Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh jelaskan tafsiran Surah al-Najm ayat 15?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

عِندَهَا جَنَّةُ الْمَأْوَىٰ

Maksudnya: “Yang di sisinya terletak Syurga Jannatul Ma’wa.

(Surah al-Najm: 15)

Terdapat beberapa pendapat yang menjelaskan berkenaan syurga Ma’wa.

  • Al-Hasan al-Basri berkata ia adalah tempat orang-orang bertaqwa (muttaqun) dikembalikan di akhirat kelak, manakala ada yang mengatakan ia tempat ruh para syuhada’.
  • Ibn ‘Abbas pula menambah: Ia berada di sebelah kanan ‘Arasy.
  • Dikatakan juga bahawa ia merupakan tempat tinggal Nabi Adam AS sebelum diturunkan ke bumi, dan ia terletak di langit ketujuh. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 17/96).

Al-Tabari berkata: Makna ayat ini adalah, pada Sidratul Muntaha terdapat syurga tempat tinggal para syuhada’. Imam al-Tabari kemudian membawa beberapa pendapat ahli tafsir seperti berikut:

  • Daripada Ibn Abbas, mengenai firman Allah SWT, ‘عِندَهَا جَنَّةُ الْمَأْوَىٰ’, beliau berkata: “Syurga terdapat (di sisi) kanan Arasy. Syurga tersebut merupakan tempat tinggal para syuhada’.”
  • Daripada Ibn Abbas, mengenai firman Allah SWT, ‘عِندَهَا جَنَّةُ الْمَأْوَىٰ’, beliau berkata: Ayat ini memiliki padanan yang maknanya sama, iaitu firman Allah SWT, ‘فَلَهُمْ جَنَّاتُ الْمَأْوَىٰ نُزُلًا بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ‎’ (“maka mereka akan beroleh Syurga tempat tinggal yang tetap sebagai balasan bagi apa yang mereka telah kerjakan.”) [Surah al-Sajdah: 19].
  • Qatadah berkata, makna firman Allah SWT, ‘عِندَهَا جَنَّةُ الْمَأْوَىٰ’, adalah tempat tinggal para syuhada’. (Lihat Jami’ al-Bayan, 24/133; lihat juga al-Nukat wa al-‘Uyun, 5/396; Ma‘alim al-Tanzil, 5/247).

Al-Syaukani berkata: Firman-Nya, ‘عِندَهَا جَنَّةُ الْمَأْوَىٰ’ (“Yang di sisinya terletak Syurga “Jannatul-Makwa”.) Maknanya adalah, di tempat pohon Bidara itu terdapatnya syurga yang dikenali dengan syurga al-Ma’wa. Disebut sebagai syurga al-Ma’wa kerana di sanalah ditempatkan Adam. Pendapat lain menyebut, bahawa arwah orang-orang beriman ditempatkan di sana.

Jumhur membaca  ‘جَنَّةُ’ dengan rafa’ kerana dianggap sebagai mubtada’, dan khabarnya adalah zharaf yang terdahulu. ‘Ali, Abu al-Darda’, Abu Hurairah, Ibn al-Zubair, Anas, Zirr bin Hubaisy, Muhammad bin Ka’b, Mujahid dan Abu Sabrah al-Juhani membaca ‘جَنَّةُ’ dalam bentuk fi’il madhi daripada ‘جَنَّ يَجِنُّ’, yakni mencakupi tempat tinggal, atau tirai yang ditempatkan Allah padanya. Manakala al-Akhfasy pula berpendapat, maknanya adalah mendapatinya, seperti ungkapan ‘جَنَّهُ اللَّيْلُ’ yakni ditutupi malam dan mendapatkannya.” Kalimah tersebut berada pada tempat nasab (baris atas) sebagai hal (keterangan keadaan). (Lihat Fath al-Qadir, 5/129)

Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili berkata: ‘عِندَ سِدْرَةِ الْمُنتَهَىٰ’, di Sidratul Muntaha, iaitu tempat tertinggi di langit yang menjadi batas hujung pengetahuan dan amal para makhluk. Tidak ada seorang makhluk pun yang mengetahui apa yang ada di selepasnya. Tempat ini diserupakan dengan al-Sidrah yang ertinya adalah pohon al-nabq (النبق) kerana mereka berkumpul di bawah teduhannya. ‘عِندَهَا جَنَّةُ الْمَأْوَىٰ’ di dekat Sidratul Muntaha terdapat syurga al-Ma’wa, iaitu tempat tinggal ruh-ruh orang beriman yang bertakwa. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 14/135)

Ibn al-Qayyim berkata: Al-Ma’wa (المأوى) adalah daripada perkataan ‘أوى يأوي’, yang maksudnya adalah menyatu dengan suatu tempat dan menetap di sana. ‘Ata’ berkata: “Daripada Ibn ‘Abbas, bahawa ia adalah syurga yang menjadi tempat tinggal bagi Jibril dan para malaikat.” Muqatil dan al-Kalbi berkata: “Ia adalah syurga yang ditempati oleh ruh-ruh para syuhada’.” Sedangkan Ka’ab pula berpendapat: “Jannatul Ma’wa adalah syurga yang di dalamnya terdapat burung hijau dan tinggal di dalamnya ruh-ruh para syuhada’.” (Lihat Hadi al-Arwah ila Bilad al-Afrah, hlm. 97)

Syeikh Maher al-Sufi berkata: Di dalam al-Quran, telah dijelaskan nama-nama syurga di dalam ayat-ayat-Nya yang mulia. Telah disebutkan bahawa nama-namanya ada empat, iaitu: Syurga Firdaus, Syurga ‘Adn, Syurga Khuld dan Syurga Ma’wa. Antara keempat-empat nama tersebut, yang paling tinggi adalah syurga Firdaus dan dari sana semua sungai-sungai di syurga mengalir. (Lihat al-Mausu’ah al-Akhirah: al-Jannah wa al-Nar, 3/25)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Leave a Reply