Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah terdapat kisah lembu besar jantan yang keluar dari batu kecil yang akhirnya tidak dapat memasuki semula? Bagaimana statusnya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Berdasarkan kepada riwayat Abu al-‘Aliyah atau selainnya, daripada Abu Hurairah R.A, daripada Nabi SAW, dan di dalamnya disebutkan:
ثُمَّ أَتَى عَلَى حَجَرٍ صَغِيرٍ يَخْرُجُ مِنْهُ ثور عَظِيمٌ، فَجَعَلَ الثور يُرِيدُ أَنْ يَدْخُلَ مِنْ حَيْثُ خَرَجَ فلا يَسْتَطِيعُ، فقال: مَا هَذَا يَا جِبْرِيلُ؟ قال: هَذَا الرَّجُلُ يَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ العظيمة فَيَنْدَمُ عَلَيْهَا فَيُرِيدُ أَنْ يَرُدَّهَا فلا يَسْتَطِيعُ.
Maksudnya: “Kemudian Nabi SAW pergi ke sebuah batu kecil, yang mana seekor lembu jantan yang besar keluar darinya. Lalu lembu jantan itu ingin masuk semula ke dalam tempat ia keluar tadi, tetapi ia tidak mampu memasukinya. Maka Baginda SAW bertanya: ‘Siapakah ini, wahai Jibril?’ Jibril menjawab: ‘Inilah orang yang bercakap besar, kemudian dia menyesal dan ingin menarik kata-katanya kembali, tetapi tidak mampu melakukannya (kerana sudah terlambat).’”
Riwayat al-Bazzar (9518); riwayat al-Baihaqi dalam Dala’il al-Nubuwwah (2/399)
Ibn Kathir dalam tafsirnya (5/31) menyatakan, padanya terdapat keganjilan (gharabah). Di dalamnya juga terdapat perawi bernama Abu Ja‘far al-Razi, dan dia dinilai sebagai dha‘if oleh ramai ulama. Begitu juga al-Suyuti dalam al-Ayatu al-Kubra fi Syarh Qissah al-Isra’ (hlm. 37-38) menyatakan, perawi-perawinya dinilai sebagai thiqah kecuali Abu Ja‘far al-Razi dinilai thiqah oleh sebahagian ulama, manakala sebahagian ulama yang lain menilainya sebagai dha‘if. Abu Zur‘ah menyebutkan, dia banyak waham. Manakala Ibn Kathir pula menyebutkan, pendapat yang kuat (azhar), hafalannya adalah buruk. Menurut Ibn Kathir lagi, hadith ini sebahagian lafaznya adalah tersangat ganjil dan mungkar. Di dalamnya terdapat sesuatu daripada hadith yang panjang berkenaan mimpi Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada jalur Samurah, dan berkemungkinan besar ia adalah himpunan berbagai hadith atau daripada mimpi Baginda SAW dan kisah-kisah lain selain peristiwa Isra’. (Lihat juga Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/36).
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”