَ: صَدَقَةٌ فِي رَمَضَانَ
Maksudnya: “Ditanyakan Nabi SAW puasa apakah yang terbaik selepas Ramadhan?” Jawab Nabi SAW: “Puasa di bulan Sya‘ban untuk mengagungkan Ramadhan.” Ditanya lagi sedekah apakah yang paling afdhal. Jawab Nabi SAW: “Sedekah di bulan Ramadhan.”
Riwayat al-Tirmizi (663), al-Bazzar (6890) dan al-Baihaqi (8780). Imam al-Tirmizi mengatakan hadith ini gharib.
Justeru, banyakkanlah sedekah dan infaq dalam bulan Ramadhan, antaranya kepada tabung masjid, anak-anak yatim, fakir miskin, orang-orang tua, ibu bapa, kaum keluarga dan lain-lain.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ، وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui; dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”