Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya selalu dikunjungi oleh tetamu pada waktu malam walhal saya ketika itu sudah terlalu letih kerana bekerja dari siang. Adakah saya dikira tidak memuliakan tetamu jika saya mengehadkan waktu ziarah ke rumah saya?. Mohon pencerahan Dato?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah :

هَلْ أَتَىٰكَ حَدِيثُ ضَيْفِ إِبْرَٰهِيمَ ٱلْمُكْرَمِينَ ﴿٢٤﴾ إِذْ دَخَلُوا۟ عَلَيْهِ فَقَالُوا۟ سَلَـٰمًا ۖ قَالَ سَلَـٰمٌ قَوْمٌ مُّنكَرُونَ ﴿٢٥﴾ فَرَاغَ إِلَىٰٓ أَهْلِهِۦ فَجَآءَ بِعِجْلٍ سَمِينٍ ﴿٢٦﴾ فَقَرَّبَهُۥٓ إِلَيْهِمْ قَالَ أَلَا تَأْكُلُونَ

Maksudnya : Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Nabi Ibrahim yang dimuliakan? Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: “Salam sejahtera kepadamu!” Ia menjawab: Salam sejahtera kepada kamu! “(Sambil berkata dalam hati): mereka ini orang-orang yang tidak dikenal. Kemudian ia masuk mendapatkan Ahli rumahnya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkannya kepada mereka sambil berkata: “Silalah makan”.

(Surah Al-Dzariyat : 24-27)

Menurut  Ibnu Kathir di dalam tafsirnya :“Imam Ahmad dan kebanyakan para ulama mengatakan wajib melayan tetamu yang datang bertandang ke rumah.” (Lihat Tafsir Al-Quran Al-‘Azim, 4/300)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan  melayani tetamu itu adalah sunnah (Lihat Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 9/57). Namun begitu, meskipun sunat untuk kita melayan tetamu dengan baik, sebagai tetamu juga perlu memahami adab-adab yang perlu dijaga, antaranya ialah:

  1. Makan dengan segera jika dihidangkan makanan dan minuman kepadanya.
  2. Tidak meminta-minta hidangan atau perkara-perkara yang boleh menyusahkan tuan rumah.
  3. Jika dijemput, beritahu terlebih dahulu kepada tuan rumah berkaitan siapa yang akan datang dan berapa orang yang akan datang.
  4. Jauhi perkara-perkara atau perbuatan yang boleh menyusahkan dan menyakiti tuan rumah.
  5. Sunat bagi tetamu untuk mendoakan kebaikan buat tuan rumah.
  6. Tidak duduk dan singgah terlalu lama sehingga menyebabkan tuan rumah tidak senang duduk.
  7. Memilih waktu yang sesuai untuk datang bertandang. Namun jika ada keperluan untuk datang pada waktu malam seperti ingin meminta bantuan atau ada kecemasan maka dibenarkan.

Oleh itu, sebagai tuan rumah, kita perlu melayani tetamu kita dengan baik kerana itulah sunnah nabi. Namun begitu, tidak salah untuk tuan rumah menghadkan waktu ziarah ke rumahnya.Ini adalah kerana tuan rumah mempunyai hak privasi dan juga hak untuk berehat bersama keluarga tanpa diganggu oleh sesiapa pun. Maka, sewajarnya sebagai seorang tetamu, kita memahami adab-adab dalam menziarahi.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ، تُحِبُّ الْعَفْوَ، فَاعْفُ عَنِّي

Maksudnya: Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan suka memberi keampunan, maka ampunilah aku.”

Leave a Reply