Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh jelaskan kepada kami tentang doa ketika berbuka puasa?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Terdapat beberapa nas dan hadith berkenaan dengan isu ini, antaranya:
- Daripada Ibn Umar RA berkata, bahawa Nabi SAW apabila hendak berbuka, Baginda SAW membaca (doa):
ذَهَبَ الظَّمَأُ، وَابْتَلَّتِ الْعُرُوقُ، وَثَبَتَ الْأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ
Maksudnya: “Telah hilang dahaga, telah basah urat-urat dan telah ditetapkam pahala insyaAllah”.
Riwayat Abu Daud (2357), Syeikh al-Arna’ut menghukum sanad hadith ini adalah hasan.
Menurut Imam al-Nawawi di dalam al-Azkar, makna “الظَّمَأُ” di dalam hadith di atas adalah dahaga. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ لَا يُصِيبُهُمْ ظَمَأٌ
Maksudnya: “Yang demikian kerana sesungguhnya (tiap-tiap kali) mereka merasai dahaga.”
Surah al-Taubah (120)
- Daripada Muaz bin Zuhrah, telah sampai kepadanya bahawa Nabi SAW bersabda apabila hendak berbuka:
اللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ، وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ
Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhan kami kerana Engkau aku berpuasa dan dengan rezeki Engkau aku berbuka.”
Riwayat Abu Daud (2358), Imam al-Nawawi di dalam al-Azkar menghukum hadith ini sebagai mursal iaitu sanadnya terputus iaitu nama sahabat gugur di dalam sanad hadith ini
- Daripada Muaz bin Zuhrah, adapun Rasulullah SAW bersabda apabila hendak berbuka:
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَعَانَنِي فَصُمْتُ، وَرَزَقَنِي فَأَفْطَرْتُ
Maksudnya: “Segala puji bagi Allah yang telah membantuku maka disebabkan itu aku telah berpuasa dan Dia telah memberi rezeki kepadaku maka aku berbuka dengannya.”
Lihat Amal al-Yaum wa al-Lailah (479), Syeikh al-Arna’ut menghukum sanad hadith ini adalah mursal kerana Muaz bin Zuhrah tidak mendengar langsung daripada Nabi SAW.
- Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda ketika berbuka:
اللَّهُمَّ لَكَ صُمْنَا، وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْنَا، فَتَقَبَّلْ مِنَّا، إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhan kami kerana Engkau kami berpuasa dan dengan rezeki Engkau kami berbuka maka terimalah daripada kami, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Riwayat al-Tabarani (12720), Ibn al-Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (480). Dinyatakan sebagai dha’if dalam kitab al-Kalim al-Tayyib (166)
- Mengikut riwayat daripada Ibn Abi Mulaikah bahawa beliau telah mendengar Abdullah bin Amru berdoa ketika beliau berbuka puasa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ بِرَحْمَتِكَ الَّتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ أَنْ تَغْفِرَ لِي ذُنُوبِي
Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu dengan rahmat-Mu yang meluas setiap sesuatu supaya mengampuni daku (dosaku).”
Riwayat Ibn Majah (1753), al-Hakim (1535) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (3904). Dinyatakan sebagai dha’if dalam Dha’if al-Targhib (582)
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ، وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui; dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”